Setelah membuat tinjauan dan carian internet, dia memilih mendaftar ke kelas bahasa Jepun yang dikendalikan tenaga pengajar profesional anak tempatan dikenali sebagai Azlan Sensei. Kelas pengajian Azlan Sensei diuar-uarkan di dalam laman web pengajian itu sebagai pembelajaran bahasa Jepun paling eksklusif di negara ini.

Aizat yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia berharap usaha tersebut dapat membantunya berkomunikasi dengan masyarakat di sana.

“Sebenarnya, program Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Biomekanik yang saya akan ikuti di sana dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Cuma saya berasa mempelajari bahasa Jepun merupakan keperluan penting untuk kehidupan di sana.

“Pada peringkat awal, pengajar memberi fokus kepada pertuturan atau sebutan menggunakan romaji (tulisan roman) sebelum menyelitkan sedikit demi sedikit sistem tulisan Jepun selepas beberapa sesi pembelajaran untuk membiasakan pelajar dengan bahasa tersebut,” katanya kepada K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fokus

Anak ketiga daripada empat beradik yang mengikuti kelas bahasa Jepun itu sejak Julai 2018 berkata, meskipun penguasaannya dalam bahasa tersebut masih pada tahap sederhana, dia mempraktikkan pengetahuan tersebut dengan mengajarkannya kepada ahli keluarga lain.

Berbeza pula dengan seorang penolong pengurus bank bernama Yasmin Azlan Shah, 34, yang sejak dari bangku sekolah rendah begitu meminati drama dan anime dari Jepun lalu menyimpan angan-angan untuk memahaminya tanpa perlu merujuk sari kata yang disediakan.

“Saya mula mempelajari bahasa Jepun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2003 dengan seorang guru persendirian berbangsa Jepun. Guru tersebut menetap di negara ini bersama suaminya yang merupakan warga Malaysia.

“Saya turut memilih bahasa Jepun sebagai subjek tambahan pada zaman kampus dan pernah menduduki Ujian Kemahiran Bahasa Jepun pada tahap pertama di negara ini pada tahun 2008,” ujarnya yang menetap di Putrajaya.

Namun, setelah memasuki alam pekerjaan, kemahiran yang pernah dipelajarinya kian ‘berkarat’ lantaran lama tidak digunakan sehinggalah dia membuat keputusan kembali mengikuti kelas pembelajaran formal Azlan Sensei pada tahun lalu. Sensei bermaksud guru dalam bahasa Jepun.

“Saya memilih kelas peringkat asas dan pertengahan untuk menggilap semula pengetahuan bahasa Jepun yang mengambil masa selama sembilan bulan.

“Kelas yang saya ikuti itu lebih fokus kepada pertuturan harian dan cara menyebut perkataan dengan betul seperti orang Jepun supaya ia tidak kedengaran aneh pada pendengaran mereka.

“Pengalaman saya, aspek tersebut tidak begitu ditekankan di kebanyakan institusi bahasa Jepun yang lain melainkan kita betul-betul berlatih bertutur dengan orang Jepun sendiri,” kongsinya yang pernah beberapa kali melancong ke Jepun.

Sementara itu, Wan Azlan Wan Ali, 39, yang mengasaskan kelas pembelajaran bahasa Jepun, Azlan Sensei sejak tahun 2016 berkata, beliau menggunakan teknik yang dinamakannya ASSIIM iaitu akronim daripada Azlan Sensei Special Indirect and Integrated Method (Kaedah Istimewa Tidak Langsung dan Bersepadu Azlan Sensei).

ASSIIM dirangka berdasarkan pengalaman Azlan sendiri mengajar bahasa Jepun berdasarkan realiti sebenar yang dilaluinya sebagai individu yang pernah belajar dan bekerja di Jepun selama 10 tahun. Pembelajarannya menekankan pertuturan dengan cara sebutan yang betul.

Laras bahasa

Beliau yang turut mempunyai kelulusan Ujian Tertinggi Bahasa Jepun dari Perkhidmatan Pertukaran Pendidikan Jepun dan Yayasan Jepun 2009 berkata, soal lidah keras bukan isu besar kerana masalah itu lazim dihadapi bukan penutur jati bahasa Jepun.

“Misalnya, cara sebutan Tsuneda (nama orang) atau kotatsu (meja rendah) bukanlah berbunyi Suneda atau kotatsu sebaliknya, tsu disebut tse dengan lidah perlu menyentuh gigi dan memperlahankan sebutan huruf e.

“Saya juga berpengalaman bertemu rakan maya atau pelajar yang menuturkan frasa kasar atau kurang sopan yang ditiru daripada anime yang ditonton kerana kurang memahami peraturan laras bahasa tersebut,” tuturnya.

Sering mempromosi penggunaan bahasa Jepun yang betul menerusi status dan rakaman video di laman sosial, Azlan mengajar bahasa Jepun pada hujung minggu meskipun terikat dengan rutin pekerjaan di sebuah syarikat pembuatan di Bandar Baru Bangi pada hari biasa.

“Masih bekerja dengan syarikat Jepun pada masa ini, saya menggunakan bahasa itu setiap hari untuk berurusan dengan rakan sekerja atau pelanggan meliputi urusan surat-menyurat dan kiriman e-mel,” jelasnya.

Bekas penuntut Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak bercerita, selepas tamat SPM dengan keputusan cemerlang, beliau terpilih mengikuti program Ambang Asuhan Jepun di Universiti Malaya (UM) sebelum menyambung pengajian ke Universiti Akita di Jepun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

“Sejak kecil saya amat meminati watak ninja yang sering dipaparkan dalam drama dan animasi Jepun. Dari situ minat saya terhadap bahasa dan budaya Jepun bercambah.

“Bahasa Jepun ada ditawarkan di STAR tetapi saya memilih belajar bahasa Arab, tetapi Alhamdulillah saya berpeluang belajar bahasa tersebut selama dua tahun di UM sebelum berangkat ke Jepun,” imbaunya yang berasal dari Kampung Paya Ular, Pasir Mas, Kelantan.

Selepas tamat pengajian, Azlan bekerja di Jepun sebagai jurutera. Beliau pulang untuk berkhidmat di tanah air setelah 10 tahun bermastautin di sana.

Lima tahun bekerja di Malaysia, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana ingin menemani isteri tercinta menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) di Australia.

Berkumpulan

Di negara kanggaru itulah terdetik di hati bapa kepada dua cahaya mata itu untuk secara serius menggilap kemahiran bahasa Jepunnya dengan mengikuti kursus mengajar yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa Jepun Dunia di Australia untuk melayakkannya menjadi tenaga pengajar yang diiktiraf.

“Kemudian, saya mengajar separuh masa di sana kerana niat utama ialah memberi sokongan kepada isteri sekali gus menguruskan keluarga kerana memahami bukan mudah melalui perjalanan bergelar pelajar PhD.

“Saya hanya mengambil kurang daripada 10 pelajar untuk setiap sesi supaya tumpuan penuh dapat diberi untuk setiap individu.

“Ketika itu, kebanyakan pelajar saya adalah penuntut dari Malaysia yang belajar di Universiti Wollongong, Australia,” jelasnya.

Meneruskan legasi Azlan Sensei selepas pulang menetap di Malaysia pada tahun 2017, beliau telah mencurah ilmunya kepada lebih 70 pelajar. Ada di antaranya merupakan warga emas berusia lebih 50 tahun yang hadir belajar kerana ingin mengisi masa senggang.

Azlan Sensei menawarkan kursus jangka panjang dan pendek terbahagi kepada tahap asas, asas tinggi, pertengahan, pertengahan tinggi, maju dan profesional dengan setiap peringkat mengambil masa tiga bulan.

Beliau akan mengajar secara berkumpulan di kelas yang terletak di Bandar Baru Bangi atau di tempat pelajar selain menawarkan kelas online.

Tambahnya, ada syarikat korporat menjemputnya mengajar kakitangan mereka yang terlibat dalam perusahaan berkaitan produk, teknologi atau bisnes berasal dari Jepun.

Azlan berkata, kebanyakan pelajarnya merupakan golongan yang sudah bekerja dan berumah tangga.

“Saya sering ditanya calon pelajar adakah mereka mampu berbahasa Jepun selepas tamat belajar, jawapannya ya atau tidak kerana ia bergantung kepada individu itu sendiri pada akhirnya.

“Kebolehan bertutur bahasa Jepun bukanlah sesuatu yang mustahil dikuasai berbekalkan modul, kaedah pembelajaran sistematik dan silibus pelajaran yang mudah diikuti,” tuturnya.

Kaedah pembelajaran bahasa Jepun Azlan Sensei memfokuskan pertuturan harian dan cara sebutan yang betul seperti orang Jepun supaya ia tidak kedengaran aneh.