Petang itu, Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, Parkland, Florida, Amerika Syarikat (AS) bermandikan darah. Seramai 17 pelajar dan guru sekolah tersebut terbunuh dalam kejadian ngeri yang merupakan tragedi tembakan di sekolah tinggi paling dahsyat dalam sejarah AS.

Kematian beramai-ramai tersebut lebih tragis berbanding kejadian di sebuah sekolah tinggi di Columbine, Colorado pada 1999 yang menyebabkan 13 orang maut.

Umpama adegan dalam filem aksi ngeri, mayat-mayat bergelimpangan dengan beg-beg sekolah berselerakan. Sekurang-kurangnya 20 pelajar mengalami kecederaan dalam serangan rambang itu yang berlaku pada minggu lalu.

Tembakan sewaktu sesi persekolahan baru sahaja tamat itu dilepaskan oleh bekas pelajar sekolah berkenaan, Nikolas Cruz menggunakan selaras raifal AR-15. Cruz telah dibuang sekolah tahun lalu.

Bagai lagak koboi, usai melunaskan kerja tidak berhati perutnya itu, Cruz dengan selamba melepak di McDonald’s sebelum dicekup polis 40 minit selepas berada di restoran makanan segera itu.

Salah seorang pelajar yang terselamat, Kelsey Friend, 16, menangis teresak-esak ketika ditemu bual media mengenai pengalamannya mengharungi detik-detik cemas itu.

“Saya melihat darah dan saya melihat mayat dua pelajar berpelukan seperti bola.

“Saya berjalan ke depan dan melihat tompokan darah. Saya nampak beg-beg sekolah yang tercampak di sana sini. Ia seperti adegan dalam filem.

“Saya terlalu takut, saya mula menjerit,” katanya kepada CNN dengan air mata yang berjujuran.

Lebih menyayat hatinya apabila salah seorang terbunuh ialah guru geografinya, Scott Beigel, 35, yang sempat menjadi wira menyelamatkan nyawanya dan beberapa pelajar yang lain.

“Saya hidup hari ini kerana dia. Dia telah membuka pintu bilik yang berkunci untuk kami masuk bersembunyi daripada penembak namun dia tidak sempat mengunci pintu apabila terkena tembakan,” katanya.

Selain Beigel, turut terkorban dalam tragedi itu ialah 14 pelajar dan dua guru lain. Mereka ialah Chris Hixon, 49; Aaron Feis, 37; Alyssa Alhadeff, 14; Martin Duque Anguiano, 14; Jamie Guttenberg, 14; Cara Loughran, 14; Gina Montalto, 14; Alaina Petty, 14 dan Alex Schachter, 14.

Personaliti

Turut terbunuh Peter Wang, 15; Luke Hoyer, 15; Carmen Schentrup, 16; Nicholas Dworet, 17; Joaquin Oliver, 17; Helena Ramsay, 17 dan Meadow Pollack, 18.

Seorang pelajar berani mati, Anthony Borges, 15, pula sanggup memperisaikan tubuhnya bagi melindungi 20 rakan sekelasnya. Dia yang terkena lima das tembakan kini kritikal dan dirawat di sebuah hospital.

Cruz mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Daerah Broward.

Jenayah yang dilakukan oleh Cruz itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana personalitinya yang aneh selama ini. Cruz dikatakan menganggotai satu kumpulan sembang persendirian di media sosial yang menyukai elemen keganasan dan perkauman.

Cruz selalu memuat naik gambar koleksi senjata apinya dan bangkai-bangkai haiwan yang dibunuhnya secara kejam. Dia pernah bercakap tentang kemahuannya untuk membunuh burung-burung dengan pistolnya.

Pelampau kulit putih itu juga menzahirkan kebenciannya kepada bangsa kulit hitam, imigran, Islam dan Yahudi.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga telah menerima laporan mengenai tabiatnya dan kemungkinan melakukan keganasan sejak sebulan lalu namun agensi itu gagal bertindak.

Sasaran

Sejak kecil Cruz menjadi anak angkat kepada pasangan Roger dan Lynda Cruz. Roger meninggal dunia kerana serangan jantung pada tahun 2004 manakala Lynda meninggal dunia November lalu kerana penumonia. Kini dia menjadi anak angkat kepada satu pasangan lain.

Raifal semi automatik AR-15 yang digunakan oleh Cruz dibeli secara sah dari sebuah kedai menjual senjata di Florida.

Kejadian tembakan terbaharu itu mencetuskan kebimbangan orang ramai sementelah ia kejadian ke-18 kes tembak di sekolah-sekolah AS pada tahun ini sahaja.

Pertubuhan Everytown for Gun Safety Support berkata, AS mempunyai purata satu kes tembak di sekolah seminggu sejak lima tahun lalu.

“Tahun ini kadar itu lebih tinggi apabila 17 kes dicatatkan sebelum kes tembakan di Florida. Daripada jumlah itu, lima daripadanya melibatkan kematian dan kecederaan,” kata satu sumber kepada ABC.

Antaranya ialah kes kematian dua pelajar maut ditembak oleh seorang rakan sekelas dalam kejadian di Sekolah Tinggi Marshall County, Kentucky pada 23 Januari lalu.

Sehari sebelum itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas ditembak oleh rakan sekelas di kafeteria di sebuah sekolah di Texas.

Presiden AS, Donald Trump menjadi sasaran kemarahan orang ramai yang menggesa supaya undang-undang kawalan senjata diperketat sedangkan Trump menyifatkan ia cumalah krisis kesihatan mental.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di luar kompleks mahkamah bagi menuntut kerajaan mengetatkan undang-undang penggunaan senjata api. Turut berhimpun ialah para pelajar sekolah berkenaan yang masih trauma dengan kejadian itu.

Mereka juga memegang sepanduk dengan kata-kata mendesak kerajaan supaya mengambil langkah tegas mengekang keganasan senjata api.

“Kepada setiap ahli politik yang menerima derma daripada NRA (Persatuan Raifal Kebangsaan), malulah kamu!” jerit seorang pelajar, Emma Gonzalez sebagai kritikan terhadap Trump yang didakwa menerima sokongan berjuta-juta dolar daripada persatuan itu.

Isu kawalan senjata api sering dikaitkan dengan politik di AS. Usaha mengetatkan undang-undang itu tidak pernah diambil serius walaupun kes tembakan menyebabkan kematian 30,000 orang setiap tahun kerana ia sukar disepakati ahli-ahli politik yang juga ahli Kongres.

Penganalisis politik yang juga jurulatih sukan, Steve Kerr menyifatkan sesetengah ahli politik mempunyai kepentingan dengan NRA.

“Tidak kira berapa banyak anak kita yang terbunuh di sekolah, bilangan itu agaknya tidak cukup banyak untuk membuatkan pemimpin dan kerajaan negara ini bergerak.

Perubahan

“Rakyat AS perlu membuat perubahan dengan tidak mengundi mereka yang hanya tunduk kepada NRA kerana NRA membiayai kempen-kempen mereka,” dakwanya seperti yang disiarkan Washington Post.

Presiden AS sebelum ini, Barack Obama pernah berusaha mengetatkan undang-undang senjata api namun usaha itu sentiasa gagal. Menurut portal nymag, undang-undang senjata api dikatakan semakin longgar semasa pemerintahan Trump apabila Trump memudahkan pemilikan senjata api termasuk bagi orang buruan.

Seorang ahli politik yang lantang mengutuk undang-undang senjata api AS, Senator Chris Murphy berkata, perkara ini hanya berlaku di AS kerana barisan penggubal undang-undang yang ‘tidak berfungsi’.

“Perkara ini tidak berlaku di tempat-tempat lain melainkan di AS. Perkara yang dimaksudkan adalah epidemik pembunuhan beramai-ramai di sekolah dengan tembakan demi tembakan.

“Ia hanya berlaku di sini bukan kerana kebetulan, bukan kerana malang, tetapi kerana kita yang tidak pernah mengambil tindakan,” ujarnya.