Kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga pasti akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam anak-anak.

Namun begitu, tidak semua pasangan suami isteri bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga untuk memiliki zuriat mereka sendiri.

Sempena menyambut keha­diran tahun baharu 2018, kru Jurnal sempat menyelami hati dan perasaan seorang wanita bergelar isteri yang mengharapkan rezeki untuk bergelar ibu memihak kepadanya selepas tujuh tahun berkahwin.

Mesra disapa Ain, wanita yang bakal mengin­jak usia 32 tahun itu sedia berkongsi rasa dan harapannya untuk bergelar ibu tanpa me­ngenal erti putus asa sejak beberapa tahun lalu.

Masih menggenggam azam yang sama iaitu untuk memiliki zuriat, Ain masih menaruh harapan untuk mendapatkan cahaya mata hasil perkongsian hidup de­ngan suami tercinta melalui perkahwinan yang dibina.

“Tahun berganti tahun, saya masih dengan azam yang sama iaitu untuk bergelar ibu dan tidak pernah berputus asa de­ngan berusaha,” ujar wanita berasal dari Melaka itu.

Endometriosis

Menurut Ain, dia pernah disahkan mengan­dung buat kali pertama sekitar tahun 2013, namun rezeki tidak memihak kepadanya selepas me­ngalami keguguran ketika kandungan memasuki usia sebulan.

Lebih buruk, punca keguguran itu adalah disebabkan oleh masalah penyakit endometriosis, ia­itu masalah apabila tisu yang melitupi bahagian dalam uterus didapati tumbuh di luar atau pada bahagian badan lain serta masalah rahim terbalik ­(retroverted).

Selepas keguguran, Ain telah menjalani pembedahan laparoscospy dan pernah menjalani rawatan Intrauterine Insemination (IUI) di salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, namun tidak menampakkan ­hasil.

“Saya percaya tuhan itu maha adil dan maha mendengar, malah ber­syukur kerana suami faham bahawa anak adalah satu anugerah,” tuturnya kepada kru Jurnal.

Tidak pernah berputus asa, Ain kini dalam persediaan untuk menjalani kaedah rawatan In Vitro-fertilisation (IVF) atau bayi tabung uji di KL Fertility and Gynaecology Centre dan berharap kehadiran tahun baru 2018 bakal membawa khabar gembira buat dirinya dan suami.

Berkongsi kisah yang sama, Ida Ruzila Ramli, 38, juga berdepan masalah sama seperti Ain dalam usaha untuk mendapatkan zuriat.

Penantian selama tujuh tahun untuk mendapatkan seorang cahaya mata dilalui dengan tenang kerana percaya pada ketentuan tuhan.

Menurut Ida, dia pernah menjalani rawatan sejak 2010 di beberapa buah pusat perubatan ke­rana tidak hamil selepas beberapa tahun berkahwin.

“Tipu kalau saya tidak berasa sedih kerana belum dikurniakan zuriat selepas beberapa tahun berkahwin, namun saya tidak pernah berputus asa melalui kaedah rawatan moden yang ada pada hari ini,” tutur isteri kepada Mohd. Ruslan Hamid, 38, itu.

Terbuka hati

Sepanjang tempoh tujuh tahun perkahwinan tanpa zuriat, Ida tidak lari daripada perta­nyaan daripada saudara-mara dan teman-teman, namun dia hanya mampu memberitahu rezeki belum memihak untuknya menimang cahaya mata.

Namun, kehidupan rumah tangga Ida kini dirasakan lengkap selepas kehadiran seorang cahaya mata lelaki selepas disahkan hamil melalui rawatan IUI pada 2015.

Menurut Ida, dia terbuka hati untuk melakukan rawatan IUI di KL Fertility and Gynaecology Centre selepas mengikuti seminar ke­si­hatan yang dikendalikan oleh Dr. Natasha Ain Mohd. Nor pada 2015.

Berkat kesabaran dan usaha tanpa jemu, Ida akhirnya disahkan hamil selepas hanya sekali melakukan rawatan IUI.

“Perasaan saya dan suami ketika itu sangat gembira dan tidak sabar untuk menimang cahaya mata,” ujar ibu kepada Rizq Iskandar yang kini berusia 18 bulan.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari KL Fertility & Gynaecology Centre, Dr. Natasha Ain Mohd Nor, rawatan fertiliti adalah rawatan kesuburan yang dibuat untuk pasangan yang ingin mempunyai anak, tetapi menghadapi masalah untuk hamil.

Rawatan fertiliti dicadangkan untuk pasangan yang berumur bawah 35 tahun dan telah cuba untuk hamil selama setahun me­lalui hubungan intim antara dua hingga tiga kali seminggu tetapi gagal untuk hamil.

“Terdapat dua jenis masalah kesuburan iaitu primary subfertilit iaitu keadaan seseorang wanita tidak pernah hamil langsung dan secondary subfertiliti, iaitu keadaan seseorang wanita yang pernah hamil, namun keguguran,” ujarnya.

Dalam pada itu, pasangan yang menjalani rawatan fertiliti itu sebenarnya tidak mandul kerana mereka hanya mengalami masalah ketidaksuburan dan berpeluang untuk mempunyai zuriat melalui kaedah rawatan moden.

Antara punca berlakunya masalah ketidaksuburan pada wanita adalah disebabkan beberapa faktor seperti menghadapi PCOS (Polycystic Ovarian Disease) dan endometriosis.

PCOS adalah masalah hormon yang tidak seimbang di dalam tubuh wanita di mana kilang telur pesakit mengeluarkan hormon lelaki iaitu testosteron yang berlebihan.

Keadaan itu boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak teratur, darah haid berlebihan, obesiti, jerawat dan kesukaran untuk hamil.

Ginekologi

Endometriosis pula adalah keadaan lapisan dalam dinding rahim (uterine lining) berada di luar rahim dan boleh merosakkan saluran peranakan dan juga kilang telur.

Untuk pasangan yang ingin mendapatkan ujian kesuburan, pakar ginekologi akan mengambil latar belakang kedua-dua belah pasangan.

Informasi penting seperti tempoh perkahwinan, sejarah mengandung, ki­taran haid dan masalah perubatan perlu diketahui sebelum beberapa sa­ringan ujian untuk kedua-dua belah pihak dijalankan untuk memastikan diagnosis sebelum rawatan fertiliti dibuat.

Intrauterine Insemination (IUI) merupakan salah satu prosedur rawatan yang melibatkan sperma dimasukkan ke dalam rahim dengan menggunakan tiub plastik.

Kaedah tersebut dibuat bagi memastikan sebanyak mungkin sperma yang aktif dapat sampai ke dalam saluran peranakan untuk disenyawakan dengan telur.

Prosedur IUI biasanya melibatkan pasangan wanita yang akan diberikan ubat atau hormon untuk merangsangkan telur.

Imbasan akan dilakukan untuk memastikan saiz perkembangan folikel melebihi 17 hingga 18 mi­limeter.

“Prosedur IUI adalah mudah dan selalunya mengambil masa hanya 5 minit untuk kebanyakan pesakit dan pesakit boleh membuat ujian kehamilan sekurang-kurangnya dua minggu selepas IUI,” ujar Natasha.

Sekiranya setelah enam kali IUI dilakukan dan masih tidak mengandung, pesakit selalu­nya akan disyorkan untuk menjalani rawatan IVF.

Peratusan kejayaan untuk hamil dengan menggunakan rawatan IVF adalah antara 30 hingga 50 peratus bergantung kepada beberapa faktor se­perti umur pasangan wanita, kualiti telur atau sperma dan kaedah rawatan.

“Sekiranya rawatan IVF gagal, setiap pasangan perlu berbincang dan membuat perancangan.

“Pasangan hendaklah sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan dapat dikurniakan zuriat pada masa akan datang,” ujarnya menutup bicara.

Pesakit boleh menghantar e-mel kepada Natasha di drnatas­[email protected] atau me­wlawati laman blog di drnatashanorferti­lity.com.

Rawatan fertiliti melalui kaedah IUI dan IVF bantu beri peluang pasangan suami isteri yang sukar mendapat zuriat rasai pengalaman bergelar ibu dan ayah.