Ditambah dengan status ibu tunggal yang dipegangnya kira-kira lima tahun lalu, ujian yang menimpanya itu lantas menyebabkan keluarganya kini menjadi bahan umpatan jiran.

Biarpun ketiga-tiga orang anaknya yang lain berjaya melanjutkan pengajian di menara gading sehingga ada yang berjaya menjawat jawatan tinggi di sebuah syarikat terkenal di ibu kota, namun itu belum cukup untuk menutup aib keluarganya.

“Sekejap sahaja berita ini diketahui jiran. Saya berasa sangat sedih apabila jiran sekeliling mencemuh dan mengata saya tidak pandai menjaga anak.

“Sebagai seorang ibu, siapa yang mahu anaknya ditebuk tupai. Lagi-lagi individu yang melakukannya itu merupakan saudara rapat yang banyak membantu kami selama kematian suami.

“Bagaimanapun, mahu atau tidak, saya akur dengan ujian ini,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai peristiwa hitam yang menimpa keluarganya itu, menurut wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini, dia hanya menyedari perubahan fizikal anaknya itu ketika anaknya, Nurul tertidur di ruang tamu rumahnya sewaktu cuti semester.

“Saya hampir tidak percaya apabila melihat perut Nurul yang besar.

“Pada waktu itu, hati saya terdetik bahawa Nurul hamil. Tetapi mengenangkan perwatakan Nurul yang baik dan sopan, saya menidakkannya,” jelasnya.

Pemeriksaan

Tidak mahu hatinya terus berteka-teki, Normah menanyakan perkara itu kepada Nurul. Dia bersyukur apabila Nurul menegaskan, dirinya tidak hamil.

“Biarpun perkataan itu keluar sendiri daripada mulut Nurul, tetapi saya masih tidak sedap hati.

“Saya kemudian membawa Nurul menjalani pemeriksaan di klinik. Bukan sahaja Nurul, saya juga terperanjat apabila doktor mengesahkan dia hamil empat bulan,” jelasnya.

Menurut Normah lagi, sekembalinya di rumah, dia mendesak Nurul untuk menceritakan hal sebenar.

“Dakwa Nurul, dia dirogol oleh Rahim, 35, yang merupakan saudara terdekat kami.

“Tergamam saya apabila mendengar nama Rahim terkeluar daripada mulut Nurul,” jelasnya.

Menurut Normah lagi, Rahim merupakan anak saudaranya yang dipercayai mereka sekeluarga.

Sejak Nurul melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sarawak, Normah banyak meminta pertolongan Rahim memandangkan dia menetap di sana.

“Saya mempercayai Rahim dan menganggapnya seperti adik kandung sendiri. Perwatakannya sopan dan statusnya yang sudah bertunang menyebabkan saya langsung tidak terfikir perkara seperti ini akan berlaku.

“Lebih-lebih lagi apabila dia membawa sekali tunangnya setiap kali menjenguk Nurul.

“Menurut Nurul, dia sebenarnya dirogol oleh Rahim sebanyak tiga kali. Kejadian berlaku sewaktu cuti semester apabila dia ingin menumpang untuk menyimpan barang-barang di kediaman Rahim sebelum pulang ke kampung.

“Rahim meminta maaf di atas perbuatan tersebut. Tetapi menurut Nurul, dia diugut untuk tidak menceritakan perkara tersebut kepada kami,” jelasnya.

Gadis liar

Ujar Normah lagi, kejadian kedua dan ketiga berlaku sewaktu Nurul memasuki semeter baharu. Pada waktu itu, anak bongsunya itu ke rumah Rahim untuk mengambil semula barang-barang yang ditinggalkan.

Pada mulanya Nurul meminta seorang kenalan untuk menemaninya. Bagaimanapun, ia dihalang oleh Rahim kerana mendakwa, tunangnya akan menemani mereka bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

“Malangnya, Nurul diperkosa sekali lagi. Peristiwa hitam tersebut menyebabkan Nurul hamil anak luar nikah.

“Disebabkan Nurul masih remaja, dia sendiri tidak menyedari dirinya hamil sehinggalah saya melihat perubahan fizikal dan membawanya menjalani pemeriksaan di klinik.

“Anak-anak saya yang lain ada mencari Rahim di Kuala Lumpur. Tetapi dia menafikannya dan menuduh Nurul sebagai gadis liar dan bergaul bebas,” jelasnya.

Menurut Normah lagi, tidak mahu perkara tersebut diperbesarkan, dia mengambil keputusan untuk menjaga Nurul hingga anaknya itu selamat melahirkan.

“Kuasa Tuhan, jantung anak di dalam kandungan Nurul dikatakan tidak berdegup ketika berusia lima bulan.

“Saya serik dengan peristiwa yang berlaku terhadap keluarga kami. Biarlah kejadian ini menjadi iktibar buat orang ramai supaya tidak mempercayai orang lain biarpun keluarga mereka sendiri,” ceritanya menutup bicara,” jelasnya.

Kepercayaan yang diberikan oleh Normah terhadap saudaranya, Rahim hancur berkecai selepas lelaki itu memperkosa anaknya sehingga hamil.