Anjing berkenaan diberi nama Maximus Mighty Dog Mueller II, namun bagi penduduk Idyllwild, ia lebih dikenali sebagai Datuk Bandar Max.

Datuk Bandar Max yang memakai tali leher sering dilihat meronda bandar berkenaan dengan menaiki trak pikap peribadinya untuk bergaul mesra dengan para pengundi, namun sudah tentu bukan Max yang memandu kenderaan berkenaan.

Ketua kakitangan Datuk Bandar Max, Phyllis Mueller akan membantu Datuk Bandar Max beramah mesra dengan orang ramai, biasanya wanita itu akan memberi kad nama atau haiwan kecil kepada orang ramai yang ditemui mereka.

Dia juga membantu Datuk Bandar Max dengan kerja-kerja seharian di pejabat.

“Peranan saya sebagai ketua kakitangan adalah untuk membantu melaksanakan perancangan yang pejabat Datuk Bandar mahu lakukan untuk Idyllwild,” kata Mueller.

“Max sangat hebat. Ia amat mesra dan membiarkan anak saya menyuapkannya makanan,” kata Andrea Valadez, seorang pelancong di Idyllwild.

Pilihan raya

Datuk Bandar Max telah berkhidmat selama lima tahun sebagai Datuk Bandar Idyllwild.

Baru-baru ini, Max sekali lagi terpilih menjadi Datuk Bandar Idyllwild dalam pilihan raya yang diadakan selepas penggal kelima perkhidmatannya terdahulu tamat.

Disebabkan Idyllwild merupakan sebuah bandar yang tidak diperbadankan, bandar berkenaan sebelum ini tidak pernah mempunyai datuk bandar manusia.

Pada tahun 2012, sebuah badan bukan kerajaan, Idyllwild Animal Rescue Friends memutuskan untuk menaja pilihan raya Datuk Bandar Idyllwild yang pertama.

Dalam pilihan raya berkenaan, penduduk tempatan dibenarkan untuk mencalonkan anjing atau kucing peliharaan mereka sebagai calon.

“Enam tahun lepas, penduduk Idyllwild memutuskan untuk memilih datuk bandar yang pertama daripada kalangan penduduk tempatan.

“Penduduk bagaimanapun tidak dibenarkan bertanding sendiri, sebaliknya hanya haiwan peliharaan mereka,” kata Muller.

Tambahnya, pada hari pengundian, sebanyak 14 ekor anjing dan dua ekor kucing bertanding merebut jawatan berkenaan.

Datuk bandar pertama

Pilihan raya itu dimenangi oleh seekor anjing jantan jenis Golden Retriever yang juga bernama Max.

Max merupakan bapa saudara kepada Datuk Bandar Max kini.

Selepas datuk bandar yang pertama mati pada tahun 2013, penduduk bandar berkenaan mengundi untuk memilih Datuk Bandar Max yang ketika itu masih merupakan anak anjing sebagai pengganti.

“Tugas rasmi Datuk Bandar Max ialah membantu menjadikan dunia tempat yang lebih baik dengan menyampaikan perasaaan cinta tanpa syarat dan melakukan banyak perbuatan baik untuk orang lain,” kata Mueller.

Antara tugas Datuk Bandar Max termasuk merasmikan acara mengumpul dana bagi membantu haiwan dan lain-lain acara komuniti sepanjang tahun.

Dalam melaksanakan tugasnya itu, Datuk Bandar Max akan dibantu oleh dua ekor anjing lain iaitu Timbalan Datuk Bandar Mikey dan Mitzi.

Ketiga-tiga anjing itu dikatakan mempunyai kaitan kekeluargaan.