Tiba-tiba hati Norli Madlan, 41, terdetik rasa cemburu kepada penyusun wirid dan doa harian yang diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW tersebut.

“Mudah benar memperoleh pahala berpanjangan hanya melalui penulisan,” bisik hati kecilnya.

Bagaimanapun, bisikan tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja.

Tidak berapa lama kemudian, sekali lagi perasaan sama muncul tatkala tangannya memegang buku Iqra karangan seorang penulis dari tanah seberang, Indonesia.

“Untungnya hari-hari menerima pahala asbab daripada orang lain membaca penulisannya,” detik hatinya.

Lantas tangannya diangkat ke langit memohon doa daripada Yang Maha Esa.

“Ya Allah, beri aku peluang untuk terus memperoleh pahala berterusan walaupun setelah aku mati,” katanya berulang kali dengan bersungguh-sungguh sehingga mengalirkan air mata.

Norli yang mesra dipanggil Bonda Nor juga sering berasa dirinya banyak melakukan kesilapan dan rasa terpanggil untuk membetulkan kesilapan serta dosa yang telah dilakukan.

Beliau yang merupakan graduan Diploma Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1998 ketika berusia 21 tahun.

Katanya, beliau tidak berpeluang untuk menghabiskan pengajian pada peringkat ijazah selepas beberapa kali membuat penangguhan.

Pengasas

Setelah berhijrah ke Kuala Terengganu, beliau dan suami mengusahakan sebuah tadika serta menjadi pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

Kongsi Bonda Nor, kaedah itu tercetus selepas anak keduanya, Nur Najla Insyirah yang kini berusia 15 tahun tidak boleh membaca.

“Saya berasa marah dan menangis kerana anak sendiri tidak boleh membaca sedangkan saya membuka pusat membaca untuk mengajar anak orang lain.

“Saya mahu mengajar anak sendiri membaca kerana ia adalah tanggungjawab saya sebagai ibu,” ujar anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu itu.

Bagaimanapun, kaedah ejaan dan fonetik yang digunakan tidak berkesan, selain anaknya tidak mahu belajar menggunakan buku itu.

Beliau kemudian mendapat ilham untuk melukis objek tertentu yang boleh dikaitkan kepada huruf A, B dan C pada kertas.

“Saya melukis awan untuk huruf A, badak untuk menggambarkan abjad B dan cawan untuk C.

“Ternyata anak saya berminat untuk belajar dan dia boleh mengenal huruf dengan pantas,” cerita Bonda Nor.

Susulan itu, beliau terfikir untuk mencipta modul bagi memudahkan kanak-kanak belajar membaca.

Buku pertama beliau berjudul Belajar Membaca Ekspres-i diterbitkan oleh PTS Profesional Publishing pada tahun 2007.

Bonda Nor juga aktif menulis novel tarbiah dan buku-buku motivasi.

Bercerita bagaimana beliau terjun ke medan penulisan dakwah, sambil tersenyum wanita itu berkata, pada asalnya beliau bukan seorang yang pandai menulis dan tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis.

Bagaimanapun, beliau suka berkongsi buah fikiran dan pendapat dengan rakan-rakan di laman sosial Facebook.

“Melalui grup di media sosial tersebut, saya mendapati ada dalam kalangan rakan-rakan saya suka membandingkan karakter suami sendiri dengan suami orang lain.

“Jadi, saya rasa tidak senang dengan situasi itu dan terpanggil untuk menegur tetapi berasa diri tidak layak,” tutur ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Ujarnya, beliau kemudiannya mendapat ilham untuk menulis novel bertajuk Saya Tunggu Awak dan cuba mendapatkan sokongan daripada suami.

Beliau terfikir untuk menulis novel kerana percaya ramai rakyat Malaysia adalah penggemar novel dan diharap dapat mendidik masyarakat.

Walaupun pada awalnya tidak mendapat restu suami, wanita tersebut tidak berputus asa dan terus memanjatkan doa mohon pertolongan daripada Allah.

Ternyata, Allah telah membuka jalan dan mendapat sokongan daripada suami untuk mula berkarya.

“Alhamdulillah, novel yang pada asalnya bertajuk Cinta Bidayatul Hidayah yang mempunyai 640 halaman itu berjaya disiapkan dalam masa tiga bulan.

“Saya bangun pada pukul 3 pagi untuk menulis dan adakalanya sambil meriba anak,” kongsinya yang menjadikan menu sate sebagai makanan kegemaran sejak kecil.

Jelas anak kelima daripada enam adik-beradik itu, Seminar Bidayatul Hidayah yang dihadirinya telah menjadi pendorong untuk beliau menghasilkan novel terbabit.

“Kitab Bidayatul Hidayah umpama satu manual harian seorang Mukmin yang menyentuh aspek-aspek utama kehidupan.

“Begitu juga dengan kaedah penulisan novel ini yang cuba menyentuh beberapa permasalahan utama yang sering timbul dalam kehidupan manusia,” katanya.

Anugerah

Setelah buku terbitan Galeri Ilmu itu berjaya dipasarkan, ia mencapai jualan terlaris dan diulang cetak.

Kemudian bermulalah penulisan buku bertajuk Pujuklah Hati yang sebahagiannya adalah perkongsian beliau di laman Facebook secara bersiri.

Sehingga kini, beliau telah mempunyai 14 buah karya yang hampir kesemuanya mencapai jualan terlaris.

Salah satunya, Be Strong telah menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular dan Berita Harian 2017.

“Saya tak kenal sesiapa, tak dapat sokongan sesiapa dan Allah sajalah yang benar-benar menguatkan saya.

“Bagaimanapun, semakin lama, terasa makin manis perjuangan yang bertunjangkan niat untuk berdakwah,” ceritanya yang menyukai warna merah.

Tidak terhenti setakat itu, beliau juga aktif menganjurkan seminar Teknik Mudah Mengajar Membaca dan memenuhi undangan untuk seminar motivasi dan penulisan di seluruh negara.

“Setelah mendapat banyak maklum balas, lama-kelamaan timbul minat mahu membuat perkongsian secara serius melalui bengkel penulisan Bonda Nor.

“Seminar Penulisan Mega Bonda Nor, satu lagi platform usaha saya untuk menarik lebih ramai penulis dan bakal penulis agar sama-sama terlibat dengan bidang penulisan yang punya nilai dakwah,” tambah wanita yang menjadikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai idola.

Jelas beliau, perkongsian peserta bengkel kemudiannya akan dibukukan menjadi antologi.

Mengulas lanjut, Bonda Nor berkata, mengajak orang membuat kebaikan bukanlah mudah dan seorang hamba akan diuji dengan apa yang dikatakannya.

Namun, setiap kali dilanda ujian, beliau akan kembali memohon petunjuk dan meminta kekuatan daripada Allah.

Besar harapan Bonda Nor agar lebih ramai penulis dapat meneruskan legasi penulisan dakwah dan dapat menjadi bekal bermanfaat selepas dijemput menghadap Sang Pencipta.

Norli Madlan atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor merupakan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-I dan aktif menghasilkan bahan bacaan dakwah santai.