Bagaimanapun, anak lembu yang diberi nama Aston itu menjadi lembu kesayangan penjaganya kerana mempunyai telatah yang menghiburkan.

Semuanya terjadi apabila Aston menjalinkan hubungan baik dengan seorang pelatih kuda, Sabine Rouas dari Strasbourg, Perancis, sekali gus mengubah perwatakannya sebagai seekor lembu kepada seekor kuda.

Lima tahun lalu, Rouas telah kematian seekor kuda kesayangannya yang dijaga selama lebih 20 tahun.

Selepas itu, Rouas tertarik dengan sekumpulan lembu di sebuah ladang susu organik berdekatan tempat tinggalnya.

Salah seekor lembu yang banyak meluangkan masa bersama ialah Aston yang ketika itu masih kecil.

Manja

Katanya, Aston begitu jinak dengannya walaupun waktu kali pertama berjumpa.

“Bagaimanapun pada suatu hari, pemilik ladang ternakan memberitahu Aston akan disembelih apabila usianya mencapai tiga bulan,” jelas Rouas.

Mendengar kata-kata itu, wanita tersebut berasa sangat sedih dan berjanji untuk tidak membiarkan lembu kesayangannya disembelih.

Kerana simpati, pemiliknya bersetuju memberikan Aston berserta ibunya kepada Rouas.

Pada masa sama, Rouas memiliki seekor anak kuda bernama Sammy dan melatihnya untuk sukan menunggang kuda. Sejak itu, kedua-dua haiwan itu tinggal bersama dan menjadi kawan baik.

Aksi kuda

Tanpa disedari, setiap kali latihan, ia diperhatikan oleh Aston hingga lembu itu dapat menangkap setiap pergerakan lompatan dibuat oleh Sammy.

“Saya mengajar Sammy beberapa trik asas dan ia diperhatikan Aston.

“Saya mengajar kaedah sama kepada Aston dan ia berhasil,” katanya yang mengambil masa setahun untuk mengajar Aston.

Selepas tiga tahun, Aston yang memiliki berat mencecah 1.3 tan mempunyai pergerakan seperti seekor kuda.

Antara gaya menarik yang dipamerkan Aston adalah aksi melompat melepas palang, selain pergerakkan kakinya yang meniru seperti pergerakan seekor kuda.

Seekor lembu mempunyai ciri pergerakan dan tingkah laku seperti kuda selepas dilatih oleh Rouas yang merupakan seorang pelatih kuda.