Namun, ketika berlegar-legar di aras tiga kompleks tersebut, dia terhidu aroma harum yang terbit dari sebuah kedai yang terdapat di lokasi itu.

Situasi tersebut mendorong gadis yang mesra dengan panggilan Nadia itu untuk mendekati kedai berkenaan.

“Cubalah rasa kuih baulu ini terlebih dahulu. Kalau makan satu mesti mahu lagi,” kata salah seorang pekerja lelaki sebaik sahaja Nadia sampai di hadapan kedai Emanis Bahulu Panas itu.

Nadia kemudiannya mengambil sebiji kuih baulu panas yang diletakkan di dalam dulang untuk dinikmati.

“Lembut dan manis rasa struktur kuih baulu ini. Bila makan panas-panas kuih baulu ini terasa sedikit rangup.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah bau kuih baulu yang baru dikeluarkan dari ketuhar. Saya rasa, bau tersebut mampu menarik sesiapa sahaja untuk datang ke kedai ini,” jelas anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Nadia menjelaskan, bau enak kuih baulu itu juga mengembalikan nostalgia sewaktu kecil menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana dia akan membantu ibunya untuk menyediakan kuih tradisional tersebut.

Meskipun dia bukan penggemar kuih baulu, jika teringin untuk menikmati kuih tradisional itu, Nadia pasti akan berkunjung ke Kompleks Pekan Rabu.

“Di Pekan Rabu ini terdapat ramai pengusaha kuih baulu. Pengusaha juga kreatif kerana mempelbagaikan kuih tradisi ini dengan rasa pandan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Syafiq Razak, 22, menjadikan perjalanan dari rumahnya di Pendang ke Kompleks Pekan Rabu sebagai rutin harian.

Dia yang sudah tiga tahun bekerja di Emanis Bahulu Panas akan memecahkan telur di dalam satu bekas dan kemudiannya diadun bersama tepung gandum serta gula dengan menggunakan sebuah mesin adunan sebaik sampai ke kedai tersebut.

Tugasnya bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir tujuh jam kemudian.

“Setelah adunan ini sebati, ia akan dimasukkan di dalam acuan untuk dibakar menggunakan mesin ketuhar selama beberapa minit.

Idea berniaga

“Acuan ini akan disapu dengan minyak sebelum adunan dimasukkan bagi memudahkan kuih baulu ditanggalkan sebaik sahaja ia dibawa keluar dari ketuhar,” jelasnya.

Sementara itu, permintaan tinggi terhadap kuih baulu terutamanya pada musim perayaan mendorong pasangan suami isteri, Jamaludin Osman, 55, dan Fatimah Harun, 50, yang berasal dari Alor Setar, Kedah untuk mengusahakan perniagaan Emanis Bahulu Panas sejak dua dekad lalu.

Jamaludin menjelaskan, sebelum mengusahakan perniagaan kuih baulu, dia dan isterinya terlebih dahulu menjadi pengedar kuih-muih tradisional di Kompleks Pekan Rabu sejak tahun 1994.

Namun, pada tahun 1998, dia mendapati permintaan terhadap kuih baulu terutamanya pada musim perayaan begitu tinggi.

“Daripada situ, saya mendapat idea untuk mengusahakan perniagaan kuih baulu secara serius.

“Saya dan isteri mengambil masa hampir lapan bulan untuk mencuba bagi mendapatkan kuih baulu yang gebu, lembut dan rangup.

“Sebelum itu, saya dan isteri belajar menghasilkan kuih baulu daripada orang tua-tua yang mahir dan kemudian diolah mengikut cara kami sendiri” katanya.

Tambahnya, pada awal perniagaan, mereka menghasilkan kuih baulu di rumah sebelum dibawa ke Kompleks Pekan Rabu untuk dijual.

Pada peringkat awal, dia melakukan kerja itu bersama isteri kerana dua anaknya masih kecil.

Ujian

Pada tahun 2004, Jamaludin mendapat idea menghasilkan kuih baulu yang dijual panas dan akhirnya dia memilih untuk melakukan proses tersebut di kedainya.

Jamaludin berkata, dia merupakan antara pengusaha awal yang mengusahakan kuih baulu panas di kompleks tersebut.

Namun, perniagaannya berhadapan ujian pada tahun 2007 apabila kedai itu diarah tutup disebabkan oleh beberapa faktor.

Jamaludin dan isterinya akur dengan keputusan itu dan mereka kemudiannya berhijrah ke Kuala Selangor, Selangor untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun 2009, mereka kembali berniaga di Kompleks Pekan Rabu setelah pihak pengurusan membenarkan kuih baulu dihasilkan di lokasi itu.

Kini, mereka menghasilkan lebih 15,000 biji kuih baulu sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Jumlah itu akan meningkat kepada lebih 25,000 biji sehari menjelang musim perayaan terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri.

“Sehari kami menggunakan lebih 50 kilogram tepung gandum dan hampir 2,000 biji telur ayam bagi menghasilkan kuih baulu.

“Kami mempunyai 15 orang pekerja dan mereka bertanggungjawab untuk menghasilkan kuih baulu panas ini. Mereka akan bekerja dari pukul 9 pagi hingga 6 petang,” jelas Jamaludin.

Sementara itu, Fatimah berkata, mereka menghasilkan empat jenis kuih baulu iaitu kuih baulu cermai, kuih baulu kecil, kuih baulu ikan dan kuih baulu kemboja.

Acuan logam

Apa yang membezakan kuih baulu itu adalah bentuk acuan yang digunakan.

“Kami menggunakan acuan jenis logam kerana ia tahan panas lebih lama dan mudah untuk kuih baulu itu diasingkan daripada acuan. Selain itu, acuan logam ini membolehkan kuih baulu dibakar secara sekata.

“Bahan-bahan untuk menghasilkan kuih baulu ini sama sahaja iaitu tepung gandum, telur dan gula.

“Namun, apa yang menyebabkan kuih baulu ini menjadi gebu dan lembut adalah suhu ketuhar untuk membakarnya. Jika kita menggunakan suhu membakar yang betul, kuih baulu yang terhasil pasti akan sempurna dan enak untuk dimakan,” katanya.

Lebih istimewa, kuih baulu yang dihasilkan itu boleh bertahan selama dua minggu.

Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan, sambutan yang diterima daripada pelanggan juga amat baik dan setiap hari, kuih baulu yang dihasilkan itu akan habis dijual.

Harga yang dijual ialah RM10 bagi satu bekas yang mengandungi lebih 50 biji kuih baulu.

“Saya juga sering mendapat permintaan daripada pelanggan yang mahu menjadikan kuih baulu ini sebagai buah tangan pada majlis perkahwinan.

Apa yang lebih membanggakan, kuih baulu yang dihasilkan pasangan itu bukan sahaja digemari oleh masyarakat Melayu tetapi turut ditempah kaum India dan Cina untuk meraikan tetamu pada Hari Deepavali serta sambutan Tahun Baru Cina.