Pengasas Aqiqahcentre.com itu melawat kandang kambing di situ yang diusahakan bersama seorang lagi rakan baiknya.

Begitulah rutin harian anak muda itu yang langsung tidak kisah terpaksa berkejar setiap hari antara menyempurnakan pesanan pelanggan dengan bekerja keras menjaga kambing ternakannya yang menjadi sumber rezeki sejak lima tahun lalu.

Lazimnya, apabila menyebut perniagaan menternak kambing, apa yang terbayang di minda ialah ia diusahakan oleh orang-orang yang lebih berusia.

Begitu pun, pembabitan Halim dalam industri penternakan kambing telah mengubah persepsi ini dan membuktikan bahawa generasi muda juga tidak kisah bekerja di ladang ternakan.

Lebih menarik, Halim dan rakan kongsi masing-masing mempunyai ijazah hebat daripada universiti terkemuka negara dan juga sebuah universiti di Mesir.

Membuka bicara, Halim memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka jenama Aqiqahcentre.com yang ditubuhkan menjadi antara penawar servis akikah popular di negara ini.

“Saya dan rakan kongsi, Abdullah Mubarak Hasanuddin menubuhkan Aqiqahcentre.com pada Januari lalu. Saya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Fiqh dan Usul Fiqh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, manakala Abdullah Mubarak pula merupakan pemegang ijazah dalam jurusan Syariah Islamiyah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Sejarah kami dalam industri penjualan kambing pula bermula sejak April 2014 dan mempunyai kandang kambing fizikal dan penjualan kambing dilakukan secara runcit terus kepada pelanggan.

Ternak kambing

“Ketika itu, kami mengusahakan kandang kambing sendiri dengan berbekalkan tanah seluas 0.4 hektar dan 60 ekor kambing biri-biri yang diimport dari Australia dan juga kambing tempatan sebelum mula menawarkan khidmat akikah dan korban,” tuturnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, semasa mula mengusahakan ladang kambingnya, belum ramai anak muda yang mahu menceburkan diri dalam industri itu kerana menganggap pekerjaan tersebut sukar, selain persekitaran yang panas dan kotor.

“Ketika itu, kami merupakan antara anak muda pertama yang berkecimpung dalam perniagaan kambing.

“Menjadikan itu sebagai keunikan, kami yakin ia menjadi titik perbandingan menarik antara penjual kambing lain di luar sana dengan saya dan rakan perniagaan di Aqiqahcentre.com,” jelas Halim.

Tambahnya, perniagaan yang dijalankan secara atas talian juga turut membantu dia dan Abdullah menempa nama dalam industri penjualan dan pembekal daging kambing.

Selain itu, semasa masih lagi menuntut di universiti, hati kecil Halim pernah terdetik tentang perniagaan yang mahu diusahakan.

Dia pernah bertanya kepada dirinya, sekiranya dia mahu mengusahakan perniagaan, perniagaan apakah yang akan berkekalan sehingga hari kiamat?

“Ketika itu, saya terfikir, selagi adanya Islam di muka bumi, selagi itulah adanya ibadah qurban dan juga akikah sehinggalah hari kiamat.

“Ini menjadi pendorong dan titik tolak perniagaan menternak kambing dan servis korban yang diusahakan sehingga kini,” jelasnya.

Katanya, proses tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.aqiqahcentre.com, Instagram @aqiqahcentredotcom dan juga WhatsApp di nombor 010-840 0803.

Pelanggan akan diberikan borang atas talian yang perlu dilengkapkan, sahkan tempahan dan membuat bayaran. Hanya tiga langkah mudah diperlukan untuk urusan akikah dan korban.

Selepas berkecimpung dalam bidang ini, jelas Halim lagi, kami menyedari pada tahun 2018, ada antara pelanggan yang tidak mampu melaksanakan ibadah akikah kerana harga kambing agak mahal di negara ini.

Akikah di Mekah

Disebabkan itu, menurut Abdullah, pihaknya kini menyedianan servis menyempurnakan ibadah akikah di Tanah Suci Mekah yang jauh lebih murah.

“Harga bagi seekor kambing di Mekah tidak sampai RM500 dan ini memberikan pilihan kepada pelanggan.

“Sebagai bukti yang kami menjalankan ibadah di sana, pihak Aqiqahcentre.com akan menyertakan bukti sembelihan akikah dan juga sijil penyertaan daripada ukiran kayu unik sebagai kenangan buat keluarga yang menjalankan akikah bersama kami,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Halim turut memaksimumkan penggunaan media sosial bergambar di Instagram @aqiqahcentredotcom dalam menjawab sebarang soalan berkenaan ibadah korban dan akikah kendalian syarikatnya.

“Dalam era serba moden dan digital ini, kita semua sedia maklum dengan kuasa media sosial sebagai platform perkongsian maklumat.

Platform interaktif

“Platform seperti Instagram juga cukup memudahkan saya dan rakan kongsi perniagaan dalam menjawab soalan dan kemusykilan yang diajukan oleh pengikut kami,” jelasnya.

Tambah Halim, kaedah perkongsian video pendek yang diperkenalkan Instagram cukup membantu proses interaksi dengan pelanggan.

“Sekiranya anda biasa menggunakan Instagram, tentu perasan medium soalan dan jawapan yang diperkenalkan laman sosial popular itu.

“Aqiqahcentre.com banyak berkongsi video atau insta stories menggunakan platform tersebut kerana maklumat boleh disalurkan dalam bentuk video pendek berdurasi sekitar 15 saat.

“Ini lebih mudah difahami serta lebih jelas,” katanya.

Aqiqahcentre.com tawar khidmat akikah dan korban atas talian yang telus dan amanah serta menggunakan Instagram sebagai platform interaktif buat pelanggan yang mempunyai sebarang kemusykilan.