Selain bermain-main dengan anak patung langsing berketinggian kira-kira 23 sentimeter itu, Amber turut menggayakan peneman setianya itu dengan pelbagai busana menarik seperti dres, gaun, skirt termasuk baju-T.

Boleh dikatakan, anak patungnya itu merupakan sebahagian daripada alat permainan yang paling disayangi dan penting dalam hidupnya.

Kata wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu, melihat kecantikan yang dimiliki oleh anak patung Barbie itu setiap hari sedikit sebanyak mendorongnya untuk menjadi seperti itu.

Rentetan itu, hari demi hari Amber memasang cita-cita untuk menjadi seorang model antarabangsa terkemuka.

“Sejak kecil lagi saya memang gemar bermain dengan anak patung Barbie dan mendapat inspirasi kerjaya sebagai model ini daripadanya.

“Walaupun Barbie ini nampak seperti anak patung biasa tetapi ia sebenarnya mendorong dan memberi semangat kepada saya untuk terus bangkit mencapai impian itu,” ujarnya kepada K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amber berjaya menceburkan diri dalam dunia peragaan pada usia 17 tahun dan menjadi satu-satunya wanita Asia yang menghiasi wajah kempen jam tangan Guess pada masa itu.

Kerjayanya terus memuncak apabila pereka terkenal, Victoria Beckham menjemput Amber sebagai salah seorang peragawati koleksinya pada pentas Minggu Fesyen New York 2009.

Perkembangan kariernya tidak terhenti di situ apabila dalam masa 15 tahun, Amber turut menceburi pelbagai cabang lain seperti fesyen, lakonan, pengacaraan dan duta produk.

Pada tahun 2010, Amber melebarkan sayapnya sebagai usahawan dengan membuka kelas peragaan dan kecantikan iaitu Amber Chia Academy di Kuala Lumpur.

Barbie diasaskan sejak Mac 1959 oleh ahli perniagaan kelahiran AS, Ruth Handler, menariknya, nama Barbie itu sendiri diambil sempena nama anak perempuannya, Barbara.

Sejak anak patung berkenaan dilancarkan, Mattel telah menjual lebih satu bilion anak patung Barbie menjadikannya salah sebuah produk terlaris syarikat itu.

Ekspresi

Bahkan, Barbie merupakan anak patung fesyen nombor satu paling popular di Amerika Syarikat.

Dianggarkan, 100 anak patung Barbie terjual setiap minit menjadikan jumlah jualan tahunan keseluruhannya sekitar 58 juta unit di 150 buah negara.

Kata Pengurus Pemasaran Wanita Mattel Asia Tenggara, Christine Chan, Barbie sejak 1959 lagi telah memberi inspirasi kepada golongan perempuan untuk menceburi apa sahaja bidang karier.

Daripada menjadi puteri hinggalah jurutera robotik, angkawasan termasuklah ahli zoologi, Barbie bagaikan boleh menceburi apa sahaja dengan penuh bergaya.

Kata Christine, Barbie menggalakkan imaginasi, ekspresi dan penemuan menerusi bermain. Beliau juga percaya setiap kanak-kanak perlu mengenali dunia yang dikelilingi wanita-wanita hebat Barbie.

“Selain itu, Barbie telah memperkasa golongan wanita dan memberi inspirasi untuk percaya bahawa tiada satu kerjaya atau cita-cita yang belum lagi diteroka para wanita.

“Menerusi platform global ini, kami yakin dapat menyemarakkan serta memperkukuhkan Barbie sebagai jenama unggul pemerkasaan golongan wanita,” ujarnya.

Sambutan ulang tahun Barbie ke-60 disambut penuh meriah di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sempena sambutan ulang tahun itu, Barbie pada Mac ini melancarkan kempen You Can Be Anything untuk memberi inspirasi menyemarakkan potensi luar biasa dalam setiap diri wanita di seluruh dunia untuk mencapai cita-cita.

Bukan sahaja bidang peragaan dan kecantikan, tetapi Barbie juga menjadi inspirasi untuk mencapai kejayaan luar biasa dalam profesion penuh intelektual.

Ahli astrofizik Malaysia pertama, Prof. Mazlan Othman yang turut menyokong Barbie sebagai inspirasi berkata, golongan wanita tidak seharusnya gentar sebaliknya perlu yakin terhadap potensi diri untuk mencapai impian.

Mazlan yang merupakan bekas Pengarah United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) di Vienna, Austria dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) itu berkata, tidak mustahil bagi wanita menjadi seorang saintis sepertinya.

Kongsi Mazlan, tidak semua saintis digambarkan seperti ahli fizik moden, Albert Einstein yang berambut nipis dan putih seakan-akan tidak terurus.

Sebaliknya, saintis juga memiliki ruang untuk hidup seperti manusia normal serta melakukan kerja dengan penampilan yang cantik dan bergaya.

“Sebagai contoh, saya sebagai saintis sewaktu di Vienna tidak mengenakan kot makmal putih tipikal saintis sebaliknya kot berbulu.

“Sebenarnya, menjadi seorang saintis adalah sangat menyeronokkan. Anda bukan sahaja dapat meraih keseronokan selepas meneroka penemuan baharu sepanjang hayat malah dapat memikirkan solusi kepada masalah global seperti perubahan iklim dan sebagainya,” jelas wanita kelahiran Seremban Negeri Sembilan itu.

Bekerjasama

Tambah Mazlan, beliau berharap suatu hari nanti akan lahir lebih ramai saintis dalam kalangan wanita tempatan.

Pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 itu, Barbie turut melancarkan anak patung signatur glamor sempena 60 tahun kelahirannya dengan busana fesyen ikonik rona hitam serta putih.

Seiring dengan pelancaran anak patung signatur 60 tahun itu, Barbie turut memperkenalkan siri baharunya bertemakan kerjaya dan pelancongan.

Ketiga-tiga siri anak patung berkenaan boleh didapati di gedung-gedung permainan dan pasar raya terpilih di seluruh negara pada harga bermula RM49 hingga RM249.90.

Pada majlis itu juga, sebanyak 60 anak patung Barbie dihias oleh Kelab Fesyen Limkokwing dan Akademi A Cut Above.

Enam daripada anak patung dirias sendiri oleh Pengarah Kreatif Kelab Fesyen Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim dan Pengasas Kumpulan Akademi dan Salun A Cut Above, Datin Winnie Loo sebagai signifikan enam dekad Barbie.

Sementara itu, Winnie berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Barbie sempena ulang tahun ke-60 itu.

Jelasnya, ia secara tidak langsung berupaya mendekati dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang dandanan rambut.

“Setelah berkecimpung hampir 40 tahun dalam bidang dandanan rambut, saya tidak pernah terfikir untuk dapat pergi sejauh ini dan mencapai pelbagai perkara manis dalam hidup.

“Jangan pandang rendah pada bidang dandanan rambut kerana anda boleh melakukan pelbagai kebaikan dan meraih kejayaan seperti saya,” jelasnya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1959, anak patung fesyen, Barbie dari Amerika Syarikat telah memberi inspirasi serta memperkasa wanita seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencapai impian.