Flora (bukan nama sebenar), 38, mengakui pernah mengkhianati kepercayaan yang diberikan majikannya dahulu untuk menjalani kehidupan senang tanpa perlu berusaha keras.

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, wanita yang berasal dari utara tanah air itu berkata, seawal usia belasan tahun, dia sudah keluar bekerja untuk membantu me­nyara keluarga.

“Bapa bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibu hanya mengambil upah menjahit. Sebagai anak yang paling tua, mereka mengharapkan saya untuk meri­ngankan beban dengan melakukan apa-apa pekerjaan.

“Jadi, pada usia 16 tahun, saya sudah bekerja di sebuah pasar raya sebagai jurujual untuk menambah pendapatan keluarga,” ceritanya.

Bertutur lanjut, Flora berkata, dia kemudian bekerja separuh masa di sebuah butik berjenama mewah semasa sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di Selangor.

“Gaji yang diterima lebih tinggi berbanding bayaran sebelum ini tetapi masih tidak mencukupi kerana perbelanjaan untuk menyekolahkan adik-adik semakin besar,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.

Seleweng duit

Bagaimanapun, nasibnya berubah selepas diterima bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang anak orang kenamaan di ibu negara.

“Tugas saya tidaklah susah mana. Saya hanya perlu membeli pakaian, menata rias imej dan menjaga penampilan anak perempuannya yang ketika itu berusia 18 tahun,” kata Flora.

Bekerja dan bergaul dengan orang berada membuatkan Flora sentiasa berasa malu dan rendah diri dengan kekurangan yang dimilikinya. Perasaan itu turut mencetuskan sedikit rasa tidak puas hati dalam dirinya kerana menganggap situasi tersebut tidak adil kepada orang susah seperti keluarganya.

“Bayangkan di saat orang lain makan sedap, berkereta mewah dan hidup senang-lenang, keluarga saya di kampung perlu ikat perut dan berjimat-cermat kerana tidak tahu nasib kami di kemudian hari,” tuturnya.

Bertitik tolak daripada situ, Flora mula mencuri barang berharga dan menyeleweng wang yang diberikan majikannya untuk kegunaan peribadi.

“Biasanya majikan saya akan memberikan sejumlah wang untuk digunakan bagi membeli kelengkapan seperti pakaian, beg tangan dan lain-lain untuk anak mereka.

“Lama-kelamaan, saya tidak lagi memulangkan baki duit berjumlah ratusan ringgit kepada mereka dengan alasan semua habis dibelanjakan.

“Saya juga menggunakan kenalan semasa bekerja di butik-butik berjenama mewah untuk memalsukan harga serta resit. Keuntungan yang diterima dibahagikan sama rata untuk kepentingan bersama,” ceritanya.

Pecah rumah

Flora semakin berani apabila dia sanggup mencuri barang-barang berharga di rumah majikannya.

“Bagi mengelakkan perbuatan itu dikesan, saya curi barang seperti pakaian dan beg berjenama yang jarang dipakai. Barang-barang itu kemudian dijual di internet. Dengan duit yang diterima, dapatlah saya membeli-belah dan bercuti di luar negara,” katanya yang dapat menjalani kehidupan mewah atas duit haram itu.

Dia mengakui turut menyalahgunakan akses itu dengan merancang beberapa siri pecah rumah untuk mencuri barang yang lebih besar dan berharga, selain mengaburi kegiatan jahatnya.

“Saya menjadi semakin tamak dan lupa diri sehingga sanggup mengupah orang memecah ma­suk rumah itu. Tujuan asal supaya mereka menganggap barang-barang yang saya curi turut hilang dalam rompakan tersebut,” kata­nya.

Kelicikan Flora bagaimanapun sampai ke pengetahuan majikannya apabila mereka mula mencurigai kehidupan mewah wanita itu.

“Saya akhirnya ditangkap ke­rana kecuaian sendiri. Waktu itu, majikan terjumpa beberapa transaksi online membabitkan barang berharga milik mereka. Saya disoal siasat hingga terpaksa mengaku mencuri barang-barang tersebut kerana desakan hidup.

“Begitu pun, saya masih merahsiakan kes pecah rumah itu daripada pengetahuan mereka hingga ke saat ini,” katanya.

Flora yang menerima layanan seperti keluarga di atas perkhidmatannya selama hampir 10 tahun akhirnya diberhentikan kerja di atas perbuatannya. Begitu pun, dia masih diberikan peluang memperbaiki diri kerana majikannya tidak melaporkannya kepada pihak polis.

“Pengalaman ini banyak memberi pengajaran berguna kepada saya. Mungkin di dunia, saya terlepas hukuman tetapi belum lagi di akhirat.

“Saya cuba memperbaiki diri untuk menjadi orang yang lebih baik,” ujarnya menutup bicara.

Selain mencuri dan menyeleweng duit, Flora tergamak mengupah orang memecah masuk rumah majikannya untuk merompak barang berharga.