Mangsa, Raheel Khan dan adiknya, Aleya Reyhana kemudiannya didakwa dibawa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna berwarna putih.

Kejadian itu disedari oleh ibu saudara kanak-kanak tersebut yang datang ke tadika berkenaan untuk membawa pulang mangsa sebelum membuat laporan polis.

Selepas lebih 48 jam berlalu, pihak polis yang menjalankan siasatan kemudiannya mengesahkan bahawa adik-beradik itu bukan diculik, sebalik dijemput oleh ibu kandung mereka yang merupakan warga New Zealand.

Sebenarnya, kejadian seperti itu bukanlah suatu perkara yang asing termasuk di negara ini.

Hak penjagaan

Hak penjagaan anak-anak dalam kalangan pasangan bercerai boleh diputuskan sama ada secara persetujuan oleh kedua-dua belah pihak ataupun secara arahan mahkamah.

Konflik yang mungkin timbul atas apa sahaja alasan bagi keputusan berkenaan boleh mendorong kepada perebutan dan rasa tidak puas hati yang berpanjangan.

Mengulas mengenai perkara ini, Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, ibu bapa bercerai seharusnya mengetahui peranan masing-masing dalam menjaga hubungan pasca perceraian terutamanya dalam hal ehwal yang melibatkan anak-anak.

Pendedahan kepada konflik antara ibu dan bapa yang berterusan sebelum dan selepas bercerai boleh menjejaskan kesejahteraan anak.

Permusuhan, dendam dan rasa tidak puas hati yang berpanjangan boleh mendorong ibu atau bapa yang bercerai menjadikan anak-anak sebagai ‘senjata’ untuk menyakitkan hati bekas pasangan mereka.

Menurut beliau, pasangan bercerai perlu berusaha meletakkan kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan anak sebagai agenda utama, seterusnya menjadikan keibubapaan bersama sebagai landasan untuk mereka sama-sama berusaha menjalankan peranan masing-masing.

Selain daripada kes-kes yang melibatkan arahan undang-undang pasangan tidak boleh berjumpa anak, ibu atau bapa perlu membuka ruang dan peluang bagi anak-anak dan ibu atau bapa yang tidak mendapat hak penjagaan utama menjalinkan hubungan baik walaupun masing-masing telah mempunyai kehidupan baharu.

Tegas beliau lagi, pihak yang bercerai adalah pasangan suami dan isteri berkenaan dan bukan ibu atau bapa dengan anak-anak mereka.

Sementara itu, Penceramah Bebas, Ustaz Umar Muhammad Noor pula berkata, suami isteri yang berhadapan dengan masalah rumah tangga perlu merujuk kes tersebut kepada pihak jabatan agama Islam bagi mendapatkan pandangan dan nasihat.

Garis panduan

Ia bagi mengelak masing-masing membuat keputusan terburu-buru sehingga meruntuhkan rumah tangga yang dibina sejak bertahun lamanya.

“Islam sememangnya agama yang sempurna dan dalam konteks perkahwinan, sudah ada garis panduan yang perlu dipatuhi serta diikuti sama ada sebelum perkahwinan, semasa dan selepas bercerai.

“Dalam konteks penceraian pula, Allah sendiri tidak suka kepada penceraian.

“Namun jika ia berlaku juga, terdapat peraturan yang digariskan bagi menjaga hak dan kebajikan semua pihak sama ada si isteri, suami mahupun anak-anak mereka,” katanya.

Jelas Umar lagi, sekiranya berlaku perselisihan atau perbalahan antara suami isteri sehingga membawa kepada penceraian, kedua-dua mereka mempunyai hak yang boleh dituntut seperti mana yang telah digariskan oleh Islam terutamanya berkaitan hak penjagaan anak.

Malah, perbuatan menghalang sama ada ibu atau bapa berjumpa dengan anak kandung adalah dilarang oleh Islam dan ia dikelaskan sebagai haram.

“Sebaiknya, seperti mana semasa berkahwin, penceraian itu hendaklah berlaku dengan aman juga.

“Kedua-dua belah pihak sama ada ibu atau bapa tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk bertemu dengan anak kerana ia adalah darah daging mereka.

“Jika ia dapat dilakukan dengan cara yang baik, isu menculik atau melarikan anak pasti tidak akan timbul, malah anak-anak mereka akan membesar dalam suasana yang lebih baik dan harmoni,” katanya.