Harus diingatkan, setiap makanan mengandungi gula. Jika kita tidak berhati-hati membuat perkiraan jumlah gula dalam masa sehari, ia pasti akan diambil secara berlebihan.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad berkata, orang ramai perlu peka dengan nilai indeks glisemik dalam sesuatu produk makanan.

“Jika tinggi indeks itu, maka gula ringkas daripada makanan kita akan masuk cepat ke dalam darah.

“Justeru, ia akan meningkatkan gula dan insulin dalam darah sehingga memudaratkan kesihatan kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zubaidi berkata, gula ringkas tersebut terhasil daripada dua sumber iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat ringkas yang akhirnya kedua-dua itu membentuk tenaga.

Ujarnya, karbohidrat kompleks terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, bijian-bijian serta makanan yang tinggi serat.

Karbohidrat kompleks mempunyai indeks glisemik yang sangat rendah dan mengambil masa yang lama untuk masuk ke dalam darah.

Berbanding karbohidrat ringkas yang terdiri daripada makanan diproses seperti gula pasir, tepung, roti canai, beras putih, biskut dan teh tarik, nilai indeks tersebut sangat tinggi dan tidak baik untuk kesihatan.

“Indeks glisemik yang tinggi akan menyebabkan obesiti dan sukar mengawal penyakit.

“Mereka yang pernah mengalami strok atau serangan sakit jantung akan menyebabkan penyakit itu berulang kembali.

“Bagi pesakit buah pinggang pula, ia akan menyebabkan kerosakan organ yang lain,” tuturnya sambil memberitahu, pengambilan gula bagi orang dewasa ialah sembilan sudu teh manakala kanak-kanak adalah enam sudu teh sehari.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan subsidi beras perang dan beras rebus (parbolied) kerana ia rendah indeks glisemik.

Makanan ruji

Ia berikutan nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia tetapi harga bagi kedua-dua beras itu agak mahal berbanding beras biasa.

Beliau juga menyarankan agar menghentikan pengambilan makanan dan minuman manis kerana banyak gula yang tersembunyi di dalamnya tanpa disedari.

“Hampir keseluruhan makanan yang kita makan mempunyai kandungan gula sama ada ketika dimasak atau dihidangkan.

“Misalnya, sayur-sayuran yang ditumis juga diletakkan satu atau dua sudu gula apatah lagi dalam hidangan kek dan minuman.

“Saya menyokong saranan Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang mencadangkan agar istilah ‘makanan atau minuman sihat’ harus diberikan oleh pihak agensi yang berautoriti.

“Perlu ada hujah, mengapa ia dikatakan makanan yang sihat,” terangnya.

Zubaidi turut menjelaskan bahawa buah-buahan mempunyai indeks glisemik yang rendah kerana ia mengandungi tinggi serat.

Namun, jika mengambil perahan jus sahaja, maka indeks glisemik akan meningkat kerana tidak mempunyai serat bersamanya.

Kesimpulannya, bagi menjaga kesihatan, beliau menyarankan agar kita mengambil serat dan air yang banyak.

Sementara itu, Pensyarah Program Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, sesuatu tabiat termasuklah pemakanan sihat boleh diubah bergantung kepada keazaman seseorang individu.

“Jika ingin berubah dalam apa jua perkara, kita perlu ada ilmu dan pengetahuan. Ia perlu menyentuh perasaan agar ia lebih berkesan, malah sangat baik sekiranya dijalinkan bersama aspek agama.

“Kita semua tahu kesan buruk penggunaan gula yang berlebihan dan perubahan tabiat itu penting untuk kesihatan, keluarga serta agama.

“Matlamat juga perlu realistik dan tidak membahayakan kesihatan,” jelasnya.

Zaiton juga menyarankan supaya mencatat setiap kejayaan kecil agar bersemangat untuk meneruskan matlamat tersebut.

Di samping itu, beliau turut menyarankan agar diperbanyakkan kempen-kempen di media massa atau media sosial dengan menggunakan selebriti sebagai duta.

Iklan makanan tinggi gula juga perlu disekat daripada disiarkan bagi mengelakkan ia mempengaruhi minda masyarakat.