Ini termasuklah memansuhkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu yang me­libatkan murid tahun satu, dua dan tiga.

Malah, tidak hairanlah mengapa bidang pendidikan diberikan peruntukkan paling besar dalam Belanjawan 2019, baru-baru ini.

Bidang pendidikan memerlukan penelitian kerana lebih banyak perkara yang perlu dipelajari tidak seperti sebelum ini.

Namun, ketika semua pihak sibuk merangka jalan untuk memantapkan sistem pendidikan, masih ada satu perkara yang terlepas pandang iaitu tentang pelajar-pelajar yang dibuang sekolah.

Ke manakah hala tuju mereka selepas tidak lagi dapat bergelar pelajar?

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor, Nor Hisham Abdullah Sani berkata, lazimnya pelajar yang telah dibuang sekolah tidak akan mendapat tempat untuk kembali ke alam persekolahan.

“Terdapat dua kategori bagi pelajar yang dibuang sekolah iaitu gagal dalam peperiksaan dan masalah disiplin.

“Bagi yang gagal, jika mereka ingin kembali ke sekolah, mereka hanya perlu mengulangi peperiksaan, namun bagaimana dengan nasib pelajar yang dibuang terlibat dengan penggunaan dadah dan jenayah?” soalnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Katanya, pelajar yang dibuang kerana terlibat dengan dadah dan jenayah kebanyakannya akan hilang arah tuju selepas tidak lagi bersekolah.

Ada yang memilih untuk bekerja, malah tidak kurang juga yang masih terus bergelumang dengan kegiatan tidak bermoral itu.

“Realiti yang dihadapi pada masa kini adalah bagi bekas belajar yang masih berterusan dengan pengambilan dadah, mereka akan kembali ke sekolah untuk berjumpa dengan rakan-rakan.

Terjebak

“Secara tidak langsung kehadiran mereka ini telah membuat rakan-rakan lain terjebak sama. Malah, ada yang menjadi pengedar kepada pelajar-pelajar ini,” terangnya yang juga aktivis Kelab Ibu Bapa Komuniti Selangor.

Maka, tidak hairanlah apabila Kosmo! baru-baru ini melaporkan seramai 1,709 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam ujian saringan yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Januari hingga Oktober 2018.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah menyatakan, ujian saringan berkenaan dilakukan di 178 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara membabitkan seramai 41,741 pelajar.

Rata-rata pelajar yang disahkan positif dadah itu berumur di antara 13 hingga 17 tahun. Kebanyakan mereka positif dadah jenis methaphetamine atau syabu.

Sarawak pula merupakan negeri paling tinggi yang merekodkan penyalahgunaan dadah dan diikuti Kedah serta Kelantan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, satu garis panduan perlu diwujudkan bagi membanteras salah laku berkenaan.

“Ia bukan sahaja untuk membantu pelajar yang telah dibuang tercicir, malah membantu menyelamatkan pelajar-pelajar yang masih bersekolah daripada terjebak dengan masalah dadah ini.

“Kajian holistik perlu segera dilakukan, dilaksanakan dan diamalkan. Masalah disiplin bukan masalah main-main, ia membentuk sikap dan peribadi seseorang,” ujarnya.

**masukkan keratan kosmo 29 Disember (muka depan)