Selepas dilekatkan pada bahagian otot yang ingin diuji, pegawai di Pusat Biomekanik akan merujuk pada komputer untuk melihat bacaan gelombang elektron.

Hasil gelombang yang diperoleh akan diterjemahkan dalam bentuk graf, bunyi atau nilai berangka sebelum ditafsirkan oleh pakar.

Menurut atlet penembak negara, Muhamad Zubair Mohammad, 26, peranti kecil itu merupakan peralatan penting yang terdapat pada elektromiografi (EMG). EMG berfungsi untuk mengukur kelajuan dan kekuatan isyarat yang bergerak di antara saraf dengan otot.

“Bagi penembak seperti saya, kami perlu mengangkat senjata (pistol) seberat lima kilogram dalam tempoh lebih daripada sejam. Kadangkala otot tidak dapat berfungsi dengan baik dalam tempoh berkenaan.

“Begitupun alat canggih seperti EMG ini dapat membantu saya meminimumkan penggunaan otot agar dapat bertahan lebih lama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Muhamad Zubair pernah merangkul pingat gangsa dalam acara akhir 50 meter Rifle 3 Posisi lelaki pada Sukan SEA ke-29 yang berlangsung pada Ogos 2017 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, Selangor.

Prestasi

Tambah anak bongsu daripada empat beradik itu, selain EMG banyak lagi peralatan lain yang terdapat di Pusat Biomekanik, Institut Sukan Negara (ISN) yang terletak di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Peralatan-peralatan berkenaan amat penting kepada atlet. Ia membantu atlet dalam mengoptimumkan prestasi semasa bersukan serta mengurangkan kecederaan lembut (soft injuries) semasa bertanding mahupun ketika berlatih.

“Lagipun, setiap atlet mempunyai prestasi badan yang tidak sama. Jadi dengan menggunakan alatan itu, atlet mempunyai pelbagai kaedah yang boleh dirujuk dan diguna pakai,” ujarnya yang mula memasuki sukan menembak pada umur 13 tahun.

Bagi penembak sepertinya, alat itu akan diletakkan pada bahagian otot seperti lengan dan bahu untuk menilai dan merakam aktiviti elektrik yang dihasilkan oleh otot rangka.

Di mana-mana negara yang mempunyai institusi sukan, pastinya terdapat Pusat Biomekanik untuk membantu mengoptimumkan prestasi atlet masing-masing. Pusat Biomekanik ISN adalah antara pusat yang terbaik dan terbesar, ia berkeluasan 5 x 8.8 meter persegi.

ISN adalah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Ia merupakan peneraju kepada pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan negara.

Secara umumnya, biomekanik adalah kajian tentang daya dalaman dan luaran yang bertindak ke atas tubuh manusia dan kesan daripada (pergerakan) daya itu. Di ISN perkhidmatan biomekanik sukan dan klinikal diberikan kepada atlet.

Teknik biomekanik yang betul dalam aktiviti sukan perlu dititikberatkan oleh jurulatih dan juga atlet bagi mengurangkan risiko cedera selain mengekalkan konsistensi prestasi.

Pusat biomekanik sukan itu bertujuan untuk menggabungkan teori dengan penemuan praktikal untuk meningkatkan prestasi atlet.

Antara peralatan yang terdapat di pusat itu ialah plat daya, kamera kelajuan tinggi, sistem tangkapan gerakan dan sistem isokinetik. Semua alat itu dibuat mengikut spesifikasi sukan.

Ketua Pusat Biomekanik dan Analisis Prestasi Sukan, ISN, Chok Chuen Leang berkata, pusat itu digunakan untuk membantu jurulatih menilai, memantau dan mengoptimumkan prestasi atlet.

Maklum balas

Menerangkan fungsi pusat itu, Chuen Leang memaklumkan, Pegawai Analisa Prestasi Sukan akan berbincang dengan jurulatih terlebih dahulu untuk mendapatkan maklum balas mengenai pelatih mereka.

“Pegawai kami akan membuat pemilihan secara rawak bagi mana-mana atlet yang berada di bawah pengawasannya atau jurulatih sendiri akan mengesyorkan kepada Pegawai Biomekanik.

“Selepas membuat pemilihan, mereka (atlet) akan dirujuk kepada jurulatih masing-masing terlebih dahulu sebelum dipanggil untuk hadir ke Pusat Biomekanik ini,” katanya ketika ditemui di pusat itu. Pusat Biomekanik ISN mempunyai 12 orang kakitangan terlatih.

Secara amnya, setiap pegawai menjaga tiga atau empat sukan bergantung kepada program (pertandingan) pada ketika itu.

Peringkat ini amat penting kerana pegawai bukan sahaja perlu memberitahu jurulatih mengapa pelatih tersebut dipilih, malah mereka perlu menyesuaikan diri untuk mengenali atlet dengan lebih rapat bagi mencipta rasa selesa.

Jelas Chuen Leang lagi, pegawai biomekanik tidak boleh memanggil atlet membuat penilaian dengan sendiri sebaliknya perlu mendapat kebenaran daripada jurulatih.

Ini kerana katanya, hanya jurulatih berhak mengubah atau memperbaiki prestasi selain benar-benar mengenali atlet masing-masing.

Bercerita lanjut, Chuen Leang memaklumkan, perbincangan yang teliti perlu diadakan untuk mengetahui keperluan yang hendak disalurkan kepada atlet.

“Jurulatih akan memberitahu penilaian yang hendak diberikan kepada atlet contohnya membuat perubahan pada skil bagi meningkatkan taktikal perlawanan.

“Selepas kenal pasti, pegawai kami akan merujuk pada peralatan yang sesuai untuk digunakan atlet,” terangnya sambil memberitahu 50 peratus ujian akan dilakukan di makmal manakala 50 peratus di lapangan.

Di Pusat Biomekanik ISN juga mempunyai alatan mudah alih supaya lebih mudah untuk dibawa seperti plat daya.

Plat daya adalah instrumen pengukur untuk mengukur daya tindak balas yang dihasilkan oleh badan semasa berdiri atau bergerak di atasnya. Ia digunakan untuk mengukur keseimbangan.

Plat daya turut digunakan bersama sistem tangkapan gerakan. Sistem itu menggunakan peranti kecil infra merah yang dilekatkan pada titik-titik badan sebelum dipantulkan pada kamera untuk direkodkan pada komputer.

Taktikal

Antara sukan yang lazimnya menggunakan sistem berkenaan ialah badminton dan angkat berat.

Pegawai Analisa Prestasi Sukan Pusat Biomekanik ISN, Mohd. Sofwan Ahmad Naim berkata, tugasnya adalah untuk merekodkan data waktu perlawanan bagi sesebuah acara.

Mengambil contoh yang paling mudah ialah perlawanan bola sepak, Mohd. Sofwan menjelaskan, dia akan duduk bersama jurulatih untuk menganalisis kelemahan atau kelebihan pihak lawan.

“Misalnya, jurulatih ingin melihat taktikal yang digunakan permainan pertahanan. Jadi, kami akan duduk bersama-sama dari mula hingga akhir. Itu kalau membuat analisis menerusi video.

“Ada juga yang kami buat secara langsung seperti perlawanan badminton. Kami akan menyaksikan perlawanan secara terus, berbincang teknik yang perlu diperbaiki dan jurulatih boleh memberi arahan secara terus kepada anak didiknya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tanggungjawab mereka tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas membuat analisis, mereka perlu menyediakan laporan kepada jurulatih.

Teknik biomekanik yang betul dalam aktiviti sukan perlu dititikberatkan oleh jurulatih dan atlet bagi mengurangkan risiko cedera selain mengekalkan konsistensi prestasi.