Jasmi yang merupakan seorang bekas guru di Sekolah Vokasional Kangar, Perlis telah memberi pengaruh besar kepada anak kelahiran Kangar itu untuk menceburi bidang perlumbaan kereta dan pemandu profesional.

Hasil didikan guru pertamanya itu telah menjadikan Azad, 45, sebagai pemandu rali, trek, lagak ngeri dan jurulatih pemandu profesional yang turut berjaya dalam bidang akademik serta korporat.

Azad merupakan seorang pelumba versatil yang pernah menyandang jawatan penting dalam bidang korporat seperti Eksekutif Pemasaran dan Sukan Bermotor di Proton, Ketua Jabatan Pemasaran KIA, Jabatan Pemasaran Chevrolet dan Completely Knocked Down (CKD) serta Pengarah Urusan Kleemann Asia Pacific yang beribu pejabat di Copenhagen, Denmark.

Beliau juga merupakan Ketua Jurulatih di TIC Advanced & Performance Driving Academy dan bertanggungjawab sebagai Pengarah Automotif di TAJ International College, Ipoh, Perak.

Kepakarannya dalam pelbagai aspek pemanduan turut terserlah apabila sering berkongsi kemahiran pemanduan di kaca-kaca televisyen misalnya menerusi rancangan Revolusi Auto di Astro dan RTM selain segmen Auto di Nightline TV.

Sepanjang 12 tahun menjadi jurulatih pemandu profesional, Azad telah melahirkan kira-kira 200 pemandu profesional di negara ini selain melatih sehingga 600 pemandu korporat, pemandu anggota kerajaan, individu dan pelajar.

Berguru

Menurutnya, pemandu profesional merujuk kepada pemandu yang menjadikan pemanduan sebagai bidang pekerjaan atau menyertai sektor sukan bermotor yang dibayar setiap kali perlumbaan.

Ceritanya, sejak kecil, beliau telah bercita-cita untuk bergelar pemandu profesional. Pada usia 15 tahun Azad telah mula memandu kereta rali milik bapanya iaitu Nissan Triple S.

“Bagi mendalami teknik pemanduan, saya telah berguru dengan beberapa pelumba hebat seperti Lee Kwai Leong yang merupakan bekas juara trek dan rali kebangsaan serta pernah menganggotai pasukan Nissan.

“Selain itu, saya juga berguru dengan Head of Homologation & Testing Proton, Tengku Azizan Tengku Ahmad; pemandu rali dan trek serta bekas Presiden Kelab Porsche Malaysia, Aminuddin Omar serta juara rali negara, Karamjit Singh,” katanya ketika ditemui K2 di Vii Guard Malaysia, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Perlumbaan kereta pertama yang disertainya ialah ketika berusia 23 tahun di Car-Park Sprint di Perlis bagi kategori 1,600cc yang telah menobatkannya sebagai johan.

Bagi perlumbaan rali pula, penglibatan beliau bermula pada tahun 2005 dalam acara Rally Of Malaysia yang berlangsung di Perlis.

Teknik pemanduannya turut diperkemas apabila berpeluang mengikuti kursus di luar negara seperti Pemanduan Australia V8 Supercar, Subaru Rally Driving di Australia; Pemanduan Atas Ais di Sweden dan Pemanduan Teknik Rali di Britain.

Disiplin

Jelasnya, beliau sangat meminati perlumbaan kereta rali kerana situasi pemanduan yang sukar dijangka dan disiplin masa yang perlu tepat.

“Dalam perlumbaan tersebut, para pemandu rali akan mengharungi jalan berdebu, kawasan ladang kelapa sawit, getah dan berlopak yang memerlukan kami sentiasa peka serta mengubah suai teknik pemandu dengan pantas mengikut situasi semasa.

“Jarak bagi perlumbaan kereta rali bergantung kepada jenis dan kategori rali itu sendiri iaitu sekitar 150 hingga 500 kilometer,” terangnya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tambah beliau, perlumbaan rali amat mementingkan kerjasama berpasukan kerana ia bukanlah kejayaan individu tetapi melibatkan semua pihak termasuklah jurupandu arah dan teknikal.

“Bagi saya pemanduan khususnya rali ini sama dengan kehidupan kita yang berliku. Kita tidak dapat menjangka apa yang akan kita lalui. Apa yang penting, kita perlu cepat mengadaptasi dengan situasi itu. Kita perlu terima apapun yang terjadi sebagai ada hikmahnya.

Terpantas

“Saya tidak akan menyalahkan keadaan, kereta atau pasukan jika mengalami kekalahan,” ujarnya.

Kejayaan terbesar yang pernah dirangkul beliau dan pasukannya adalah ketika menyertai acara Malaysia Rally Championship tiga tahun lalu dengan mendapat tempat kedua keseluruhan bersama jurupandu arah Hazwan Fauzi.

“Kejayaan pada acara Malaysia Rally Championship menjadi kenangan manis bagi diri saya kerana dapat berkongsi podium dengan idola iaitu Karamjit Singh yang dinobatkan sebagai juara pada perlumbaan tersebut,” ceritanya yang gemar membaca buku berkaitan kereta, falsafah kehidupan dan bersenam pada masa lapang.

Di samping itu, beliau juga memenangi Kategori Open pada perlumbaan Endurance Race Generation X di Melaka International Motosports Curcuit pada tahun 2015.

Menyingkap kembali pada tahun 2007, pasukannya juga melakar kejayaan di Sweden apabila mencatatkan masa kedua terpantas dalam acara Time Attack On Ice dengan kenderaan Mercedes AMG yang menewaskan 30 pelumba dari pelbagai negara.

Azad kini dalam proses perbincangan dengan Vii Guard dan Suci Muci Racing Team untuk beliau kembali aktif dalam perlumbaan rali dan trek pada tahun hadapan.

Bercerita mengenai tugasnya sebagai jurulatih pemandu profesional, Azad memberitahu, ia bermula pada tahun 2005 apabila dihantar oleh General Motors Asia Pacific ke Australia untuk mengikuti kursus latihan pemanduan dan kursus menjadi jurulatih pemanduan.

“Kemudian saya banyak berkongsi ilmu mengenai teknik pemanduan bagi melahirkan pemandu profesional dan bagi mereka yang berkeinginan untuk bergelar pelumba rali mahupun trek,” ulasnya lagi.

Teknik memandu

Ujar Azad, di TIC Advanced & Performance Driving Academy, pihaknya menawarkan kursus intensif seperti pemanduan tahap tinggi, pemanduan keselamatan dan berhemah, pemanduan defensif, pemanduan cegah culik dan pemanduan teknik chaufer serta program automotif lain.

Akademi itu menawarkan kursus berkaitan kepada orang awam, pembantu peribadi, pemandu syarikat dan pengawal peribadi.

“Kursus pemanduan itu penting bagi memastikan pemandu menguasai teknik untuk memandu secara selamat terutama ketika hujan atau mengelak halangan di jalan raya yang tidak terduga.

“Kemahiran seperti pemanduan defensif, cegah culik dan chaufer juga penting bagi pemandu-pemandu yang membawa orang kenamaan bagi memberikan keselesaan serta keselamatan sepanjang pemanduan,” tuturnya yang telah bertugas sebagai Ketua Jurulatih sejak 12 tahun lalu di TIC Advanced & Performance Driving Academy.

Jelasnya lagi, di luar negara, pemandu-pemandu profesional mempunyai sijil dan mereka diberi elaun yang tinggi kerana kemahiran yang dimiliki itu sedangkan di Malaysia belum ada satu penanda aras atau rangka skala gaji bagi tahap kemahiran pemandu.

“Bagi bergelar pemandu profesional, mereka memerlukan masa minimum sekitar dua hingga tiga tahun bergantung kepada kesungguhan dan minat.

“Saya lihat cabaran utama untuk melahirkan pemandu profesional di negara ini ialah mengubah sikap yang sudah menjadi kebiasaan mereka yang dianggap sebagai ‘budaya pemanduan’ mereka. Selain itu ialah sikap ego kerana ramai yang sukar mengakui kelemahan mereka,” katanya.