Siapa sangka, tujuan jejaka berusia 21 tahun itu berkunjung ke lorong tersebut adalah untuk menonton sebuah filem tempatan secara percuma.

Sebagai seorang penuntut sebuah universiti tempatan, anak kelahiran Setiawangsa, Kuala Lumpur itu mengakui sentiasa mencari medium hiburan berpatutan, selain hiburan yang sedikit berbeza konsepnya.

“Saya mendengar tentang projek wayang belakang lorong ini daripada seorang rakan dan berpendapat bahawa ia sesuatu yang baharu.

“Ia juga ditayangkan secara percuma, menjadikan saya lebih teruja untuk menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti mingguan bersama rakan-rakan,” jelasnya.

Projek wayang belakang lorong itu merupakan idea asal seorang pencinta filem tanah air, Bea Leong.

Dalam kesibukan jadualnya, wanita berusia 35 tahun itu sempat berkongsi tentang projek yang digelar BacKLane Cinema tersebut kepada kru Panorama.

Jelasnya, ia merupakan ideanya bersama seorang lagi rakan iaitu Shin Tseng.

Wayang pacak

“Shin Tseng merupakan pemilik The Geographer Cafe yang terletak di Jalan Tun H.S Lee.

“Di belakang premis tersebut, terdapat satu lorong gelap yang agak luas. Tseng kemudian bertanya kepada saya sekiranya berminat untuk melakukan aktiviti kesenian di lorong tersebut.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk mengusahakan wayang pacak atau pun wayang bergerak sekitar ibu kota dan mula menyedari boleh memulakan projek tersebut di lorong yang dimaksudkan,” jelasnya.

Leong kemudian bekerjasama bersama seorang lagi peminat filem iaitu Effa Desa, 36, daripada komuniti pencinta filem indie dikenali sebagai Filmmakers Anonymous.

Menurut Effa, Filmmakers Anonymous merupakan sekumpulan pencinta dan pengarah filem indie yang sudah lama bertapak di negara ini.

“Sebaik sahaja mendengar tentang idea itu, kami berasa teruja dan bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan BacKLane Cinema,” katanya.

Projek yang dimulakan pada pertengahan bulan Mei lalu ternyata mendapat sambutan menggalakkan apabila tayangan pertama mencatatkan jumlah pengunjung seramai 100 orang.

Menayangkan filem indie tempatan, Effa berkata, mereka sama sekali tidak menyangka BacKLane Cinema mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Tayangan pertama bagi projek Backlane Cinema ini dibuat semasa bulan Ramadan lalu bertempat di Lorong Bandar 13 iaitu sebuah lorong bersebelahan bangunan Ruang by Think City, Kuala Lumpur.

“Selain tayangan filem, kami juga berpeluang berbuka puasa bersama kesemua pengunjung yang datang dan ia merupakan sesuatu yang cukup menyeronokkan,” ujarnya.

Pengalaman berbeza

BacKLane Cinema nyata memberikan satu pengalaman berbeza tatkala menonton filem.

Jelas Effa, golongan sasar bagi projek ini ialah individu yang mahu menonton filem tetapi tidak mahu bersesak-sesak di dalam panggung wayang di pusat beli-belah.

“Jika ditanya tentang golongan sasar, kami menyasarkan individu yang mahukan satu pengalaman berbeza apabila menonton sesebuah filem.

“Anda boleh membawa bantal, selimut serta tikar sendiri dan duduk bersama rakan-rakan sambil menonton filem yang ditayangkan,” jelas Effa.

BacKLane Cinema akan ditayangkan pada setiap dua minggu dengan tema berbeza.

Bagi tayangan pertama pada 25 Mei lalu, ia bertemakan The Cities We Live In.

Tayangan kedua pula bertemakan Gratitude dan ia bertempat di bangunan REXKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

“Bagi tayangan kedua, ia dibuat di dalam bangunan REXKL iaitu sebuah pusat kesenian di tengah ibu kota.

Snek tempatan

“Bagi tayangan kedua pula, pihak BacKLane Cinema bekerjasama dengan penjual minuman tempatan seperti air soya dan air mata kucing yang disajikan secara percuma kepada semua pengunjung yang datang.

“Selain tayangan filem percuma, snek bertemakan tempatan juga diberikan secara percuma,” jelas Effa.

Selain air, komuniti itu juga menyediakan snek seperti kuaci dan juga biskut gula aising berwarna-warni yang cukup sinonim dalam kalangan rakyat negara ini.

Sajian menu yang ringkas namun bermakna buat pengunjung yang datang, menjadikan projek BacKLane Cinema ini sesuatu yang dekat di hati penonton.

Selain itu, selepas setiap tayangan filem, pihak BacKLane Cinema juga mengadakan sesi soal jawab bersama pengarah filem atau pun mereka yang terlibat dalam pembikinan sesebuah karya.

“Pengunjung boleh menggunakan peluang ini untuk bertanyakan apa sahaja kepada pengarah atau pemain industri.

“Bagi kami, ia sesuatu pengalaman unik yang tidak boleh diperoleh daripada mana-mana wayang komuniti di negara ini,” ujarnya.

Jelas gadis berambut panjang itu, setiap projek pasti ada cabarannya tersendiri.

Kongsi Effa, cabaran terbesar pihaknya adalah terpaksa bekerja dengan tenaga kerja yang terhad.

“Oleh itu, kami sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi projek-projek akan datang,” jelasnya.

Bagi individu yang berminat untuk mendapatkan maklumat terbaharu tentang tayangan filem BacKLane Cinema, boleh melayari Facebook BacKLane Cinema.