Adakalanya angin yang bertiup kencang secara tiba-tiba itu menghadirkan rasa ketar pada tubuh badan.

Dalam cahaya samar lampu limpah di setiap penjuru padang, kelihatan kelibat beberapa atlet mengenakan baju-T dan seluar panjang sedang berlari di atas trek berona biru.

Kumpulan atlet lelaki itu berlari secara perlahan-lahan mengelilingi trek sepanjang 800 meter (m) sebanyak beberapa pusingan.

Salah seorang yang berlari dalam kumpulan tersebut ialah atlet 800m dan 1,500m negara, Asif Rahman Jiyaudeen, 20.

Ada ketikanya, Asif Rahman bersama rakan-rakannya berehat sebentar di tepi trek untuk meneguk air sambil berbincang mengenai latihan sebelum meneruskan larian.

Walaupun dalam cuaca dingin, rata-rata dalam kalangan mereka kelihatan letih dengan peluh membasahi muka dan pakaian.

Tepat pukul 4.45 pagi, Asif Rahman beredar dari trek dan bergegas ke kafeteria yang terletak bersebelahan padang tersebut.

Kunjungan mereka ke kafeteria disambut oleh rakan-rakan atlet lain yang sedang bersahur dengan pelbagai juadah enak dan berkhasiat.

Dalam keadaan lelah, Asif Rahman mengambil nasi bersama ayam dan sayur-sayuran untuk mengembalikan semula tenaga selepas latihan.

Itulah sebahagian daripada rutin dilalui oleh Asif Rahman dan atlet negara lain yang beragama Islam sepanjang Ramadan.

Ketika Ramadan, orang Islam diwajibkan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.

“Biasanya, saya dan rakan atlet  berlatih pada sebelah malam iaitu selepas tarawih dan awal pagi sebelum sahur.

“Kami mengorbankan waktu rehat dan tidur semata-mata untuk mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Asif Rahman yang berasal dari Gombak, Selangor memaklumkan, Ramadan bukanlah penghalang buatnya untuk tidak turun berlatih.

Latihan yang dilakukan pada bulan puasa berbeza dengan waktu biasa terutamanya dari aspek intensiti dan waktu.

Larian sederhana
Memandangkan Ramadan tahun ini Asif tidak menyertai sebarang kejohanan, maka latihan yang dilakukan lebih santai.

“Latihan yang dilakukan lebih kepada mengekalkan kecergasan dan stamina.

Misalnya, berlari perlahan-lahan di atas trek atau bersenam di dalam gimnasium.

“Ini bagi memastikan otot badan berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi kejohanan Sukan Malaysia pada Oktober ini,” katanya yang menggemari masakan Melayu.

Imbau anak sulung daripada tiga beradik itu, dia pernah beraksi dalam beberapa kejohanan di luar negara ketika menjalani ibadah puasa.

Asif Rahman memaklumkan, seboleh-bolehnya dia ingin berpuasa ketika kejohanan, namun ia sukar dilaksanakan kerana bimbang memberi kesan buruk.

“Saya berlari dalam jarak sederhana. Jadi, kandungan air dalam badan sangat penting. Ini menyebabkan saya perlu meneguk air secukupnya,” katanya.

Dalam Islam, seseorang dibenarkan tidak berpuasa dalam keadaan tertentu. Bagaimanapun, ia perlu diganti semula selepas Ramadan.

Selain atlet olahraga, pemain bola sepak tanah air turut berdepan cabaran tersendiri pada bulan puasa.

Tahun ini, pentadbir Liga Malaysia, Malaysia Limited Liability Partnership meneruskan Liga Premier dan Liga Super ketika Ramadan.

Kenyang
Kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad, 22, Ramadan merupakan masa sesuai meneruskan prestasi terbaik.

Anak kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu memberitahu, dia dan rakan-rakan telah melakukan langkah penyesuaian diri bermain pada bulan puasa.

Jelasnya, sepanjang bulan mulai ini, perlawanan dilangsungkan pada pukul 10 malam berbanding kebiasaan pada pukul 9 malam.

“Kami boleh berpuasa penuh kerana latihan dilakukan selepas tarawih. Ia berbeza dengan hari biasa yang dilakukan pada waktu pagi dan petang.

“Latihan ini bagi membiasakan diri pemain dengan waktu sebenar permainan sekali gus mengelakkan rasa letih,” ujar pemain kebangsaan itu.

Bagi memastikan tenaga pada tahap terbaik ketika perlawanan, Muhammad Syafiq akan menjamah makanan sehingga kenyang ketika berbuka puasa.

Tegasnya, makanan tersebut mampu membekalkan tenaga berterusan bagi mengharungi perlawanan selama 90 minit.

“Biasanya saya berbuka dengan menjamah kurma dan nasi campur. Kalau ada perlawanan, saya makan nasi ayam kerana ia lebih mudah dihadam dan tidak terlalu pedas.

“Paling penting, saya perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas air  bagi mengelak dehidrasi ketika perlawanan,” katanya yang masih menunggu kelahiran cahaya mata sulung.

Muhammad Syafiq bakal mengharungi tiga perlawanan Liga Super membabitkan pasukan JDT sepanjang Ramadan ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Universiti Putra Malaysia, Tengku Fadilah Tengku Kamalden berkata, Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk atlet gagal mempamerkan aksi terbaik.

Ujarnya, atlet atau ahli sukan perlu membiasakan diri berlatih atau menghadapi kejohanan pada bulan puasa. 

“Para atlet tidak boleh bagi alasan puasa apabila gagal menunjukkan aksi terbaik. Di luar negara, atlet Muslim sentiasa memberi aksi terbaik meskipun berpuasa pada sebelah siang.

“Misalnya, pemain Liverpool, Mohamad Salah dan Sadio Mane boleh berlari pantas dan menjaringkan gol ketika Ramadan,” katanya. 

Tambah Tengku Fadilah, para atlet perlu memastikan makanan yang dijamah ‘kenyang’ secukupnya ketika bersahur dan berbuka. Definisi kenyang kepada atlet adalah pengambilan kalori, protein, karbohidrat, tenaga dan air mencukupi untuk melakukan latihan atau turun beraksi.

“Makanan berkalori dan tenaga sangat penting untuk memberi tenaga manakala hidangan berprotein dapat mengelakkan atlet mudah mengalami kecederaan otot,” katanya. 

Kepada atlet yang beraksi dan berlatih pada sebelah malam, dia menyarankan supaya menikmati hidangan mudah dihadam bagi mengelakkan badan berasa berat dan letih.

Jelasnya, sajian mudah dihadam seperti lasagna atau spageti kerana ia mengandungi daging hancur dan karbohidrat lembut.

“Kalau ambil daging biasa, ia mengambil masa untuk diproses kerana liat. Justeru, saya menyarankan atlet menjamah daging yang sudah dihancurkan. 

“Ilmu mengenai pemakanan ini perlu ada pada atlet itu sendiri. Mereka tidak boleh makan mengikut selera sendiri,” tuturnya.