Di sebuah gimnasium yang terletak di kejiranan bandar Sadr, Baghdad, beberapa orang wanita yang masih muda sedang berlatih mengangkat beban yang jauh lebih berat berbanding badan sendiri.

Kumpulan wanita tersebut begitu fokus terhadap latihan yang sedang dijalankan walaupun gimnasium yang dicat dengan bendera Iraq pada dindingnya bersaiz agak kecil dengan peralatan yang serba kekurangan.

Dengan memakai pakaian berwarna hijau dan hitam, mereka mula mengangkat tangan ke kiri dan ke kanan untuk memanaskan badan.

Mereka kemudiannya bergayut pada palang sebelum bergerak ke tikar getah untuk mengangkat palang beban yang tersedia.

“Bagi mereka yang mengatakan sukan angkat berat bukan untuk wanita, apa yang saya boleh katakan ialah kami juga sebenarnya boleh melakukan apa yang orang lelaki buat.

Bangga

“Malah, saya telah mencabar diri untuk mengangkat beban dan saya bangga dengan apa yang telah saya lakukan,” kata Huda Salim al-Saedi, 20, sambil meletakkan kapur di tapak tangannya.

Huda merupakan salah seorang daripada kumpulan atlet wanita yang dilatih oleh jurulatih Abbas Ahmed pada tahun 2011 dalam usaha melahirkan atlet wanita kebangsaan pertama Iraq dalam sukan tersebut.

Menurut Abbas, pada peringkat awal, usaha tersebut sangat sukar untuk direalisasikan.

“Ia sangat-sangat sukar. Malah, anggota masyarakat juga menolak idea ini kerana bagi mereka, sukan tersebut tidak sesuai disertai wanita,” jelas bekas jurulatih bagi pasukan angkat berat lelaki kebangsaan itu.

Malah, kata Abbas lagi, pihaknya juga tidak menerima sebarang bantuan dana daripada kerajaan untuk melaksanakan projek tersebut.

Sehubungan itu, dia telah mengambil langkah memujuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam sukan selain mereka sememangnya merupakan penyokong dan meminati bidang sukan.

Seperti Huda katanya, wanita itu telah berlatih taekwondo sejak berusia lapan tahun dan merupakan peminat acara angkat berat.

Kini, wanita itu merupakan antara atlet berpotensi tinggi untuk diserapkan sebagai ahli pasukan kebangsaan.

Selain berlatih untuk kecergasan diri, Huda juga melatih adiknya, Hadeel yang kini berusia 17 tahun.

Tahun lalu, kedua-duanya telah terpilih untuk menyertai satu pertandingan yang peringkat Asia yang berlangsung di Turkmenistan.

Pada kejohanan itu, Huda mendapat pingat perak dalam acara snatch bagi kategori 90 kilogram.

Dia juga pernah menjadi juara keseluruhan pada Kejohanan Junior Asia yang diadakan di Nepal sebelum itu.

Adiknya pula menduduki tangga ke-10 pada pertandingan sama bagi acara seumpamanya untuk kategori 68 kilogram, manakala pada kejohanan di Nepal, dia mendapat tempat keempat keseluruhan.

Namun, di sebalik menjadi kebanggaan ahli keluarga, kejayaan yang dikecapi Huda dan Hadeel bermakna sumber kewangan keluarga mereka semakin terjamin.

“Terima kasih kepada sukan angkat berat. Kini saya sudah mempunyai pendapatan dan wang untuk menampung keperluan keluarga setiap bulan.

Pasukan angkat berat wanita Iraq telah mendapat tajaan daripada kelab polis yang membayar gaji bulanan kepada setiap lapan atletnya sebanyak AS$400 hingga AS$800 (RM1,556 hingga RM3,113).

Sokongan

Bapa kepada Huda dan Hadeel, Salim Noma berkata, jika kedua-dua anaknya tidak mendapat sokongan daripada kelab tersebut, ahli keluarga mereka mungkin tidak mampu membayar sewa rumah yang berjumlah AS$330 (RM1,284) sebulan.

Kini katanya, sokongan yang diterima oleh kedua-dua adik beradik itu semakin tinggi terutama anggota masyarakat yang tinggal di kejiranan tersebut.

“Semua orang menunjukkan sokongan kepada kedua-duanya. Mereka turut menyanjung Huda dan Hadeel sebagai hero setiap kali pulang ke rumah selepas tamat kejohanan,” kata Salim.

Kini, atlet angkat berat wanita menjadi kebanggaan mereka selain penyelamat kepada sesetengah keluarga yang berada dalam kelas bawahan.
– AFP