Buahnya berbentuk bujur dengan kulit berwarna hijau berkilat. Isi buahnya berwarna kuning kehijauan dan mempunyai biji yang agak besar di tengah. Daun pokok avokado mempunyai hujung yang runcing.

Di negara Barat termasuk Australia dan New Zealand, buah ini sangat digemari dan sering dijadikan sebagai bahan premium untuk pelbagai diet mereka termasuk pasta, jem roti, perasa minuman dan banyak lagi.

Saban tahun, hampir 3.2 juta tan metrik tanaman avokado dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan di seluruh dunia.

Mexico merupakan negara pengeluar utama avokado dunia dengan lebih 1.1 juta tan metrik setahun, diikuti oleh Indonesia 263,000 tan metrik.

Meskipun Indonesia merupakan antara penyumbang terbesar kepada pengeluaran avokado, tidak ramai penduduk negara Asia termasuk Malaysia menggemari buah ini kerana rasanya yang tawar berbanding buah-buahan lain.

Di sebalik rasanya yang kurang menarik, tanaman ini mengandungi banyak kebaikan yang harus diketahui bersama.

Peribahasa Melayu

1. Mengawal tekanan darah

Menurut kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat, penambahan avokado sebagai diet harian boleh membantu mengawal kadar tekanan darah sekali gus mengelak masalah jantung, strok dan buah pinggang.

Ini kerana, avokado memiliki kadar potasium yang sangat tinggi. Setiap 100 gram sajian avokado mengandungi empat peratus lebih potasium berbanding buah pisang yang sangat popular sebagai buah penuh nutrisi.

2. Fungsi mata

Avokado merupakan buah yang memiliki kadar antioksida yang sangat tingi. Ia merangkumi nutrisi seperti lutein dan zeaxantin yang sangat penting kepada kesihatan mata.

Pakar di Britain menyarankan agar penduduknya mengamalkan sekurang-kurangnya tiga hirisan avokado dalam makanan ruji mereka kerana kandungan antioksida di dalamnya boleh mengurangkan risiko katarak mata dan degenerasi makula, kerap dialami oleh orang tua.

3. Berat badan ideal

Walaupun sebiji avokado mengandungi kira-kira 30 gram lemak, ia tidak menghalang buah ini sebagai rejim menguruskan badan.

Ini kerana lemak yang terkandung di dalamnya ialah asid lemak tak tepu mono yang turut membawa kebaikan kepada badan.

Menikmati jus avokado dicampur bersama susu akan membantu tubuh berasa lebih kenyang tanpa meninggikan kolestrol dalam darah.

4. Kulit cantik

Selain kesihatan, avokado juga baik untuk rawatan kulit. Kandungan vitamin E dan C dalam avokado juga berupaya menyuburkan kulit sekali gus kelihatan segar dan bersinar.

Disebabkan itu, minyak avokado banyak digunakan sebagai bahan tambahan dalam barangan kosmetik antarabangsa.