Namun, terdapat banyak kes kegagalan dalam menguruskan harta pusaka akibat pelbagai sebab antaranya perebutan antara waris-waris si mati dan waris yang terlalu sibuk dengan urusan seharian hingga proses tersebut memakan masa panjang, akhirnya gagal diuruskan.

Sebagai sebuah syarikat pemegang amanah dan pentadbir pembahagian harta, Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya) yang merupakan sebuah agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan Perancangan Pewarisan komited untuk memudahkan urusan pembahagian harta kepada pewaris sekiranya berlaku kematian.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan terperinci tentang isu itu, wartawan Kosmo! Ahad, <strong>ZURAINI MOHD. KHALID</strong> menemu bual Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Adenan Md. Yusof di pejabat beliau yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Kosmo! Ahad: Boleh tuan jelaskan secara terperinci apakah peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Amanah Raya?

Adenan Md. Yusof: Isu perebutan harta atau kegagalan menguruskan harta melibatkan ahli keluarga merupakan sesuatu yang sering dipertontonkan di kaca televisyen. Ia berlaku dalam kalangan masyarakat dan bukanlah sesuatu yang baharu. Apabila berlaku kematian, ahli keluarga si mati tidak tahu bagaimana untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan. Malah, terdapat juga kes ahli keluarga tidak pernah tahu sama ada si mati meninggalkan sejumlah harta untuk digunakan oleh mereka bagi meneruskan kehidupan seharian. Bagaimana pula sekiranya waris yang ditinggalkan itu merupakan anak angkat, anak bawah umur dan mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU). Kegagalan membuat perancangan pewarisan pada peringkat awal menyebabkan berlakunya kes perebutan harta dan sebagainya. Sebagai sebuah syarikat pemegang amanah, Amanah Raya komited untuk membantu rakyat Malaysia dengan menawarkan khidmat Perancangan Pewarisan yang merangkumi Perkhidmatan Wasiat, Pengurusan Peramanahan dan Pentadbiran Pusaka. Berbekalkan pengalaman selama 90 tahun, kami menawarkan perkhidmatan wasiat secara profesional dan ia terbuka kepada semua golongan, kaum dan agama. Amanah Raya mahu semua individu di negara ini tahu tentang perkhidmatan yang ditawarkan adalah meliputi semua lapisan masyarakat, tidak hanya tertumpu kepada bumiputera.

Mungkin tuan boleh jelaskan, mengapakah pembukaan Akaun Amanah merupakan salah satu instrumen penting dalam perancangan pewarisan?

Akaun amanah sebenarnya cukup penting bagi memastikan masa hadapan serta kelangsungan hidup waris dilindungi di sisi undang-undang dan terpelihara daripada sebarang masalah tentang pertikaian pusaka. Selain itu, akaun amanah juga adalah satu instrumen penting bagi melindungi hak waris, melaksanakan hasrat si mati melalui arahan yang terkandung dalam Surat Ikatan Amanah. Ia merupakan satu perjanjian hitam putih yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak yang menjelaskan tentang mekanisme akaun serta waris kepada harta diamanahkan. Selain itu, ramai yang tidak tahu bahawa Akaun Amanah tidak termasuk dalam pembahagian pusaka yang perlu diagihkan menurut hukum faraid (bagi yang beragama Islam) dan Akta Pembahagian 1958 (bagi yang bukan beragama Islam). Akaun Amanah juga melindungi pewaris bawah umur atau OKU bagi mendapatkan hak sepatutnya.

Apakah kelebihan membuka Akaun Amanah dan apa perlunya melantik Amanah Raya untuk pengurusan harta amanah?

Kelebihan pertama ialah harta amanah tidak termasuk dalam harta pusaka. Oleh itu, ia akan diserahkan kepada penerima yang dinamakan dan ditadbir berdasarkan Surat Ikatan Amanah yang dimeterai. Suka saya ingatkan bahawa Harta Amanah melindungi penerima daripada sebarang bebanan dan tuntutan pemiutang. Amanah Raya juga melindungi kepentingan penerima bawah umur dan OKU. Selain itu, kami juga menyediakan pulangan pelaburan yang kompetitif kerana Amanah Raya melabur Harta Amanah tersebut. Oleh itu, jumlah tersebut akan meingkat tidak kurang daripada 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan. Kami juga mempunyai pengalaman lebih 90 tahun dalam pengurusan harta dan kami mempunyai barisan kakitangan yang profesional, prihatin dan berdedikasi bagi memenuhi keperluan individu.

Berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh meletakkan Amanah Raya sebagai penama bagi tujuan menguruskan harta. Boleh tuan jelaskan tentang pelantikan ini?

Bermula 1 Januari lalu, pencarum KWSP boleh melantik Amanah Raya sebagai penama kepada wang caruman mereka. Setiap ahli pencarum KWSP diberi pilihan untuk melantik Amanah Raya sebagai penama atau pentadbir kepada wang caruman bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris apabila pencarum meninggal dunia. Ini boleh memberi manfaat terutamanya kepada ahli yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan OKU. Pilihan ini merupakan tambahan kepada hak sedia ada ahli untuk melantik penama KWSP individu contohnya anak, ibu atau bapa dan juga adik-beradik.

Berapakah caj yang dikenakan kepada pencarum yang memilih untuk meletakkan Amanah Raya sebagai penama?

Bagi ahli-ahli KWSP yang memilih untuk melantik Amanah Raya sebagai penama, kami menawarkan kadar fi istimewa khusus untuk simpanan KWSP sahaja. Bagi perkhidmatan pentadbiran pusaka, fi yang dikenakan ialah 2 peratus atas RM1 juta pertama dan 1 peratus atas baki selebihnya. Bagi simpanan berjumlah RM5,000 dan ke bawah, tiada fi perkhidmatan dan bayaran proses dikenakan. Bagi pentadbiran amanah pula, fi yang dikenakan ialah 1.5 peratus bagi RM1 juta pertama dan 1 peratus atas baki dan tiada fi serta caj lain yang dikenakan. Jika dilihat, caj yang dikenakan sebenarnya jauh lebih murah berbanding khidmat peguam. Sejak diperkenalkan lebih sebulan lalu, sudah lebih 100 orang individu menamakan Amanah Raya sebagai penama bagi akaun KWSP dan ini menunjukkan rakyat mula sedar tentang kewujudan kami dan perkhidmatan ditawarkan.

Mungkin tuan boleh jelaskan bagaimanakah pelantikan Amanah Raya sebagai pemegang amanah boleh membantu pewaris dalam mempercepatkan proses agihan wang simpanan KWSP?

Amanah Raya memastikan jaminan bayaran bagi pengagihan simpanan ahli dibuat dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan lengkap dokumen yang berkaitan dengan tiada pertelingkahan atau tiada tuntutan daripada pihak ketiga. Bagi ahli KWSP yang melantik Amanah Raya sebagai penama atau pemegang amanah, mereka akan ditawarkan satu wasiat komprehensif secara percuma yang boleh ditebus dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh penamaan dibuat. Bagi ahli KWSP yang telah mempunyai wasiat di Amanah Raya pula, ahli layak menerima satu pindaan kepada wasiat sedia ada secara percuma dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penamaan dibuat.

Bagaimanakah caranya untuk membuat pengurusan amanah dan pentadbiran pusaka di Amanah Raya?

Mana-mana individu yang ingin membuat pengurusan amanah, pentadbiran pusaka atau permohonan wasiat boleh hadir ke mana-mana 18 cawangan pejabat Amanah Raya di seluruh Malaysia atau menghubungi kami di talian bebas tol 1-800-888-272.

Mereka juga boleh menghantar pesanan WhatsApp di nombor 011-2060612 atau layari laman web www.amanahraya.my.