Ternyata, penyakit Chronic Idiopathic Urticaria (CIU) yang dideritainya sejak dua tahun lalu itu menyebabkan dirinya sering berada dalam keadaan tidak selesa dan terpaksa berkurung di dalam rumah.

CIU merupakan sejenis penyakit kulit yang jarang dihidapi oleh individu.

Lebih malang, punca kepada penyakit CIU masih belum dapat dipastikan sehingga ke hari ini. Kebiasaannya, pe­nyakit tersebut mengambil masa sehingga bertahun untuk sembuh.

“Dua tahun lalu, bahagian badan saya ditumbuhi tompokan merah seperti ruam dalam jumlah yang banyak. Pada awalnya, saya hanya menganggap tompokan merah yang timbul pada kulit ini disebabkan alahan terhadap makanan.

“Bagaimanapun, melihatkan keadaan kulit yang semakin teruk sehingga menyebabkan saya tidak dapat menyentuh air, saya mengambil keputusan untuk bertemu dengan doktor,” jelasnya.

Ketulan ais

Menurut Scott lagi, pada waktu itu, doktor hanya mengesahkan tompokan merah yang muncul pada permukaan kulitnya adalah disebabkan alergi.

Scott diberi ubat alahan antihistamin dan diarahkan untuk pulang.

“Saya mengambil ubat tersebut mengikut dos yang ditetapkan doktor dan ia berkesan.

“Tompokan merah yang timbul itu hilang serta-merta. Bagaimanapun, kea­daan tersebut hanya bertahan kira-kira dua minggu sahaja.

“Badan saya ditumbuhi tompokan merah semula dan pada waktu itu, ia lebih banyak dari sebelum ini,” jelasnya.

Apa yang menyedihkan gadis itu ialah keadaan tersebut menyebabkan dia tidak boleh mandi kerana percikan air yang terkena pada kulitnya akan mengakibatkan dia merasa pedih seperti terbakar.

Bagaimanapun, menurut Scott, bagi meredakan keradangan tersebut, dia meletakkan ketulan ais pada kulitnya.

“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kulit saya tidak alergi terhadap ais.

“Saya kemudian merujuk semula ­kepada doktor dan dia mengesahkan saya menghidap CIU,” jelasnya.

Menurut Scott, beberapa bulan selepas didiagnosis dengan penyakit tersebut, keadaan dirinya mula menjadi semakin teruk.

Selain ditumbuhi tompokan merah yang mengerikan, kelopak mata dan bibirnya juga membengkak sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas.

Bukan itu sahaja, kakinya juga membengkak sehingga menyukarkan perge­rakannya.

Antihistamin

Ekoran daripada tahap kesihatannya yang semakin membimbangkan, Scott sanggup mencuba pelbagai alternatif untuk menyembuhkan penyakitnya itu.

Sejak bulan Jun tahun lalu, Scott te­lah mencuba lebih 50 jenis ubat alergi. Bagaimanapun, kesemua ubat-ubatan tersebut tidak berkesan terhadap diri­nya.

Menurut remaja itu lagi, walaupun punca penyakitnya gagal dikesan, namun dia mendakwa keadaan tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan oleh keadaan suhu panas.

“Saya perhatikan jika suhu lebih daripada 27 Celsius, lebih banyak tompokan merah akan keluar pada permukaan kulit.

“Sehingga ke satu tahap, saya terpaksa merendamkan badan di dalam kolam mandi yang berisi air sejuk,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Pakar Kulit Hospital Vancouver, Kanada, Dr. Katie Beleznay, CIU merupakan penyakit yang dihidapi oleh satu dalam sejuta penduduk di dunia.

Lazimnya, CIU mengambil masa antara satu hingga lima tahun untuk disembuhkan. Bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu, CIU boleh merebak dan mengambil masa lebih 10 tahun untuk sembuh.

“Antara tanda-tanda penghidap CIU ialah kemunculan tompokan merah pada kulit yang disertai dengan kegatalan dan alergi terhadap suhu sejuk atau panas,” jelasnya.

Ujarnya lagi, setakat ini, tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit tersebut melainkan dengan menambah dos ubat antihistamin.

Gadis berusia 21 tahun dari Waikato, New Zealand menderita penyakit kulit yang dikenali sebagai Chronic Idiopathic Urticaria (CIU) yang menyebabkan badannya ditumbuhi ruam merah dan berada dalam keadaan tidak selesa.