Seiring masa, kemodenan dan kemajuan teknologi yang dicapai membuatkan kemurnian sungai turut menerima tempias buruk akibat aktiviti manusia. Permasalahan melibatkan pencemaran sungai bagaikan tiada penamat.

Baru-baru ini media massa melaporkan Sungai Simin di Senawang, Negeri Sembilan bertukar menjadi warna biru. Siasatan awal yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan pada kandungan air tersebut mendapati, perubahan warna air sungai itu berpunca daripada sejenis bahan pewarna plastik yang dicuci di sebuah kilang kitar semula plastik terpakai dan barang lusuh di kawasan perindustrian Senawang.

Piawaian

Hasil siasatan awal itu juga mendapati kandungan air tersebut didapati tidak berbahaya kepada manusia mahupun hidupan air. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti jenis bahan pewarna tersebut.

Biar atas alasan apa sekali pun, keculasan pihak kilang melepaskan sisa buangan tersebut ke dalam sungai sehingga mengubah warna air perlu diberi perhatian serius.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis, Ir. Dr. Umi Fazara Md. Ali, sisa industri perlu dirawat sebelum dilepaskan ke persekitaran.

Ia disandarkan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974 yang telah mentakrifkan dua piawaian untuk pelepasan sisa industri ke persekitaran iaitu Standard A untuk pelepasan hulu iaitu sumber air kebiasaannya di kawasan yang tinggi dan Standard B untuk pelepasan hiliran iaitu bahagian lebih rendah menuju ke muara dan berakhir di laut.

“Kebiasaannya kawasan industri terletak di kawasan hiliran dan memerlukan perawatan air sisa yang mematuhi Standard B. Dalam Standard B ini, parameter air sisa yang dirawat perlu mematuhi had yang ditetapkan termasuklah suhu, kadar pH, permintaan oksigen biologi (BOD), permintaan oksigen kimia (COD), jumlah pepejal terampai, logam berat dan warna.

“Dalam kes Sungai Simin, air sungai didapati berwarna biru disebabkan oleh bahan pewarna. Sekiranya ia terbukti berpunca daripada industri berdekatan, ini menunjukkan bahawa industri tidak menjalankan rawatan air sisa yang sepatutnya sebelum dilepaskan ke kawasan sekitar,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terganggu

Pewarna ialah bahan organik yang tidak terurai dengan mudah dan mengambil masa lama.

Air sungai yang mengandungi larutan pekat dan berwarna gelap terutama kesan daripada pewarna yang dilepaskan daripada industri tanpa rawatan akan mengurangkan penetrasi sinar matahari ke dalam air. Keadaan ini menyebabkan proses fotosintesis tanaman dalam air akan terganggu.

Jumlah oksigen yang terlarut dalam air akan berkurang dan nilai BOD yang meningkat akan menyebabkan kehidupan organisma dalam air terganggu.

Hidupan lain seperti manusia dan haiwan yang bergantung kepada sumber air sungai untuk kehidupan akan terkena tempias sekiranya menggunakan atau meminum air tercemar tersebut.

Ia boleh menyebabkan penyakit atau wabak seperti kolera, penyakit ginjal dan penyakit kulit, malah turut boleh menyebabkan kematian.

Tambah Umi Fazara, dua pendekatan boleh diambil untuk merawat air sisa industri sama ada cara konvensional seperti penjerapan, penapisan dan pemendapan atau kaedah rawatan termaju antaranya elektrokoagulasi, elektrokimia, proses lajakan pengoksidaan, degradasi foto pemangkin dan teknologi pemisahan membran.

Setelah rawatan air sisa di lakukan oleh pihak industri, analisis makmal perlu dilakukan untuk memastikan air yang akan dilepaskan mematuhi piawaian yang ditetapkan. Kebiasaannya pihak JAS akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan peraturan ini dipatuhi.

“Lebih sukar untuk merawat air sungai. Ini kerana sisa kimia seperti pewarna telah meresap ke dalam air sungai dan sukar di rawat. Air sungai akan mengalir ke muara dan berakhir di laut dengan cepat.

“Kaedah rawatan termaju boleh dilakukan namun kosnya agak tinggi. Kaedah lain yang lebih murah ialah bioremedasi yang menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk menyerap pewarna tersebut,” terang Umi Fazara.