Riak terkejut dan kagum jelas terpancar pada wajah masing-masing.

Mana tidaknya, itu merupakan kali pertama mereka menyaksikan seorang wanita menjalankan aktiviti yoga di atas seekor kuda.

Ternyata, gaya baharu yang disebut sebagai yoga kuda oleh Nunes itu berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mempelajari teknik tersebut.

Menurut Nunes, dia mendapat ilham untuk melakukan aktiviti yoga kuda pada tahun 2015, ketika menyertai satu pertandingan merakam aksi yoga paling menarik.

“Saya mula melibatkan diri dalam sukan yoga pada tahun 2007 dan lima tahun kemudian, saya bergelar seorang jurulatih.

“Pada waktu itu, saya ternampak satu pertandingan fotografi yoga yang memerlukan peserta merakam aksi yoga paling menarik.

“Kebetulan, ketika itu saya sedang bersiar-siar bersama seekor kuda, Snowy yang diberikan oleh ibu beberapa tahun lalu. Saya kemudian terfikir kenapa tidak aksi yoga tersebut dirakam ketika sedang menunggang kuda.

Tambat kuda

“Keesokan harinya, Nunes mengambil risiko melakukan yoga di atas kuda. Walaupun menghadapi kesukaran untuk melakukan pelbagai teknik yoga di atas badan Snowy, namun ia akhir­nya membuahkan hasil apabila saya memenangi pertandingan tersebut,” jelasnya.

Menurut wanita kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu lagi, walaupun pada mulanya aktiviti tersebut dilakukan hanya untuk memasuki pertandingan fotografi, namun siapa sangka dia mula menjadi ketagih untuk beryoga di atas badan kuda.

Selain seronok, Nunes akui aktiviti tersebut lebih mencabar dan berbeza daripada aksi klise di atas permukaan rata yang dilakukan oleh kebanyakan individu.

“Pada mulanya, saya akui memang menghadapi pelbagai kesukaran sehingga saya terpaksa menambat Snowy di sebatang pokok bagi menge­lakkan dia berlari.

“Bagaimanapun, selepas beberapa kali me­lakukan aksi tersebut, Snowy mula memberi kerjasama. Snowy kini boleh berdiri tegak tanpa disuruh sepanjang saya melakukan yoga di atas badannya.

“Malah, apa yang menggembirakan saya, Snowy akan menggerakkan badannya bagi menyeimbangkan aksi-aksi yoga yang dilakukan oleh saya pada hari itu,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Nunes lagi, dia perlu memastikan mood Snowy berada dalam keadaan baik setiap kali sebelum beryoga bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

Lebih-lebih lagi apabila sukan tersebut memerlukan individu untuk melenturkan diri di atas permukaan rata dan bukannya kawasan yang tinggi dan berliku seperti di atas badan seekor kuda.

Faedah fizikal

Walaupun ramai yang mendakwa aktiviti yoga kuda tidak selamat dilakukan, namun Nunes percaya ia mempunyai banyak manfaat kepada penunggang dan juga kuda itu sendiri.

“Kelebihan yoga kuda ialah penunggang dan haiwan akan memperkuatkan ikatan kasih sa­yang antara haiwan dan manusia serta memupuk sifat saling mempercayai antara satu sama lain.

“Bukan itu sahaja, yoga yang dilakukan di atas badan kuda juga secara tidak langsung mampu memberi terapi dan rangsangan fizikal melalui pergerakan-pergerakan yang dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi individu pula, yoga kuda dikatakan mampu meningkatkan kekuatan, keseimbangan, fleksibiliti badan dan juga disiplin diri.

Disebabkan banyak manfaat yang diperoleh daripada yoga kuda itu, Nunes kini dalam proses memulakan kelas latihan yoga kudanya sendiri yang dijangka akan dibuka kepada umum pada bulan Jun 2018.

“Walaupun ramai yang meragui keselamatan yoga di atas kuda, namun saya pasti ia bakal mencetuskan fenomena baharu dalam seni yoga dan seterusnya menarik lebih ramai individu untuk mencuba sendiri pengalaman beryoga di atas kuda,” jelasnya.