Dia yang baru sahaja menamatkan Kursus Pelatih (Course Director) Selam Skuba iaitu sebuah kursus bagi melayakkannya melatih pelatih-pelatih selam skuba berasa seperti ada sesuatu yang ‘kurang’ dalam hidupnya.

Lelaki berusia 43 tahun itu tertanya-tanya adakah aktiviti menyelam merupakan kerjaya yang dicari dan diidamkan selama ini.

Lalu, di atas bot itu dia mengangkat tangan dan menadah doa: “Ya Allah! Andai kata aku tidak boleh masuk Palestin sebab Kau mahu aku bangunkan dunia menyelam, lepas ni boleh tak tolong beri aku masuk (Palestin) balik?” ujarnya.

Itu doa yang dipohon Muhammad atau lebih dikenali Ustaz Al-Amin pada 2016 selepas dua tahun tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi Palestin. Al-Amin adalah gelaran yang diberikan oleh keluarganya.

Kemasukannya ke Palestin telah dihalang selepas dia dikesan oleh pihak Israel sering menghantar bantuan kemanusiaan ke negara itu.

“Hati mana yang tidak remuk apabila tidak lagi dapat berkunjung ke Palestin, tetapi disebabkan saya masih ke sana untuk membawa rakan-rakan, jadi saya pergi juga.

“Apa yang saya lakukan adalah semasa rakan pergi ziarah, saya pergi menyelam di negara-negara sekitar Asia Barat. Lama-kelamaan itulah sebabnya tahap lesen selam skuba saya semakin tinggi,” ujarnya yang mempunyai syarikat pelancongan ALCC Al-Amin Travel Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor.

Sebelum itu, Muhammad yang merupakan anak kelahiran Johor Bahru sudah memperoleh lesen selam skuba sejak 2006 lagi semasa melawat saudaranya di Pulau Tioman, Pahang.

Sejak itu, selepas rakan-rakan mengetahui yang Muhammad merupakan seorang ustaz berlesen menyelam, Pengetua Maahad Sains Al-Quran Al-Amin yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya itu sering diajak melakukan aktiviti berkenaan.

“Bila ada rakan ajak, saya ikut sahaja. Apabila pergi menyelam ini selalunya dua atau tiga hari juga. Jadi, lazimnya pada sebelah malam apabila berkumpul bersama-sama, saya sering diajukan dengan soalan berkaitan agama.

“Rupanya baru saya terfikir aktiviti menyelam ini boleh jadi satu jalan untuk berdakwah juga,” terangnya sambil memaklumkan pada 2008 barulah dia benar-benar sedar dan minat dengan aktiviti tersebut.

Ateis

Menyedari hakikat itu, Muhammad mengambil pendekatan dengan menyampaikan dakwah kepada para penyelam skuba tidak mengira latar belakang dan lokasi menyelam.

Katanya yang juga memiliki syarikat selam skuba, i-Divers di Shah Alam, aktiviti itu dilihat mampu menjadi pendorong kepada anak-anak muda untuk mendekati dan memahami Islam dengan lebih mendalam.

“Kita faham anak-anak muda ini ada yang malu untuk ke surau. Alhamdulillah rupanya jalan yang Allah SWT bagi saya ini adalah untuk membantu mengembangkan lagi ajaran Islam terutamanya kepada mereka.

“Dengan selam skuba ini juga saya telah berjaya mengislamkan ramai anak muda. Itu tidak termasuk lagi dalam kalangan rakan-rakan dari luar negara, mereka kini bukan lagi Islam-fobia,” kata ahli Persatuan Tenaga Pengajar Penyelam Profesional (PADI) itu.

Muhammad terkenal dengan ketokohannya menyampaikan dakwah dan kerja-kerja amal.

Wajahnya sering muncul dalam rancangan televisyen seperti Al-Kuliyyah dan Semanis Kurma, diundang menjadi panel radio IKIM dan Bernama serta sering menjadi pakar rujuk dalam bidang agama.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang syariah daripada Universiti Al-Azhar dan kini sedang menyiapkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjurus kepada hadis-hadis berkaitan para nabi dan Masjid Al-Aqsa di Palestin.

“Pernah ada sekumpulan anak-anak muda berpelajaran tinggi yang tidak percaya dengan kewujudan Tuhan atau dikenali golongan ateis. Mereka semua ini golongan terpelajar dan datang daripada keluarga berada.

“Setiap minggu ibu dan bapa mereka mengadakan kelas agama dan sering menjemput ustaz. Apabila saya berjumpa dengan mereka saya tidak bercerita tentang Allah SWT atau agama Islam sebaliknya berborak mengenai selam skuba,” terangnya.

Tambah Muhammad, anak-anak muda itu lebih berminat untuk mendengar dan mereka mengajak untuk sama-sama melakukan aktiviti selam skuba.

Muhammad yang turut memiliki Sarjana Syariah dan Undang-undang dari Universiti Malaya bijak berkata-kata dalam memberi nasihat dan membentangkan fakta-fakta dunia sains berkaitan Islam.

“Saya ajar mereka perlahan-lahan dan memberikan bukti-bukti sahih kepada mereka. Akhirnya anak muda ini berbalik semula kepercayaan kepada Allah SWT,” katanya.

Sejak menceburi selam skuba, Muhammad telah memiliki pelbagai lesen dalam bidang itu dan kebanyakan daripadanya diperoleh dari luar negara.

Dia juga mempunyai pengalaman menyelam di beberapa buah negara seperti Cyprus, Sepanyol, Maghribi, Jordan, Mesir, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Kesemua pengalaman dan ilmunya yang diperoleh juga dibukukan di dalam Terms of Scuba Diving yang merupakan nukilannya.

Berkebolehan menyelamat

Dalam pada itu, Muhammad juga memiliki lesen Penyelamat Awam Skuba iaitu lesen yang melayakkannya membantu pasukan keselamatan dalam menyelesaikan misi menyelamat di dasar air seperti mencari mayat atau menaikkan kenderaan terjunam.

Semasa mengikuti aktiviti skuba, ada juga dalam kalangan ahli kumpulan yang tidak tahu bahawa dia seorang ustaz yang aktif berdakwah.

Namun, apabila mereka dapat tahu, mereka tidak segan silu untuk bertanya.

“Apabila mereka mengetahui yang saya ustaz, mereka seronok bertanya. Setiap soalan saya akan sertakan dengan jawapan paling mudah untuk difahami. Tidak semena-mena aktiviti menyelam bertukar menjadi kelas agama pula,” ujarnya.

Kini, Muhammad menerima tanggungjawab untuk memberikan taklimat dan latihan Penyelamat Awam Skuba kepada beberapa balai bomba di seluruh negara.

Banyak inti pati dan ilmu yang dipelajari semasa mengembara ke luar negara turut dikongsi bersama pasukan keselamatan itu.

“Saya berharap sementara masih ada (hidup) ini, segala ilmu yang saya ada boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh pihak lain.

“Berdakwah tidak semestinya di daratan sahaja kerana ia boleh dilakukan di mana-mana. Apa yang penting niat dan tujuan itu mestilah betul,” tuturnya.

Muhammad menekankan melalui aktiviti seumpama itu juga, ia secara tidak langsung turut mendedahkan aktiviti-aktiviti sunah yang digalakkan Rasulullah selain aktiviti memanah dan menunggang kuda.

Sementara itu, Pelatih Menyelam i-Divers, Mohammad As Syibly berkata, aktiviti menyelam mampu mendidik seseorang lebih memuhasabah diri dan mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

“Melihat hidupan laut ini membuatkan kita berasa kagum dengan ciptaan-Nya. Itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan aktiviti ini,” katanya yang sudah menjadi anak murid kepada Muhammad sejak berumur 15 tahun.