Selepas membetulkan kedudukan badannya, dia mula mencapai dua helai karpet putih untuk dipegang dan dipusingkan menggunakan kedua-dua tangannnya.

Kesemua penonton yang menghadiri pertunjukan sarkas pada malam itu kelihatan berdebar untuk menonton aksi Phillips.

Tanpa membuang masa, wanita berambut perang itu kemudiannya menimbang serta memusing-musingkan sebuah meja kecil dengan kaki kanannya.

Lebih mengagumkan, berat meja tersebut adalah 13 kilogram namun mampu dipusingkan oleh Phillips menggunakan sebelah kaki sahaja.

Aksinya itu mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang menyaksikan pertunjukan sarkas tersebut.

Ternyata, nama Phillips bukanlah asing dalam dunia sarkas kerana wanita kelahiran Whangarei, New Zealand itu sudah beberapa kali tular kerana aksinya yang mengagumkan.

Timbul minat

Ujar Phillips, minatnya dalam dunia sarkas timbul semasa dia menonton pertunjukan Cirque de Soleil di Whangarei pada usia 16 tahun.

“Selepas menonton pertunjukan tersebut, saya tahu saya mahu menjadi seorang penghibur di sarkas.

“Semasa berusia 20 tahun, saya menjalani latihan di sebuah sekolah sarkas terkenal di China,” jelasnya memulakan bicara.

Selepas menjalani latihan untuk menimbang karpet dan juga meja dengan menggunakan kaki, Phillips sedar ia merupakan sesuatu yang cukup sukar dan hati kecilnya terdetik untuk mula berputus asa.

Hal ini kerana, aksi-aksi sarkas tersebut memerlukan kekuatan otot.

Begitu pun, Phillips kemudian mula mengumpul semangat dan bekerja keras untuk menjadi seorang bintang sarkas terkenal.

Ternyata, kerja keras wanita itu berbaloi apabila dia kini cukup terkenal dan berpeluang mengembara ke pelbagai negara untuk pertunjukan sarkas.

Bertutur lanjut, Phillips memberitahu, walaupun kerjayanya nampak menarik dan glamor, ia sebenarnya cukup sukar selain berbahaya.

“Saya mengangkat sebuah meja seberat 13 kilogram dengan hanya menggunakan kaki.

“Bayangkan jika ia terjatuh di atas badan saya, sudah tentu saya boleh cedera,” ujarnya.

Phillips memberitahu, selain meja dan karpet kecil, dia juga boleh menimbang payung dengan menggunakan kakinya.

“Mengimbangi payung tidak sesukar mengimbangi meja kerana payung lebih ringan.

“Begitu pun, memandangkan payung lebih ringan, ia lebih mudah untuk hilang keseimbangan dan saya perlu bijak mengawalnya dan mengelakkan ia daripada terjatuh,” jelasnya panjang lebar.

Phillips merupakan seorang yang cepat belajar dan hanya mengambil masa beberapa bulan untuk mahir mengimbangi meja.

Ujar wanita itu lagi, kerjaya tersebut menuntutnya untuk memiliki daya fokus yang cukup tinggi.

Daya fokus

Phillips juga bersyukur kerana semasa di China, dia belajar banyak perkara yang membantunya dalam meneruskan kerjaya sebagai gadis sarkas.

“Saya belajar teknik memusingkan karpet kecil menggunakan sebelah kaki sambil mengimbangi badan di China.

“Sama seperti mengimbangkan meja, memusingkan karpet juga memerlukan saya untuk mengimbangi badan dengan cukup baik.

“Ia mencabar namun pada masa sama ia juga cukup menyeronokkan,” ujarnya menutup bicara.

Gadis sarkas, Emma Phillips menjadi sensasi di internet kerana mampu mengimbangi sebuah meja bersaiz sederhana hanya menggunakan sebelah kakinya.