Berada pada hierarki tertinggi dalam sistem demokrasi di Malaysia, YDPA atau gelaran rasmi penuhnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah simbolik kepada keunikan Malaysia dengan pemilihan ketua negara dalam kalangan sembilan Sultan yang memerintah negeri-negeri Melayu.

Pengarah Institusi Islam Hadhari dan Profesor Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal melihat fungsi YDPA bukan sekadar simbol kedaulatan sistem beraja di Malaysia.

Menurutnya, YDPA adalah identiti kepada Malaysia. Ia bukan sekadar ketua negara tetapi kekuatan kepada rakyat yang merangkumi pemangkin kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan sesebuah negara.

“Sistem beraja adalah amalan di negara kita sejak sebelum Malaysia mengecapi kemerdekaan. Ia juga merupakan unsur-unsur tradisi yang diterapkan dalam Perlembagaan Malaysia yang mana menjadi kekuatan kepada pentadbiran sebuah kerajaan.

“Mengekalkan sistem beraja merupakan perjuangan pemimpin negara terdahulu dalam menuntut kemerdekaan sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang seimbang dalam amalan demokrasi,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Realitinya, YDPA adalah salah satu daripada beberapa bentuk monarki di dunia yang dilakukan menerusi pemilihan raja. Pemilihan YDPA dilakukan oleh Majlis Raja-Raja daripada kalangan sembilan Raja-Raja Melayu mengikut peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selepas mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pemilihan YDPA dilakukan selepas Majlis Raja-Raja bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Sejarah

Almarhum Mejar Jeneral Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) ketika itu merupakan calon utama kerana baginda merupakan sultan yang telah lama memerintah.

Bagaimanapun baginda yang ketika itu berusia 84 tahun menolak perlantikan tersebut berikutan telah lanjut usia, lalu membawa kepada perlantikan Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan) sebagai YDPA pertama.

Pemilihan YDPA dilakukan mengikut sistem penggiliran pertama yang sembilan. Ini bermaksud sultan di sembilan negeri akan dilantik menjadi YDPA untuk tempoh lima tahun secara bergilir.

Bagaimanapun, penggiliran ini masih tertakluk kepada perkenan dan undi rahsia ketika Mesyuarat Pemilihan Majlis Raja-Raja.

Penggiliran itu bermula dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sehingga kini, penggiliran YDPA telah memasuki pelantikan yang ke-16 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah dipilih sebagai YDPA ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Baginda menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menuruni takhta pemerintahan pada 6 Januari lalu.

Al-Sultan Abdullah merupakan seorang sultan yang dekat dengan rakyat khususnya di Pahang memandangkan baginda secara rasmi memangku takhta negeri sebagai Pemangku Raja Pahang bermula 2016 selepas kegeringan almarhum ayahanda baginda.

Baginda juga merupakan pemegang gelaran putera mahkota kedua paling lama iaitu hampir 44 tahun dalam kalangan pewaris takhta di seluruh dunia, hanya di belakang Putera Charles dari Wales.

Pada 11 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah telah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam menjadikan baginda sebagai calon YDPA yang paling sesuai memandangkan Pahang berada dalam barisan penggiliran selepas Kelantan.

Menyingkap kehidupan awal, Al-Sultan Abdullah telah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Manggal Tunggal, Pekan iaitu pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang IV.

Baginda ialah paduka anakanda keempat daripada lapan adik-beradik. Kekanda tertua baginda ialah Tengku Meriam. Baginda ialah paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah bagi negeri Pahang dan seluruh jajahan takluknya.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan sehingga darjah empat sebelum berpindah ke Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan seterusnya di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan.

Sejak kecil lagi, baginda aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak dan sepak takraw. Baginda pernah dipilih untuk mewakili sekolah, daerah dan negeri dalam permainan bola sepak.

Baginda menerima pendidikan agama Islam secara persendirian setiap minggu di pejabat baginda di istana lama dan diajar oleh Kadi Besar Pahang.

Pendidikan

Baginda melanjutkan pengajian tingginya di United Kingdom dengan memasuki Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School dari tahun 1975 hingga 1978.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Davies College, London – Advance School selama dua tahun. Seperti mana kerabat diraja di seluruh dunia, baginda turut menuntut selama dua tahun di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

Baginda dianugerahkan pangkat Leftenan Muda oleh Ratu Elizabeth II. Pada tahun 1981, baginda menuntut ilmu di Worcester & Queen Elizabeth College dengan mengambil jurusan Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi.

Al-Sultan Abdullah berkahwin dengan puteri ketiga Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor.

Ketokohan baginda sebagai pemimpin terserlah menerusi pelbagai laporan media yang menceritakan tentang keprihatinan baginda kepada rakyat. Tidak kira sama ada musibah atau berita kematian baginda akan turun mencemar duli menziarahi rakyat bagi menitip perangsang.

Hal ini menjadikan Al-Sultan Abdullah sangat dekat dengan rakyat dan pada masa sama menjadi calon YDPA yang amat dinantikan.

Al-Sultan Abdullah bertitah seperti yang dilaporkan Bernama baru-baru ini, ungkapan yang sering dilafazkan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah iaitu ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ menjadi pegangan Seri Paduka sehingga kini.

“Saya selalu anggap bahawa saya adalah rakyat juga, saya tidak anggap saya sebagai raja…protokol itu ada, tetapi saya tak boleh kaku sangat. Kadangkala saya akan buat apa yang boleh mendekatkan saya dengan rakyat secara spontan.

“Saya nak kata saya tidak boleh buat begitu begini, susah juga…yang mana boleh turun padang, yang mana boleh dekat dengan rakyat, yang mana boleh bersalam dengan rakyat, yang mana boleh bercakap dengan rakyat, saya akan buat,” titah Seri Paduka.

Noor Aziah juga berpendapat Al-Sultan Abdullah akan dapat menerajui jawatan YDPA dengan baik seperti mana baginda telah mentadbir negeri Pahang.

“Saya percaya Al-Sultan Abdullah bakal mengambil perhatian akan masalah rakyat dan pada masa sama menggerak negara dengan harmoni bersama kerajaan.

“Al-Sultan Abdullah merupakan Sultan berjiwa rakyat dan saya percaya baginda akan menjadi YDPA yang disanjung dan disayangi rakyat,” ujarnya.

Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan sebagai Yang 
di-Pertuan Agong 
ke-16 hari ini mempunyai sifat ketokohan yang tinggi serta jiwa prihatin terhadap rakyat jelata di negara ini, malah menyifatkan baginda juga adalah rakyat. Daulat Tuanku!