Lebih malang apabila perbuatan sumbang yang dilakukan oleh Zaidi, 21, telah menyebabkan masa depan anak bongsunya itu musnah.

Akui ibu malang ini, hancur berkecai hatinya sebaik mengetahui satu-satunya anak perempuan yang dimiliki berbadan dua hasil perbuatan Zaidi.

“Benar kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, tetapi kejadian yang berlaku ini benar-benar tidak dapat dite­rima dek akal.

“Tambahan pula apabila Anita baru sahaja memasuki usia 14 tahun. Apalah yang diketahui oleh budak-budak seperti Anita hal-hal berkaitan hubungan kelamin,” luah ibu kepada empat orang cahaya mata ini dalam nada penuh kesal.

Menceritakan lebih lanjut, me­nurut Naimah, hasil perkahwinan dia dan suami, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan iaitu Anita.

Bagaimanapun, ketika di awal perkahwinan mereka, Naimah dan suami bersepakat mengambil Zaidi yang pada waktu itu berusia lima tahun sebagai anak angkat memandangkan pada waktu itu mereka sukar untuk mendapatkan zuriat.

Biarpun begitu, tiada siapa yang dapat menduga takdir dan ketentuan yang telah diaturkan oleh yang maha kuasa. Naimah disahkan hamil cahaya mata pertamanya kira-kira tujuh tahun kemudian.

“Zaidi sudah saya anggap seperti anak kandung sendiri. Kami suami isteri tidak tergamak untuk memulangkan kembali Zaidi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” jelasnya.

Jarak umur yang jauh antara Zaidi dengan ketiga-tiga anaknya menyebabkan Naimah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak angkatnya itu.

Tambahan pula sebagai wanita bekerjaya yang baru sahaja di­naikkan pangkat, Naimah terpaksa pulang lewat ke rumah.

“Suami mempunyai perniagaan sendiri dan kami berdua terlalu sibuk. Bagaimanapun, kami mempunyai orang gaji untuk menguruskan anak dan tugasan di rumah,” jelasnya lagi.

Terlalu manja

Biarpun begitu, menurut Naimah, kehadiran orang gaji langsung tidak berjaya mengelakkan kejadian sumbang tersebut daripada berlaku.

“Sebenarnya saya perasan Anita terlalu rapat dan manja dengan Zaidi.

“Zaidi juga kerap tidur di bilik Anita. Bagaimanapun, saya tidak mencurigai hubungan tersebut memandangkan Zaidi merupakan seorang remaja yang sangat baik.

“Malah, kami sering memuji Zaidi kerana kesabarannya menjaga ketiga-tiga adik-beradiknya yang lain ketika kami sibuk di pejabat,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Naimah lagi, kepercayaan yang diberikan kepada Zaidi akhirnya memakan dirinya sekeluarga apabila Anita disahkan hamil empat bulan hasil perhubungan haram itu.

“Masih segar di ingatan saya pada waktu itu, kami sekeluarga sedang menikmati makan malam di sebuah hotel lima bintang sekitar Kuala Lumpur.

“Pada waktu itu, kami meraikan kejayaan Zaidi yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Anugerah Dekan dalam program diplomanya.

“Sedang kami enak menjamu selera, Anita tiba-tiba bangun meluru ke tandas dalam keadaan tergesa-gesa dan mengalami muntah-muntah sepanjang malam.

“Kami kemudian membawa A­nita ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Ujar Naimah lagi, pada mulanya dia menyangka Anita hanya mengalami keracunan makanan. Bagaimanapun, sangkaan tersebut meleset apabila doktor mengesahkan anaknya itu berbadan dua.

“Saya rebah dan terpaksa dipapah sehingga ke dalam kereta.

“Sebaik tiba di rumah, kami menyoal siasat Anita. Terkejut kami apabila Anita menceritakan secara terperinci perbuatan yang dilakukan bersama Zaidi. Zaidi pula hanya tunduk membisu.

“Teruk Zaidi dikerjakan oleh suami pada malam itu. Disebabkan terlalu berang, suami mengusir Zaidi keluar dan mengharamkannya menjejakkan kaki ke rumah kami lagi,” jelasnya.

Keracunan makanan

Atas perasaan sayang seorang ibu terhadap anaknya, Naimah menjaga Anita biarpun pada waktu itu berita mengenai kehamilan anaknya sudah tersebar di sekolah.

Anita diberhentikan serta-merta kerana tidak tahan diejek dan dicemuh rakan sebayanya yang lain.

Biarpun begitu, janin yang dikandung anaknya itu tidak bertahan lama apabila ia gugur sendiri ketika kandungan berusia enam bulan.

“Kini kami sekeluarga telah berpindah dan menjalani kehidupan baharu. Anita pula saya daftarkan ke sebuah sekolah swasta yang jauh daripada rakan-rakan terdahulu.

“Nama dan bayangan Zaidi pula sudah dipadamkan dalam kamus kehidupan keluarga kami.

“Kami menganggap ini adalah ‘teguran kecil’ daripada Tuhan supaya saya dan suami tidak mudah mempercayai orang lain serta menyerahkan tanggungjawab yang diberikan,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Naimah terpaksa menanggung malu apabila anak angkat yang dibela sejak kecil sanggup menconteng arang ke mukanya selepas menghamilkan satu-satunya anak perempuan yang dimiliki.