Dia menyertai acara larian sejauh 10 kilometer (km) bersama rakan-rakannya dan berjaya menamatkan larian berkenaan dalam tempoh kurang 50 minit.

“Sampai di garisan penamat, saya terus melihat jam di tangan yang merekodkan jarak larian kerana hairan dengan tempoh masa yang agak singkat berbanding larian- larian lain yang saya sertai sebelum ini.

“Sangkaan saya betul kerana jarak yang dicatatkan hanya 8km berbanding 10km yang perlu ditempuhi. Ia menyebabkan saya berasa tidak berpuas hati dengan pihak penganjur acara larian itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selain membayar sebanyak RM80 untuk menyertai acara itu, dia hanya mendapat medal setelah berjaya menamatkan larian tersebut manakala jarak larian pula dipendekkan.

“Tiada baju-T, catatan masa mahupun beg cenderamata yang diberikan kepada para peserta setelah tamat acara larian itu. Saya menjadi pelik kerana pihak penganjur seperti lepas tangan dan hanya mahu mengaut keuntungan.

Gaya hidup sihat

“Sudahlah tidak dapat apa-apa, yuran penyertaan pula agak tinggi dan tidak berbaloi dengan apa yang peserta peroleh. Malah, ia juga tidak setanding dengan acara-acara larian besar yang lain,” ujarnya.

Kini, hampir setiap hujung minggu, pelbagai aktiviti larian seperti fun run, trail run, ultra-marathon mahupun towerton diadakan untuk menarik penyertaan rakyat Malaysia yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat.

Namun, ada pihak tidak bertanggungjawab menganjurkan acara larian tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir sebelum menghilangkan diri, tidak mengembalikan yuran kepada peserta dan ada juga yang mengabaikan aspek keselamatan pelari.

Menurut Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, beliau tidak mahu berkompromi dengan mana-mana penganjur acara larian atau maraton yang hanya mementingkan wang ringgit semata-mata.

Ia gara-gara insiden kemalangan tiga peserta Klang City International Marathon (KCIM) yang menyebabkan seorang parah dan dua cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta Proton Iswara dari arah belakang di Batu 2, Jalan Kapar, Klang pada 11 Disember lalu.

Penganjur acara maraton itu didakwa tidak mendapat kelulusan daripada pihak KOM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menganjurkan la­rian antarabangsa tersebut.

“Bagi mengelak kejadian serupa berulang, kami akan mewujudkan garis panduan baharu dan penganjur wajib mendapatkan permit daripada PJS sebelum menganjurkan acara maraton di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Kami tidak mahu ada lagi penganjur yang menyalahgunakan kuasa demi wang ringgit tanpa mempedulikan soal keselamatan peserta,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan sebuah badan khas untuk memantau penganjuran acara larian dalam negara bagi melindungi peserta daripada mengalami kerugian berikutan tindakan penganjur yang tidak bertanggungjawab.

Badan khas

“Kes penganjur acara larian membatalkan acara pada saat-saat akhir tanpa alasan munasabah semakin menjadi-jadi. Yuran yang dibayar pula lesap.

“Saya mencadangkan agar KBS menubuhkan sebuah badan khas untuk memantau penganjuran acara larian secara sistematik di negara ini.

“Sekiranya mereka gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, permit atau lesen penganjuran mereka harus ditarik balik dan disenaraihitamkan. Ini bagi melindungi peserta acara larian daripada mengalami kerugian,” katanya.

Yuran pendaftaran untuk acara larian kini pula dilihat semakin mahal. Ia berbeza mengikut kategori, misalnya acara maraton antara RM50 dan RM110 mengikut jarak 5km, 10km, 21km (separuh maraton) dan 42km (maraton penuh) bagi seorang peserta.

Selain itu, beliau mahu pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur yang menggunakan logo mereka dalam bahan-bahan promosi bagi acara larian.

“Jangan benarkan pihak tidak bertanggungjawab ini sesuka hati menggunakan nama atau logo bagi menarik penyertaan orang ramai. Tindakan undang-undang patut diambil terhadap penganjur seperti ini,” ujarnya.