Kepulangannya ke Urumqi pada tahun 2017 itu adalah dengan satu misi untuk mencari isterinya yang telah ditahan anggota polis yang berpakaian biasa di rumahnya.

Alamas berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pekerja pembinaan di Adelaide, Australia.

Dia mendapat kerakyatan Australia pada tahun 2014 setelah meninggalkan kampung halamannya di Xinjiang pada tahun 2009.

Setelah mengetahui nasib yang menimpa isterinya, Buzainafu Abudourexiti, dia segera pulang ke kampung halamannya itu.

Sebaik tiba, Alamas mendapati suasana tempat asalnya itu sudah banyak berubah.

“Terdapat barisan kereta kebal di jalan-jalan utama. Setiap 100 meter ada pegawai polis yang mengimbas kad identiti pengguna jalan raya serta memeriksa kandungan telefon bimbit mereka,” katanya seperti yang dilaporkan ABC Australia baru-baru ini.

Isterinya Buzainafu yang telah ditahan pada Mac 2017, sewaktu itu berusia 25 tahun dan baru hamil dengan kandungan berusia dua bulan.

Alamas menjelaskan, isterinya itu ditahan atas kesalahan jenayah ekstremisme agama kerana wanita itu pernah menjalankan kajian mengenai Islam di Asia Barat.

Pada mulanya isterinya itu ditahan untuk program pendidikan semula tetapi dia kemudiannya dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara.

Pengdoktrinan

Alamas dan isterinya ialah pasangan muda etnik Uighur yang merupakan salah satu daripada etnik minoriti di China.

Xinjiang merupakan wilayah autonomi etnik Uighur yang beragama Islam dengan pertuturan dan amalan kebudayaan berakar umbi dari Asia Tengah, bukannya kebudayaan tradisional Cina.

Xinjiang terletak paling jauh di barat China serta bersempadan dengan Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Mongolia.

Beijing mendakwa mereka kini melaksanakan kem ‘pendidikan semula’ untuk etnik Uighur.

Beberapa pakar dan kumpulan hak asasi mengatakan kewujudan kem-kem tersebut dilihat berbahaya untuk etnik Uighur kerana berkemungkinan agama, budaya dan identiti mereka akan dihapuskan.

Panel Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri telah melaporkan pada tahun lalu satu juta etnik minoriti Uighur di Xinjiang atau dua juta minoriti Uyghur dan etnik-etnik Islam lain telah ditahan dan dipaksa memasuki ‘kem rahsia berunsur politik untuk pengindoktrinan’ di wilayah itu.

Baru-baru ini agensi berita BBC pula melaporkan China telah memisahkan anak-anak kecil daripada keluarga, agama dan bahasa mereka.

Anak-anak ini ditempatkan di sebuah sekolah asrama khas yang dibina untuk mereka.

Percubaan untuk memisahkan kanak-kanak ini daripada keluarga, agama dan budaya mereka selari dengan penahanan yang dilakukan Beijing terhadap kira-kira satu juga orang dewasa daripada etnik Uighur di Xinjiang yang ditempatkan di beberapa kem penahanan ‘pendidikan semula’.

“Saya tidak tahu siapa yang menjaga mereka.

“Kami langsung tidak dapat berhubung dengan anak-anak kami,” kata seorang ibu kepada BBC sambil menunjukkan gambar tiga anak perempuannya.

BBC menyatakan laporan ini adalah berdasarkan siasatannya terhadap dokumen secara terbuka dan disokong oleh berpuluh-puluh wawancara bersama ahli keluarga.

Dalam 60 wawancara yang berasingan, ibu bapa dan sanak saudara memberikan butiran kehilangan lebih 100 kanak-kanak di Xinjiang dan semuanya daripada kumpulan etnik Uighur.

“Saya mendengar bahawa mereka telah dibawa ke rumah anak yatim,” kata seorang wanita sambil memegang gambar empat anaknya.

Di satu bandar lain di wilayah Xinjiang pula dianggarkan lebih 400 kanak-kanak etnik Uighur telah hilang manakala ibu bapa mereka ditahan di kem penahanan dan penjara.

Sejarah

Menurut sejarah, Xinjiang asalnya dikenali sebagai Turkistan Timur.

Ia dibuka ketika zaman Bani Umayyah iaitu pada tahun 96 Hijrah. Pada tahun 1949, Xinjiang telah dijajah oleh China sehingga sekarang.

Masyarakat Uighur bertutur dalam bahasa Uighur dan mengamalkan ajaran Islam.

Majoriti penduduknya menjana pendapatan menerusi pertanian, penternakan dan perniagaan.

Wilayah itu merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera yang pernah menjadi jalan perdagangan darat antara Barat dan Asia suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, sebuah saluran media negara China menyatakan laporan-laporan daripada agensi berita luar negara mengenai penindasan besar-besaran terhadap etnik Uighur adalah palsu.

Media China juga baru-baru ini menerbitkan penafian terperinci mengenai khabar angin sempena ulang tahun ke-10 rusuhan di Urumqi pada tahun 2009 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 140 orang terbunuh dan 828 cedera.

Ramai dalam kalangan etnik Uighur mengatakan rusuhan itu telah mencetuskan penindasan terhadap orang Islam di wilayah tersebut.

Ia bermula pada Jun 2009 apabila seorang pekerja telah membuat khabar angin di internet bahawa seorang wanita Cina telah diserang secara seksual oleh pekerja etnik Uighur di sebuah kilang mainan di Shaoguan di selatan negara China.

Sebagai tindak balas, beberapa pekerja berketurunan Cina telah menyerang pekerja etnik Uighur tersebut sehingga menyebabkan dua orang terbunuh.

Rakaman serangan tersebut tersebar pantas di internet sehingga 4,000 kilometer (km) jauhnya termasuklah di wilayah Xinjiang dan telah menimbulkan rasa tidak puas hati entik Uighur sehingga akhirnya berlaku rusuhan antara etnik Uighur dan etnik majoriti China, Han.

Ia menjadi pergolakan yang paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad di China.

Surat

Penafian China berhubung penindasan etnik Uighur itu bertentangan dengan bukti yang didokumentasikan dengan baik oleh media dan penyelidik-penyelidik lain.

China bahkan pada mulanya menafikan kewujudan kem-kem penahanan di Xinjiang.

Tetapi tahun lalu, China menjenamakan semula kem tersebut sebagai pusat latihan vokasional percuma dan mendakwa mereka yang ditahan di dalamnya diajar bahasa, budaya dan kemahiran vokasional.

Dalam pada itu, ada pihak yang mengatakan bahawa tujuan kem-kem tahanan untuk pendidikan semula itu didirikan adalah untuk menghilangkan pemikiran ekstremisme mereka.

Dua dimensi ‘cerita’ menjadikan konflik di Xinjiang ini suatu yang ternyata rumit untuk dirungkai.

Sebelah pihak mendakwa ia muslihat jahat yang berbentuk penghapusan etnik manakala pihak satu lagi menganggap ia propaganda Barat.

Pembongkaran mengenai penahanan beramai-ramai etnik Uighur itu telah menimbulkan kemarahan dunia sehingga 22 buah negara telah mengeluarkan surat kepada PBB mendesak penindasan itu dihentikan segera. Kebanyakannya ialah negara-negara Barat dan Eropah seperti Australia, Britain, Belgium, Perancis dan Jerman.

Namun, beberapa hari selepas itu pula, sebanyak 37 negara menulis surat kepada PBB menunjukkan sokongan ke atas dasar China di wilayah Xinjiang itu. Mengejutkan apabila banyak negara Islam yang menyertai kumpulan tersebut termasuk Arab Saudi, Qatar, Bahrain dan Pakistan.

Turut aneh apabila negara-negara ‘lantang’ seperti seteru utama China, Amerika Syarikat dan negara sinonim memperjuangkan Islam, Turki tidak menyertai mana-mana kumpulan.

Seorang etnik Uighur di Amerika Syarikat, Bahram Sintash yang bapanya masih ‘hilang’ di Xinjiang memberitahu Business Insider:

“Warga Uighur di luar negara sangat kecewa dengan semua negara Islam,” ujarnya.

Timbul persoalan apabila negara-negara Barat menunjukkan sokongan terhadap etnik komuniti Islam Uighur yang didakwa ditindas oleh China sebaliknya 37 negara lain termasuk negara Islam seperti Arab Saudi, Qatar dan Pakistan pula bersetuju dengan tindakan negara Tembok Cina itu.