Walaupun telah menyertai perlumbaan denai The Magnificent Merapoh Trail (TMMT) sejak tahun 2015, perasaan gemuruh dan gementar tetap bersarang di dalam anak jati Merapoh itu.

Apatah lagi apabila sejak pukul 2 petang hari Jumaat10 Ogos lalu, persekitaran kawasan pendaftaran peserta yang terletak di pekarangan dewan Ibnu Sina Sekolah Menengah Kebangsaan Merapoh itu mula dipenuhi ratusan peserta yang datang dari pelbagai negara.

“Ini merupakan perlumbaan keempat bagi saya dalam siri TMMT. Saya telah menyertai perlumbaan denai ultra ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015.

“Pada siri pertama perlumbaan ini, saya mendapat tempat kedua bagi kategori jarak 60 kilometer (km) dengan catatan masa enam jam 20 minit.

“Pada kali ini, saya menyertai kategori jarak 70km dan saya meletakkan sasaran untuk mencatat masa di bawah lapan jam,” katanya sejurus urusan pendaftaran selesai.

Tambahnya, dia menyedari persaingan sangat sengit apabila jumlah peserta bertambah ramai berbanding siri perlumbaan pada tahun-tahun sebelum ini.

Perlumbaan TMMT yang berlangsung di Merapoh, Pahang itu merupakan antara siri perlumbaan denai ultra terkemuka di negara ini dan turut tersenarai antara lima perlumbaan yang dimasukkan dalam perlumbaan Asia Trail Master (ATM).

Dengan persekitaran Merapoh yang kaya dengan alam semula jadi terutamanya formasi bukit batu kapur yang mengandungi ratusan gua, ia menyediakan satu pengalaman yang menyeronokkan kepada setiap pelumba.

Unik

Tambahan pula, pada siri perlumbaan TMMT 2018, pihak penganjur turut memasukkan kawasan gua dan sungai sebagai laluan yang harus ditempuhi oleh kesemua peserta.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur TMMT 2018, Anuar Che Ibrahim berkata, hampir 1,000 peserta dari 25 buah negara menyertai acara tersebut.

Katanya, terdapat tiga kategori perlumbaan diperkenalkan iaitu 35km, 70km dan 100km dengan kumpulan peserta bagi setiap kategori akan dilepaskan pada masa yang berbeza.

“Peserta bagi kategori 100km dilepaskan pada pukul 9 malam manakala bagi kategori 70km dan 35km masing-masing dilepaskan pada pukul 4 pagi dan 7 pagi keesokan harinya.

“Walaupun waktu pelepasan berbeza, waktu tamat perlumbaan bagi kesemua kategori adalah sama iaitu pada pukul 6 petang dan mana-mana pelumba yang masih gagal tiba di garisan penamat pada waktu tersebut tidak lagi dibenarkan untuk berada di laluan perlumbaan atas faktor-faktor keselamatan,” katanya.

Larian tersebut tidak menawarkan sebarang hadiah wang tunai sebaliknya peserta menyertainya sebagai tanda sokongan terhadap usaha menyelamatkan alam semula jadi Merapoh daripada dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab atau atas sebab pembangunan.

Menghurai lanjut mengenai perlumbaan tersebut, Anuar berkata, TMMT 2018 agak unik berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana pada siri tersebut, peserta akan melalui jalan hentian dengan setiap satu daripadanya mempunyai keunikan yang tersendiri.

Malah, TMMT 2018 juga melibatkan laluan perlumbaan yang pelbagai termasuklah jalan raya, hutan simpan, dusun dan ladang getah selain melibatkan tiga buah gua iaitu Gua Persik, Gua Hantu Menari dan Gua Taman Tersembunyi.

Selain itu, setiap peserta juga perlu berlari menyusuri dua anak sungai masing-masing sejauh 3km dan 1km yang merupakan antara laluan yang menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.

Sokongan

“Laluan perlumbaan pada tahun ini adalah berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kami ingin memastikan peserta mendapat pengalaman yang berbeza setiap kali mereka menyertai perlumbaan TMMT.

“Malah, kami juga mahu mereka menikmati keindahan flora dan fauna khususnya formasi bukit batu kapur yang terdapat di sekitar Merapoh ini dari sudut yang berbeza,” katanya.

Perkara itu diakui seorang peserta dari Itali, Allessandro Sherpa, 31, yang memberitahu, dia menyertai TMMT bukan semata-mata ingin memperbaiki kedudukannya dalam ranking ATM tetapi ingin menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di Merapoh.

“Malah, saya menyertai TMMT adalah sebagai tanda sokongan saya kepada usaha menyelamatkan Merapoh daripada sebarang usaha memusnahkannya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sherpa merupakan antara pelumba denai profesional yang menjadi tumpuan pada TMMT 2018.

Malah, penyertaannya dalam kategori 100km telah menyebabkan ramai pelumba lain berasa tergugat disebabkan oleh rekod peribadinya yang berjaya memenangi banyak perlumbaan sebelum ini.

Acara kegemaran

Ternyata, kehebatan Sherpa dalam perlumbaan tersebut langsung tidak dicabar apabila dia berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11 jam 26 minit, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya daripada Jepun, Tomohiro Mizukoshi yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 12 jam 15 minit.

Tempat ketiga kategori itu turut dimenangi seorang lagi pelumba Jepun, Hisashi Kitamura yang mencatatkan masa 12 jam 56 minit.

“Kategori 100km memang merupakan acara kegemaran saya kerana saya mampu mengekalkan tempo larian tanpa berhenti.

“Bagaimanapun, disebabkan ada beberapa pelumba profesional yang turut menyertai TMMT kali ini, saya terpaksa menggunakan strategi meninggalkan mereka seberapa jauh yang boleh pada peringkat awal perlumbaan,” katanya.

Bagi seorang pelumba tempatan, Dr. Shahrul Ezam Borhan, 39, dia mempunyai sasaran yang tersendiri dalam perlumbaan itu.

Shahrul Ezam yang merupakan seorang doktor yang bertugas di Hospital Selayang, Selangor ingin mencatatkan rekod peribadi dengan melakukan perlumbaan ke-11 bagi jarak 100km.

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai perlumbaan TMMT dengan kali pertama adalah pada tahun lalu.

“Tahun lalu saya berjaya menamatkan perlumbaan sebelum tamat masa yang ditetapkan tetapi pada tahun ini saya gagal melakukannya disebabkan oleh kecederaan pada bahagian tapak kaki.

“Disebabkan saya tiba di garisan penamat melebihi waktu yang ditetapkan, saya gagal memperoleh sebarang catatan masa dan penyertaan saya pada kali ini dikategorikan sebagai DNF (gagal menamatkan perlumbaan),” katanya dengan nada kecewa.

Namun, jelas anak muda itu, dia tidak akan berputus asa dan akan berehat secukupnya dan membuat persediaan bagi menyertai dua lagi perlumbaan denai ultra melibatkan jarak 100km dan 200km pada September ini.

Malah, dia juga berazam untuk menebus kekecewaannya itu dengan kembali menyertai perlumbaan TMMT pada tahun hadapan dalam kategori yang sama.