Bangsal yang diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink itu adalah rumah kepada 38 ekor burung merpati.

Rutin harian Lopes di bengkel adalah melakukan proses moulting terhadap unggas milik keluarganya itu.

Moulting adalah proses menumbuhkan kembali bulu burung merpati yang telah gugur. Justeru, Lopes perlu memberi burung merpati jagaannya jagung, canola dan rami sekurang-kurangnya dua kali setiap hari.

Langkah tersebut dilakukan bagi membolehkan burung-burung tersebut mengambil bahagian dalam perlumbaan burung merpati pada musim berikutnya.

“Saya tidak menganggap ia sebagai satu kerja. Saya suka burung dan memberi ia makan pada waktu pagi serta malam,” ujarnya.

Lopes yang berusia 20 tahun merupakan ahli termuda dalam Kelab Merpati Regina Racing dengan ahli tertua berusia 55 tahun.

Hasil carian web menunjukkan terdapat kira-kira 70 buah kelab lumba merpati di seluruh Filipina.

Menurut sejarah, perlumbaan tradisi itu dipercayai dibawa dan dipopularkan oleh imigran dari Saskatchewan, Kanada ke Filipina.

“Saya rasa budaya perlumbaan burung merpati di Amerika Syarikat dan Amerika Utara sudah mati. Di Asia, ia semakin berkembang kerana penglibatan generasi muda,” ujarnya.

Perlumbaan merpati moden bermula di Belgium pada tahun 1818. Ia kemudian merebak ke Britain, Jerman dan Belanda.

Menjelang abad ke-19, imigran Eropah telah membawa perlumbaan burung merpati ke Amerika Utara.

Dia pertama kali melihat perlumbaan merpati ketika usia kanak-kanak. Ketika itu, dia bersama keluarganya menetap di Kanada.

Ujar Lopes, melihat merpati terbang merupakan satu hobi atau satu bentuk terapi.

“Burung merpati boleh mengurangkan tekanan. Ia juga boleh membuatkan hari anda menjadi lebih baik,” jelasnya.

Lopes kemudian mula berjinak-jinak dengan perlumbaan burung merpati sewaktu berusia 10 tahun.

“Saya sangat tertarik dengan perlumbaan merpati. Sebenarnya, sepupu ayah saya juga memiliki burung merpati pada ranking teratas kelab,” ujarnya yang kini menetap di Manila.

Perlumbaan

Di Filipina, perlumbaan burung merpati dikenali sebagai pertandingan MacArthur iaitu sempena nama Jeneral lima bintang Amerika Syarikat dan Tentera Darat Filipina, Douglas MacArthur semasa Perang Dunia Kedua.

Perlumbaan bermula dengan pendaftaran burung merpati oleh para peserta. Ia kemudian akan diletakkan di dalam sangkar khas yang disediakan di kawasan perlumbaan itu selama beberapa hari.

Selepas itu, para peserta perlu membawa burung merpati mereka ke tempat pelepasan yang ditetapkan oleh penganjur. Biasanya, ia terletak beratus-ratus kilometer (km) jauhnya.

Burung merpati yang selamat tiba ke loteng perlu diambil kod yang telah dilekatkan pada kakinya dan dibawa kepada penganjur perlumbaan. Burung merpati paling cepat menamatkan perlumbaan akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Salah seorang peserta yang pernah mengecapi kejayaan ialah Jun Villafuerte. Dia berjaya memenangi hadiah tempat ketiga pada satu perlumbaan merpati.

Perlumbaan disertai kira-kira 5,000 peserta dengan jarak sejauh 520km itu membolehkan Villafuerte membawa pulang hadiah wang tunai 15,000 Peso (RM1,200).

“Saya suka perlumbaan ini. Anda perlu tunggu dan terus menunggu sehingga burung merpati anda pulang. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” jelasnya.

Bagaimanapun, tidak semua burung merpati yang dilepaskan akan tiba dengan selamat di loteng.

Hal ini kerana, dalam perjalanan burung merpati perlu menempuh cuaca panas, keadaan laut bergelora, pemangsa ganas dan ancaman penculikan.

Selalunya, hanya seekor daripada 10 ekor burung merpati yang akan menamatkan perlumbaan.

Salah seorang pembiak merpati terkenal, Jaime Lim berkata, berbanding Eropah dan AS, Filipina mempunyai banyak pemangsa terutamanya golongan penembak.

“Jaring dipasang di kawasan pergunungan untuk menangkap burung-burung ini. Ia adalah masalah utama dalam sukan ini,” ujar lelaki berusia 68 tahun itu.

Harga

Jelas Jaime, nilai merpati yang menyertai perlumbaan boleh mencecah ribuan ringgit, namun ia ditangkap sebelum dijual kepada pembeli dengan harga serendah AS$14 (RM60).

Permintaan antarabangsa juga telah menaikkan harga merpati dalam pasaran terutamanya burung yang berada di tangga teratas.

Pada tahun 2015, seorang ahli perniagaan China membeli seekor merpati Belgium dengan harga AS$400,000 (RM1.7 juta).

Kajian sains tidak pernah menerangkan secara terperinci kemahiran merpati mencari jalan pulang.

Bagaimanapun, terdapat dua teori yang boleh digunakan bagi menerangkan keadaan itu iaitu mengikut garisan medan magnet bumi dan deria bau.

Satu hipotesis baharu mengatakan bahawa burung menggunakan bunyi frekuensi ultra rendah bagi memetakan sesuatu kawasan.

“Dianggarkan 10 peratus akan kembali ke tempat asal.

“Kami juga mengandaikan antara 50 hingga 70 peratus mungkin tersangkut pada jaring, ditembak atau dimakan pemangsa,” ujar pengarah perlumbaan MacArhtur, Nelson Chua.

Chua menegaskan, tarikh perlumbaan burung merpati perlu dirahsiakan bagi mengelakkan ia menjadi ancaman pemburu haram.

Jelasnya, jika pencuri mendapat waktu dan tarikh perlumbaan, mereka akan memasang jala pada laluan tersebut.

Selebihnya, ada burung merpati yang dimakan oleh pemangsa, mati akibat cuaca panas dan ribut taufan pada waktu tertentu ketika pertandingan yang berlangsung dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 jam.

Berbeza pula dengan pendapat salah seorang ahli kumpulan pencinta haiwan, Ashley Fruno. Dia menganggarkan 90 peratus kematian merpati dalam perlumbaan MacArthur adalah disebabkan laut dan bukannya pemburu haram.

“Tidak ada sukan yang memaksa haiwan mengambil risiko untuk mati supaya seseorang boleh memenangi hadiah, gelaran atau wang,” ujar Fruno yang berpengkalan di Manila.

Katanya, burung merpati akan terbang rendah di atas air untuk mengelak angin dan banyak yang mati apabila terkena ombak atau keletihan.

“Burung-burung ini akan mengambil masa beberapa hari untuk pulang. Biasanya, ia akan pulang kecuali tersangkut pada jaring atau mati,” jelas Fruno.

Perlumbaan burung merpati di Filipina menerima tamparan hebat akibat daripada ancaman pemburu haram.