Sambil mata terkebil-kebil dek silau disuluh cahaya, mereka menjawab 13.

“Bagus. Kami (penyelamat) akan datang. Tidak mengapa, lebih ramai akan datang. Kami yang pertama,” ujar Volanthen lagi.

Salah seorang daripada kanak-kanak itu pula bertanya kepadanya, hari berkenaan adalah hari apa?

“Isnin. Kamu sudah berada di sini hampir 10 hari. Kamu sangat kuat,” jawab Volanthen sambil disertai kata-kata semangat.

Volanthen bersama rakannya, Brit Rick Stanton merupakan individu pertama yang berjaya menemui remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun berkenaan yang hilang bersama jurulatih berusia 25 tahun selepas latihan bola sepak pada 23 Jun lalu.

Dua warga British itu menawarkan khidmat menyelamat secara percuma untuk membantu pihak Royal Thai Navy SEAL.

Rick Stanton adalah bekas anggota bomba di Conventry, England, mempunyai pengalaman menyelam selama 35 tahun dan merupakan antara penyelam gua terbaik di Britain. Volanthen pula adalah penyelam profesional yang turut membantu dalam mencari pelajar-pelajar itu.

Ibu Volanthen, Jill, 80, memberitahu The Sun Online, dirinya hampir pitam sebaik mengetahui kematian seorang penyelam dalam misi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

“Bergelar pakar penyelam gua terutamanya penyelam profesional boleh membahayakan diri sendiri.

“Jika sebelum ini saya sering bercakap bangga tentang Volanthen yang telah berjaya melakukan beberapa misi menyelamat sejak dua dekad lalu, namun pada setiap ekspedisinya saya amat takut,” ujarnya yang turut bersimpati dengan kejadian yang berlaku di Thailand itu.

Kemahiran

BBC melaporkan, Samarn Poonan, 38, meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat lemas kerana kekurangan oksigen ketika ingin menyerahkan bekalan udara kepada kesemua mangsa yang terperangkap di dalam gua tersebut.

Penjelajahan penyelam gua memerlukan skil dan teknikal khusus selain memerlukan set kemahiran kerana ia merupakan kombinasi antara selam skuba di laut terbuka dan pendakian batu.

Menurut akademi yang pakar dalam selaman gua, Blue World Academy, penyelam profesional kebanyakannya hanya mempunyai kepakaran menyelam di laut dalam, manakala bagi operasi menyelamat mereka harus mengambil kelas khas yang mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari.

Bagi misi menyelamat di Chiang Rai itu, usaha mencari dan menyelamat dilihat sangat getir kerana laluan di antara lantai dan siling gua sempit selain air lumpur yang menyebabkan tahap penglihatan hampir pada tahap sifar.

Seorang penyelam gua berpengalaman dari Texas, William Bill Stone, 66, menganggarkan hanya 75 peratus penduduk di dunia yang menjadikan aktiviti penyelam gua sebagai perkara serius.

Bill Stone yang mempunyai pengalaman menyelam selama 42 tahun tidak mengesyorkan selam gua sebagai aktiviti masa lapang (rekreasi).

“Sesetengah orang melihatnya (selam gua) sebagai sukan lasak tetapi tidak bagi saya. Saya melihat ia sebagai aktiviti untuk menjelajah dan meneroka,” katanya. Bill Stone menganggarkan hanya 10,000 orang di seluruh dunia yang melakukan aktiviti menyelam jenis berkenaan.

Aktiviti menyelam yang paling mudah adalah menyelam pada musim bunga dengan membawa peralatan skuba dan mengembara ke bawah tanah yang airnya mengalir jelas. Aktiviti itu amat popular di Florida dan Semenanjung Yucatan, Utara Amerika.

Selaman bah

Terangnya yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Stone Aerospace, menyelam musim bunga terpanjang pernah direkodkan ialah 40 kilometer di bawah air, ia penyelaman pergi balik.

Sementara itu, aktiviti menyelam gua yang lebih serius dan bahaya ialah selaman bah (air banjir) seperti yang berlaku di Thailand.

Penyelam perlu menyelam ke dalam kawasan gua dengan air keruh, penglihatan terhad dan air yang tinggi sehingga mencecah siling. Penyelam profesional seperti Bill Stone berkata, untuk berjumpa dan pergi kawasan kering adalah mustahil.

Latihan yang teliti dan peralatan yang betul amat penting semasa melakukan selaman di dalam gua. Secara umumnya, prosedur menyelam gua mempunyai banyak persamaan dengan selaman lain.

Ia hanya berbeza dari segi teknik penggerak, protokol pengurusan kecemasan, pengurusan gas, beroperasi di ruang terkurung dan pendakian untuk ke permukaan.

Peralatan

Bagi penyelam gua, mereka akan membawa dua tangki udara dan dua regulator bagi memastikan mendapat oksigen yang mencukupi. Lazimnya, penyelam gua hanya menggunakan satu pertiga daripada udara semasa memasuki gua dan menyimpan dua pertiga bagi kegunaan perjalanan pulang.

Mereka juga memakai topeng muka dan sirip itik, malah turut memakai topi (penutup kepala) bagi mengelakkan kecederaan daripada terlanggar batu-batuan di dalam gua. Lampu juga akan dibawa bersama bagi memastikan bekalan cahaya mencukupi.

Kadangkala amat sukar untuk melihat apa yang ada di dalam air kerana keadaan gua yang gelap gelita. Oleh itu, mereka akan sentiasa menggunakan tali sama seperti pendaki gunung.

Tali setebal dua milimeter digunakan sebagai penanda supaya penyelam-penyelam akan kekal bersama dalam laluan. Penyelam akan membuat tanda arahan okey dengan tangan selagi mereka kekal dalam lingkungan sama.

“Apabila seseorang penyelam mati di dalam air, ia adalah disebabkan mangsa kehilangan garisan dan tersesat sehingga kehabisan udara.

“Penanda tali itu boleh menjadi garisan yang biasa sahaja tetapi ia sebenarnya mempunyai makna yang besar,” kata Penyelaras Kebangsaan Suruhanjaya Penyelamat Gua Negara di Amerika Syarikat, Anmar Mirza.

Jadi mengapa ada orang yang ingin melakukan aktiviti seumpama itu? Mengapa mereka ingin mengambil risiko?

“Keseronokannya adalah apabila ia menjadi perkara baharu kepada seseorang. Semua rakan yang saya kenali memberitahu pekerjaan menyelam gua itu gila tetapi saya gembira melakukannya.

“Saya mula melakukannya kerana memiliki sifat ingin tahu dan suka menjelajah,” kata Naib Pengerusi Bahagian Penyelam National Speleogical Society, Forrest Wilson.

Wilson membuat selaman gua pertamanya pada tahun 1969 dan masih meneruskan kegiatannya itu.

“Dari aspek lain, apabila menyelam di gua anda tidak boleh berada di tengah-tengahnya. Anda perlu kembali ke pintu masuk untuk keluar, tidak seperti penyelam di laut terbuka yang boleh terus naik ke permukaan jika berlakunya sesuatu seperti kekurangan oksigen,” terangnya.

Aktiviti selaman gua memerlukan skil dan teknikal khusus. Ia juga merupakan kombinasi antara selam skuba di laut terbuka dan pendakian batu.