Buat julung-julung kali, penggemar sukan permotoran yang mengimpikan menonton pemandu kesayangan mereka beraksi mengemudi jentera bernilai jutaan ringgit dengan lebih dekat menjadi kenyataan di bumi Malaysia pada tahun 1999.

Biarpun, kelibat jentera F1 melintas hanya beberapa saat di hadapan mereka, peminat tegar sukan permotoran itu tetap mengibarkan panji-panji pasukan kesayangan tanpa sekelumit perasaan jemu.

Momen istimewa

Bahkan, cuaca panas terik sedikit pun tidak menyebabkan mereka berganjak dari tempat duduk. Malah ada yang pengsan semata-mata ingin merasai pengalaman pertama perlumbaan F1 di negara sendiri.

Dalam perlumbaan sulung sebanyak 56 pusingan itu, pemandu jentera Ferrari, Eddie Irvine dinobatkan sebagai juara manakala rakan sepasukan yang merupakan legenda F1, Michael Schumacher tempat kedua. Pemandu pasukan McLaren-Mercedes, Mika Häkkinen pula meraih kedudukan ketiga.

Pengalaman tersebut merupakan antara momen istimewa yang tersimpul rapi dalam memori para peminat sukan permotoran tanah air yang berkesempatan menyaksikan perlumbaan sulung di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.

Bagaimanapun, selepas 18 tahun menjadi tuan rumah, para penggemar sukan permotoran terpaksa akur dengan keputusan pengunduran negara dalam sukan penuh berprestij itu tahun lalu.

Tiada lagi persaingan sengit jentera F1 yang dapat disaksikan oleh para peminat sukan permotoran di negara. Sebaliknya, hanya menyaksikan pemandu-pemandu kesayangan mereka melalui skrin televisyen.

Begitupun, lain pula ceritanya bagi anak kelahiran Sungai Ara, George Town, Pulau Pinang. Beliau diberi kesempatan oleh syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk menabur bakti dalam pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport.

Bertindak sebagai Jurutera Bendalir Litar pasukan terbaik dunia, Ahmad Nasri Mohd. Shafie perlu menjelajah bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas di 21 litar yang mengambil bahagian dalam perlumbaan musim ini.

Cabaran

Memulakan tugas sebagai Jurutera Bendalir Litar seawal bulan Februari lalu, lelaki berusia 31 itu sukar melakar perasaan dengan perkataan apabila diberi peluang berkhidmat kepada pasukan dikemudi Ketua Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Toto Wolff.

Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, cabaran utama bergelar Jurutera Bendalir Litar adalah untuk belajar menyesuaikan diri berjauhan dengan keluarga selama berbulan-bulan.

Bapa kepada tiga putera itu menambah, memiliki mental dan fizikal dalam keadaan baik serta minat mendalam terhadap bidang permotoran banyak membantu memastikan keberkesanan menjalankan tugas.

Sebagai seorang bapa dan suami, beliau sangat bersyukur kerana isteri, Noazreen Suhir, 31, anak-anak dan keluarga amat memahami kerjaya terbaharu itu.

Mengulas lanjut mengenai tugas selaku Jurutera Bendalir Litar, Ahmad Nasri menjelaskan, beliau bergandingan bersama Salvatore Schembri yang merupakan mentornya, perlu menganalisis bendalir dan bahan api untuk digunakan pada jentera F1.

Kelancaran

“Kami akan beroperasi di makmal kompak untuk perkhidmatan berkaitan bendalir di ujian F1 dan acara perlumbaan di seluruh dunia. Mungkin ada beranggapan tugas dilakukan menjelang perlumbaan iaitu pada hari Jumaat. Begitupun, kami bermula lebih awal kira-kira pada hari Selasa.

“Bahkan, sepanjang seminggu perlumbaan berlangsung lebih daripada 100 analisis bendalir dan bahan api dilakukan untuk memastikan kelancaran semasa hari perlumbaan kelak.

“Analisis dilakukan agar bahan api tidak tercemar daripada bendasing-bendasing akibat geseran enjin dan mengikuti piawaian Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA),” katanya ketika ditemui pada sidang media di Hotel DoubleTree, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam tempoh tersebut, pemilik Ijazah Kejuruteraan (Kepujian) Mekanikal dan Aero Angkasa, Universiti Queensland, Australia itu menjelaskan, terdapat hari mereka perlu bekerja sehingga 18 jam.

Beliau menambah, selepas melakukan analisis, data-data tersebut akan dikumpul untuk mengenalpasti dan memastikan tiada komponen-komponen dalam jentera berdepan masalah.

“Kami perlu memastikan pelincir dan bendalir yang dihasilkan kekal sejuk di dalam persekitaran tekanan sangat tinggi pada enjin F1 sekali gus memberi perlindungan kepada komponen-komponen penting enjin agar ia mampu bertahan dalam setiap perlumbaan.

“Pendek kata, bendalir dan bahan api yang digunakan jentera F1 umpama darah mengalir di dalam sistem tubuh badan manusia agar dapat berfungsi dengan baik,” ujarnya.

Katanya, mereka juga akan menyediakan analisis masa sebenar untuk Penyelesaian Tekonologi Bendalir Petronas, produk dan perkhidmatan yang dibuat khas termasuk Primax Fuel, Syntium Lubricant dan Tutela Functional Fluids.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, baru menggalas tugas selama enam bulan dan telah menjelajah bersama pasukan ke-12 negara termasuk Azerbaijan, Sepanyol, Austria, Hungary, Perancis, China, Australia, Jerman dan Kanada.

Penghormatan

Ahmad Nasri berkata, perlumbaan berehat selama kira-kira tiga minggu dan akan memulakan separuh musim pada 26 Ogos ini di Litar Spa-Francorchamps, Belgium.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang itu memberitahu, pertama kali beliau menyaksikan perlumbaan F1 di litar SIC pada tahun 2003 apabila ditaja Petronas.

“Tidak terlintas dalam fikiran untuk bertugas bersama pasukan F1 apatah lagi pasukan terbaik dunia. Saya sangat bersyukur dan ia merupakan satu penghormatan apabila bukan sahaja membawa nama Petronas tetapi negara di pentas antarabangsa,” ujarnya yang ingin terus menyumbang kepada pembangunan teknologi bendalir Petronas.

Penggemar kopi Jamaican Blue Mountain itu memberitahu, pengalaman paling manis sepanjang menjadi ‘keluarga besar’ pasukan Mercedes –AMG Petronas apabila pemandu Lewis Hamilton menaiki podium menjuarai di Litar Baku, Azerbaijan.

“Sebagai pasukan terbaik dunia, sudah pasti kemenangan tersebut tidak ternilai untuk terus memberi saingan kepada pasukan lain apabila gagal menjuarai tiga perlumbaan terdahulu.

“Selain itu, saya banyak menimba pengalaman baharu daripada mereka yang arif dalam bidang permotoran serta semangat berpasukan. Pada masa sama, saya dapat mengenali budaya, makanan dan negara-negara baharu,” katanya.