Ia dikatakan berasal dari negara-negara di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina.

Tergolong dalam keluarga tumbuhan Bromiliaceae, ia merupakan sejenis pokok Epiphyte iaitu tumbuh menumpang atas pokok lain tetapi mendapat nutrien daripada air hujan dan reputan pada bahagian pokok lain.

Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Urn plant dan Silver vase plant yang bermaksud pokok pasu perak kerana daun yang berwarna kelabu keperakan berbelang hijau itu tersusun seperti pasu bunga.

Selain itu, ia juga digelar sebagai Tank bromiliad atau Bromiliad tangki kerana pasunya itu boleh bertindak sebagai tangki yang mampu memerangkap dan menakung air hujan serta nutrien untuk pemakanan.

Pokok yang telah dewasa akan mengeluarkan setangkai bunga majmuk yang tumbuh dari tengah pasu tadi.

Bunga berwarna ungu yang dikelilingi oleh brakta atau pengasuh bunga yang berwarna merah muda.

Bunga-bunga kecil ini tumbuh di sekeliling tangkai untuk membentuk gugusan bunga yang boleh bertahan selama melebihi sebulan.

Ia senang ditanam tetapi memerlukan sedikit penjagaan dan perhatian seperti berikut:

Pembiakan:

Pokok ini senang dibiak menggunakan kaedah belahan rumpun dan keratan anak sulur atau offset yang tumbuh dari sisi batang pokok induk yang telah dewasa. Ikuti kaedah penanamannya seperti berikut:

1. Potong anak sulur yang telah mencapai kebesaran sekurang-kurangnya 1/3 daripada saiz pokok induk. Sebaiknya terdapat akar-akar yang masih terlekat pada batang.

2. Semai dalam medium bersaliran baik seperti pasir sungai.

3. Kekalkan kelembapan medium semaian agar ia cepat berakar. Apabila berakar, pindah dan tanam dalam medium tanaman kekal.

Pokok ini sesuai tumbuh dalam medium tanaman yang air siraman senang mengalir keluar dalam nisbah 3:2:3 (tanah peroi:bahan organik:pasir sungai). Sebagai pilihan, anda boleh menggunakan campuran arang, serbuk kayu dan lumut Sphagnum moss yang seakan-akan campuran medium tanaman aslinya.

Penjagaan:

1. Dedahkan ia kepada cahaya yang banyak tetapi sedikit terlindung. Elak dedahan kepada cahaya terik agar daun tidak melecur.

2. Siram pokok ini dan biarkan medium tanamannya kering sebelum menyiram semula.

3. Gunakan baja organik iaitu najis ayam atau kelawar yang telah diproses. Baja kimia jenis cecair juga boleh digunakan. Namun, berhati-hati ketika menggunakan baja bijian kerana ia boleh melecurkan bahagian pokok yang terkena.

Idea pameran:

Ia senang dipamerkan dalam pelbagai cara seperti ditanam di atas tanah atau di dalam pasu yang agak besar untuk pameran yang lebih menarik.

Tip:

1. Pokok ini mempunyai duri pada bahagian tepi daun seperti daun nanas. Elakkan di tanam di ruang yang menjadi lalu-lalang bagi mengelakkan kemalangan.

2. Pada hari terlalu panas, sembur daun dengan air bagi mengelakkan daun itu menjadi kekuningan dan seterusnya kekeringan.

3. Masukkan air ke dalam ruang pasu iaitu ruang di tengah susunan daun pokok supaya ia mendapat kelembapan yang diperlukan untuk hidup subur seperti di alam semula jadi.