Sebenarnya amat mudah untuk mengetahui jika seseorang itu mengalami kemurungan, namun ramai yang tidak sedar akan perkara itu kerana menganggap ia satu keadaan tidak serius selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa.

Itu perkara yang berlaku kepada seorang pembantu tadbir wanita di Telok Datok, Banting, Selangor yang mati dicekik dan ditikam pada leher oleh rakan sekerja minggu lalu.

Kosmo! yang turut melaporkan kejadian itu menyatakan, suspek yang masih bujang mempunyai rekod menjalani rawatan tekanan di Hospital Banting, Kuala Langat, Selangor. Suspek juga difahamkan mempunyai masalah kemurungan.

Kejadian berkenaan berlaku di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di Telok Datok, Banting.

Seorang tenaga pengajar di kolej berkenaan memaklumkan, ketika kejadian suspek yang dipanggil sebagai adik kelihatan gelisah dan pendiam.

“Ketika bertemu hari ini, suspek hanya diam dan menundukkan kepala. Saya tidak percaya dengan perbuatannya kerana perwatakan suspek sangat baik sebelum itu,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, Pakar Psikologis Klinik WeCare, Farah Puterinegara Ahmad Bahrom berkata, kemurungan merupakan salah satu kecelaruan mental yang tidak sihat. Ia melibatkan rasa sedih, pilu, kecewa, putus asa dan hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.

Kecelaruan

“Apakah yang menyebabkan punca kecelaruan mental? Sebenarnya tidak ada punca utama yang menyebabkan ia berlaku sebaliknya hanya ada faktor risiko seperti genetik, keturunan, pengalaman hidup, trauma, penyalahgunaan dadah atau perubahan cecair pada otak.

“Faktor risiko ini yang perlu diambil peduli. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu seperti gangguan emosi, fungsi fizikal dan interaksi sosial,” katanya pada Seminar Kesihatan Mental: Sama-sama kita ambil peduli di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, menjaga kesihatan mental itu sama pentingnya seperti menjaga kesihatan fizikal. Mengikut kajian oleh Kementerian Kesihatan, pada 2015 dianggarkan satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai masalah mental.

Seorang lagi Pengarah WeCare, Shazeema Mashood Shah berkata, untuk mengatasi masalah kecelaruan mental, seseorang itu tidak boleh bergantung kepada rawatan doktor atau ubat semata-mata sebaliknya terdapat banyak perkara lain yang boleh dilakukan.

“Pertama, pesakit perlu terima diagnosis mereka kerana jika tidak terima, kita akan sabotaj rawatan ataupun terapi yang sedang dilalui. Mungkin akan lupa ambil ubat ataupun terlepas sesi bersama psikologis.

“Apabila sudah terima, ikut arahan doktor dengan ambil ubat yang telah disarankan, jaga diri dan jangan lupa datang untuk sesi terapi,” ujarnya.

Tambahnya, pastikan juga diri sering terlibat dengan aktiviti sosial. Ia amat penting bagi memastikan seseorang itu tidak mengasingkan diri daripada kawan-kawan dan keluarga.

“Bagi ahli keluarga mahu pun rakan-rakan, beri peluang kepada mereka untuk menolong anda. Kalau ada majlis kenduri, beri undangan dan ajaklah mereka bersosial.

“Jika pesakit selalu bersama dengan orang lain, ia akan menjadi satu teknik untuk mengalihkan perhatian daripada pemikiran negatif dan akan memberi peluang kepada mereka untuk berasa sedikit kelegaan daripada situasi yang sedang dihadapi,” jelas Shazeema.