Sebutannya lunak dan jelas yang dibaca beserta hukum tajwid dan harkat yang tepat.

Kongsi qari dari Selangor itu, alunan ayat-ayat suci al-Quran mempunyai beberapa jenis lagu yang disebut sebagai taranum. Ada Nahwand, Sikah, Hijaz, Bayati, Rast, Jiharkah dan banyak lagi.

Kata penggemar lagu Bayati, Hijaz dan Rast itu, atas sebab tersebutlah orang ramai sering mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci yang begitu indah kerana ia mempunyai lagu-lagu tertentu yang dibaca oleh qari.

Bagaimanapun anak kelahiran Hutan Melintang, Perak yang menetap di Batu Caves, Selangor itu menegaskan, mengalunkan ayat suci al-Quran tidak sama dengan menyanyi.

Kata Abdul Khair yang merupakan pensyarah al-Quran di Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (Celpad) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, mengaji bukan sahaja melibatkan intonasi tetapi memerlukan seseorang itu menuturkan setiap ayat dengan sebutan yang betul makhrajnya beserta tajwid. Jika sebutannya salah, ia boleh memberi maksud berbeza manakala dengan hukum tajwid yang salah boleh mengakibatkan seseorang itu menanggung dosa.

Latar belakang

“Belajar mengaji juga tidak boleh lari daripada sistem talaqi iaitu belajar secara langsung dengan guru. Kita tidak boleh belajar mengaji sekadar dengan cara dengar-dengar sahaja.

“Ini kerana setiap bacaan itu perlu dinilai dari pelbagai sudut terutama hukum tajwid dan makhraj huruf. Sebab itu, belajar mengaji perlu berguru,” katanya ketika ditemui K2 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di UIAM baru-baru ini.

Abdul Khair yang akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari lusa hingga 20 April ini ketika diminta mengimbas sejarah penglibatannya dalam bidang al-Quran memberitahu, ia bermula ketika menyertai pertandingan musabaqah sewaktu darjah lima di Sekolah Kebangsaan Slim Village, Slim River, Perak.

“Pada waktu itu, saya masih kecil lagi dan ia disertai secara suka-suka sebelum sekali lagi menyertai pertandingan seperti itu ketika tingkatan lima di Maahad Tahfiz Pulai Condong, Machang di Kelantan dan memenangi tempat kedua di peringkat sekolah.

“Kemudian, ketika di tingkatan enam, saya sertai lagi sebelum dinobatkan sebagai johan,:” katanya.

Menurutnya, selepas itu, dia meneruskan pengajian peringkat diploma di Darul Quran, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu.

Abdul Khair kemudian melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Quran Qiraat Shoubra Mesir di Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Mesir.

Sekembalinya ke tanah air, dia menjadi guru di Maahad Tahfiz Pulai Condong iaitu dari tahun 2003 sehingga 2008 sebelum bertugas di UIAM pada tahun 2008 sehingga kini.

Selain pensyarah, Abdul Khair juga merupakan Ketua Unit Imam dan Dakwah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Dia mewakili daerah Gombak dalam pertandingan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dinobatkan sebagai johan pada tahun 2011.

Bermula dari situ, bapa kepada tiga cahaya mata ini mula mencipta rekod peribadi apabila menjadi johan pada tahun 2012, 2015, 2018 dan terbaharu pada 25 Januari lalu.

Kemudian, dirinya mencipta kemenangan manis apabila meraih johan qari di peringkat kebangsaan pada Mac lalu. Kemenangan itu menyaksikan dia membawa pulang wang tunai RM15,000 dan ditambah RM10,000 khusus untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Jaga suara

Suami kepada Halimatun Samsori, 35, itu mengakui, dia tidak mengamalkan sebarang pantang larang dalam menjaga suara. Bagaimanapun, kongsinya, seminggu sebelum acara pertandingan berlangsung, dia akan menolak semua buah-buahan bergetah seperti langsat, rambutan atau nangka.

Selain itu, tambahnya, dia juga akan mendapatkan rehat dan tidur yang cukup meski hakikatnya apabila acara pertandingan semakin hampir, semua itu kian sukar untuk dinikmati.

“Saya sebenarnya tidak ada sebarang pantang. Saya juga minum minuman berais cuma air batu diambil dalam jumlah yang sedikit tetapi bila sudah hampir seminggu acara akan berlangsung, semua itu saya tidak akan sentuh,” ujarnya.

Mengenai latihan pula, bapa kepada Putri Nuraqilah Sofea, 10; Putri Asywaq Illiyeen, 5, dan Putri Asyiq Nur Tasneem yang berusia setahun enam bulan itu menambah, dia akan berlatih ketika dalam kereta iaitu waktu memandu ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

“Saya juga berguru dengan Ustaz Yahya Daud dan Abd. Rahim Ahmad bagi memastikan sebutan, intonasi, makhraj dan juga hukum tajwid dijaga dengan baik.

Generasi muda

“Semua pertandingan memerlukan latihan. Untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran juga begitu. Kalau tinggal seminggu (tidak berlatih), kita boleh lihat kemerosotan pada mutu suara dan gaya penyampaian bacaan itu sendiri,” ujarnya.

Peluang menyertai tilawah peringkat negeri mahupun kebangsaan membuka ruang kepada Abdul Khair untuk menyaksikan penyertaan yang datang daripada pelbagai peringkat umur. Dia yang mengakui gembira dengan penyertaan ramai generasi muda dalam pertandingan seperti itu berkata, sebenarnya ramai anak-anak muda yang berbakat dalam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Pelapis dalam bidang ini memang ada cuma kita sebagai orang lebih tua perlu memberi lebih galakan dan bimbingan.

“Saya lihat, tidak semua tempat menyediakan bimbingan buat generasi muda belajar mengaji dan seterusnya meningkatkan minat mereka untuk mendalami bidang ini,” katanya lagi.

Selain mengajar di UIAM, Abdul Khair turut membuat kelas taranum untuk golongan dewasa di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, Shah Alam pada setiap Isnin dan Rabu bermula pukul 5 petang hingga 7 malam.