Ikan tersebut meraih perhatian dunia baru-baru ini apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berkunjung ke Jepun telah dikecam kerana mencalar tradisi Jepun apabila mencurah sekotak makanan ikan koi ke sebuah kolam istana di Tokyo secara culas.

Namun, ikan daripada jenis kap itu sebenarnya telah popular berdekad-dekad di Jepun dengan pembiak-pembiak tersohor membawa spesimen dikenali sebagai nishikigoi (ikan koi berwarna) ke peraduan-peraduan kecantikan kompetitif.

Di salah satu pertandingan seumpamanya di Tokyo awal bulan ini, para juri yang berpakaian sut dan berbuku nota di tangan mundar-mandir di sekeliling tangki-tangki ikan. Tangki-tangki ikan itu berderetan di laluan pejalan kaki sebagai lokasi koi-koi berharga dipersembahkan.

Ikan-ikan itu terdapat dalam pelbagai warna bak pelangi: putih bak mutiara, merah terang, kelabu mendung, biru pekat dan kuning keemasan.

Jaga anak

Tetapi bentuk atau kelengkungan ikan itu yang mewakili markah terbanyak iaitu sebanyak 60 peratus dalam skor akhir, terang penganjur pertandingan, Isamu Hattori yang memimpin persatuan pembiak-pembiak koi utama Jepun.

Tambahnya, warna dan kontras mewakili 30 peratus lagi.

Markah 10 yang terakhir? Hinkaku- satu konsep yang agak mengelirukan atau terjemahan terbaiknya ialah aura ikan itu.

“Hinkaku wujud sama ada bersama gen kelahiran atau tidak,” kata Mikinori Kurikara, seorang pembiak koi di Santama, utara Tokyo, yang mengakui boleh mengesan aura pada satu-satu ikan itu apabila ia mencecah usia sembilan bulan.

“Pendek kata, ia seperti menjaga anak anda setiap hari. Anda menjaga anak dan mahu melihat mereka membesar sihat. Begitu juga, anda jaga ikan ini, hargainya dan seterusnya mengaguminya,” tuturnya. Di ladang ternakan ikannya, ribuan nishikigoi atau ikan koi berwarna berenang-renang di dalam besen yang diisi air yang disuling penuh waspada. Ikan-ikan itu juga dibahagikan secara teliti mengikut usia dan warna.

Bagaimanapun, takdir malang menunggu ikan-ikan yang tidak menarik di mata para pembiak. Ia sama ada akan dijual begitu sahaja atau menjadi makanan ikan-ikan tropika.

“Membiak ikan koi ialah satu tugas yang halus, sangat sukar. Semuanya perlu diambil kira, halaman, kualiti air dan makanan,” terang lelaki berusia 48 tahun itu yang telah mengambil alih kolam ternakan tersebut daripada bapanya dan kini sedang melatih anak lelakinya tentang seni pembiakan ikan koi.

“Kami mempunyai banyak rahsia,” selorohnya.

“Tetapi kalau kami dedahkannya pun, ia takkan berjaya dilakukan. Anda perlu mampu merasainya sendiri,” tokoknya.

Dewasa ini, taman-taman tradisional Jepun mempunyai banyak ikan koi yang menghiasi kolam-kolamnya, tetapi ia sebenarnya boleh dikatakan tradisi baharu.

Kira-kira 200 tahun dulu, orang-orang kampung di kawasan pergunungan sekitar Niigata (barat laut Jepun) mula mempraktikkan kejuruteraan genetik tanpa mengetahui apa yang mereka lakukan.

Buat pertama kali, mereka mula mengkacukkan ikan-ikan kap yang berwarna-warni, bukan untuk dijadikan makanan tetapi untuk nilai estetika.

Lama kelamaan kegilaan terhadap nishikigoi meliputi seluruh Jepun dan meluas sehingga ke negara-negara Asia.

Ikan-ikan ini juga popular terutamanya di China apabila ikan-ikan kap berenang menentang arus ini menjadi simbol ketabahan ke arah kekayaan,” kata Yutaka Suga, seorang profesor di Institut Pengajian Asia di Unversiti Tokyo.

Hari ini, koi ialah bisnes yang besar. Eksport ikan koi Jepun meningkat 90 peratus daripada pengeluaran domestik dieksport dan dijual secara bidaan.

Ketenangan

Pada tahun 2016, Jepun telah mengeksport 295 tan ikan koi sekali gus menjana pulangan ¥3.5 bilion (RM0.1 bilion), bertambah hampir 50 peratus berbanding 2007, menurut kementerian pertanian Jepun.

“Sebagai ikan koi peliharaan individu pula, ia dijual pada harga yang sudah tidak masuk akal,” kata Hattori.

“Hari ini, ikan koi yang berusia dua tahun boleh dijual sehingga ¥30juta (RM1 juta) seekor sedekad lalu, ¥2 juta (RM71,400) harga yang sudah cukup baik,” katanya.

Seperti pemilik kuda lumba, banyak juga pemilik-pemilik asing meninggalkan ikan koi milik mereka di ladang-ladang Jepun bagi membolehkan bersaing dalam pertandingan-pertandingan kecantikan ikan berprestij yang hanya dibuka kepada penternak tempatan.

Salah seorang daripadanya ialah seorang pengumpul ikan koi dari China, Yuan Jiandong yang ditemui di sebuah pertandingan kecantikan ikan di Tokyo sedang bersorak untuk ikan-ikan koi miliknya.

“Ia bukan cara untuk membuat duit. Ia adalah cara untuk berbelanja demi keriangan,” kata ketua sebuah syarikat farmasi di Shanghai itu sambil ketawa.

Baginya memiliki koi bukanlah tontonan kemewahan semata-mata.

“Apabila anda melihat ikan-ikan yang cantik ini berenang di sekeliling kolam, anda lupa tekanan kehidupan harian dan temui ketenangan,” ujarnya. – AFP