Biasanya, ibu bapa akan menjaga penampilan anak-anak mereka dalam aspek pakaian dan aksesori tambahan seperti gelang dan rantai.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir ibu bapa yang menitik beratkan aspek warna kulit yang cerah dan keanjalan kulit.

Situasi ini membuka peluang kepada sesetengah pihak menjual suplemen atau makanan tambahan untuk kecantikan khusus untuk bayi dan kanak-kanak.

Hakikatnya, tindakan mengambil suplemen tersebut bukanlah satu langkah tepat kerana ia akan memberi kesan buruk kepada bayi dan kanak-kanak.

Pakar Pediatrik dan Felo Pediatrik Endokrin Hospital Putrajaya, Dr. Rashdan Zaki Mohamed berkata, pengambilan suplemen untuk kecantikan kulit bayi dan kanak-kanak boleh membawa kepada risiko kegagalan fungsi hati dan ginjal.

Jelasnya, ini kerana organ dalam bayi masih belum matang dan tidak mampu memproses bahan-bahan yang terkandung dalam suplemen untuk tujuan pemutihan dan keanjalan kulit.

“Bayi dan kanak-kanak yang sihat tidak sesuai mengambil sebarang suplemen yang terdapat di pasaran.

Nasihat doktor

“Ini kerana ia dibimbangi akan memberi kesan buruk jika diambil dalam jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Rashdan Zaki, biasanya, suplemen hanya boleh diberikan kepada bayi atau kanak-kanak atas nasihat dan syor doktor.

Katanya, dalam beberapa keadaan, doktor akan menasihatkan ibu bapa supaya memberi suplemen untuk menangani komplikasi tertentu yang dihadapi oleh anak mereka.

“Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mengalami masalah kurang berat badan, maka doktor akan menasihati ibu bapa untuk menggunakan suplemen,” jelasnya.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang pelakon dan pengacara terkenal dikritik oleh pengguna laman sosial kerana mempromosikan produk suplemen kecantikan yang disarankan untuk bayi dan kanak-kanak.

Pelakon itu yang juga duta produk tersebut turut menyatakan dos yang sesuai mengikut umur untuk bayi, kanak-kanak di bawah umur dua tahun, dua hingga enam tahun, enam hingga 12 tahun dan 12 tahun ke atas.

Antara manfaat yang didakwa ada pada suplemen tersebut termasuklah menghilangkan kedutan wajah, membantu menegangkan kulit, serta melambatkan penuaan kepada pengguna.

Tindakan hos rancangan Meletop itu mendapat kecaman oleh pengguna laman sosial termasuk doktor kerana dikhuatiri mampu mempengaruhi orang ramai.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Aminah Abdullah berkata, tindakan memberi suplemen tertentu kepada bayi atau kanak-kanak bukan langkah tepat.

Jelas beliau, ibu bapa tidak seharusnya bimbang mengenai hal kecantikan kulit, sebaliknya kecukupan nutrien yang diambil oleh anak-anak mereka adalah lebih utama.

Terpengaruh

“Ada ibu bapa yang memberi suplemen kepada anak-anak mereka untuk manfaat-manfaat tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Aminah menyarankan supaya ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian.

Jelasnya, buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi pelbagai vitamin dan nutrien dalam membantu tumbesaran anak-anak.

Beliau juga menyeru kepada ibu bapa supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan promosi oleh pengeluar-pengeluar suplemen dalam pasaran.

“Para pengeluar boleh menyatakan apa sahaja kebaikan suplemen mereka, namun tiada bukti atau kajian yang kukuh mengenai keberkesanannya.

“Justeru, ibu bapa perlu peka dan selidik terlebih dahulu bahan-bahan yang digunakan dalam setiap suplemen bagi memastikan ia selamat untuk kanak-kanak,” katanya.