Dengan susuk tubuh sederhana, berkulit putih dan berkaca mata, perwatakan naif yang dibawa lelaki berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu membuatkan ramai orang yakin bahawa dia merupakan seorang lelaki yang baik tingkah laku dalam pergaulan.

Tutur kata dan bicara yang keluar daripada mulutnya pula disusun kemas dan sopan menambahkan lagi keyakinan orang ramai bahawa lelaki itu berpelajaran tinggi dan sangat dihormati.

Bagi Irwan (bukan nama sebenar), 29, pakej lengkap yang ada pada dirinya itu bukan sahaja mampu menutup kegiatan hitam yang dia lakukan, malah turut dijadikan modal untuk dia memikat wanita.

Menurut Irwan, memang sejak di bangku sekolah, dia sememangnya terkenal dengan sikapnya yang peramah dan sopan baik dalam tutur kata mahupun pergaulan.

Wajahnya yang kelihatan seperti lelaki yang baik membuatkan ramai orang percaya bahawa sikapnya juga seperti yang digambarkan pada wajahnya.

Namun, segala andaian oleh orang ramai termasuk kenalannya sendiri ternyata silap apabila Irwan sebenarnya mempunyai tabiat suka melanggan pelacur semata-mata untuk kepuasan nafsu.

Irwan bukanlah lelaki baik seperti yang disangka oleh banyak pihak gara-gara mempunyai personaliti menarik yang ditonjolkan kepada khalayak.

Kepuasan

Boleh dikatakan hampir setiap hari Irwan akan melanggan pelacur ataupun paling tidak berkenalan dengan mana-mana wanita semata-mata untuk melampiaskan nafsunya.

“Saya mula terjebak dengan melanggan pelacur kira-kira lima tahun lalu selepas terlanjur dengan seorang wanita yang dikenali dalam laman sosial,” ujarnya.

Dakwa Irwan, keinginannya untuk melanggan pelacur semakin menjadi-jadi apabila mengakui berasa ketagih mencari kepuasan dengan cara sebegitu.

Tanpa mengira waktu, Irwan juga menggunakan waktu rehat semasa bekerja untuk melanggan pelacur dengan menjadikan beberapa buah hotel bajet di sekitar ibu negara sebagai lokasi untuk dia melampiaskan nafsunya.

Berazam

Hanya dengan bermodalkan bayaran serendah RM30, Irwan mendakwa dengan mudah dia boleh melanggan pelacur sama ada wanita tempatan mahupun warga asing di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi lubuk kegiatan maksiat itu.

Dek kerana perwatakannya yang dilihat baik oleh orang ramai, tiada siapa dapat menghidu kegiatan Irwan kerana lelaki itu pandai menyembunyikan pekung di dada.

Sebagai langkah keselamatan, Irwan mengaku dia akan menggunakan kondom setiap kali mengadakan hubungan intim bersama pelacur bagi mengelak risiko dijangkiti virus HIV dan Aids.

Pada masa sama, Irwan sedar tabiat yang dia amalkan itu tidak patut dilakukan olehnya, lebih-lebih lagi dia tahu dosa-dosa yang ditanggung atas perbuatan terkutuk itu.

Walaupun masih berstatus bujang, Irwan tidak yakin bahawa dengan berkahwin merupakan satu jalan penyelesaian terbaik untuk mengelak dirinya daripada terus terjerumus ke lembah maksiat.

Hal ini kerana, Irwan pernah cuba untuk meninggalkan tabiat buruknya itu dan berazam untuk berubah menjadi seorang lelaki yang baik, seiring dengan tanggapan orang ramai terhadap dirinya, namun ternyata gagal apabila dikuasai nafsu.

“Saya tidak mahu apabila sudah berkahwin nanti, saya masih mengamalkan tabiat lama dengan mencari pelacur untuk kepuasan nafsu,” ujar Irwan.

Dalam pada itu, sekelumit perasaan Irwan sebenarnya yakin bahawa suatu hari nanti, dia pasti akan dapat meninggalkan terus tabiat buruk itu dan kembali ke jalan yang lebih diredai Allah.

Pada masa sama, Irwan berharap agar aib yang dilakukan selama ini terpelihara walaupun selepas dia berubah menjadi insan yang bebas daripada melakukan perbuatan maksiat.

Irwan berazam dan tekad untuk meninggalkan tabiat gemar melanggan pelacur untuk kepuasan nafsu dan ingin berubah menjadi lelaki yang lebih sempurna.