Di satu ruang lain pula, beberapa arca kaca dan lukisan kanvas bermotifkan seni mempertahankan diri iaitu silat terpampang di segenap ruang pada dinding.

Kesempatan bertemu dengan seorang wanita yang mengusahakan kraf tangan berasaskan kaca itu sememangnya satu peluang bermakna, lebih-lebih lagi statusnya sebagai isteri kepada seorang seniman tersohor negara, Raja Azhar Idris.

Wanita tersebut, Shareena Shahridan, 40, juga berjiwa seni seperti suaminya untuk berkarya dengan menghasilkan aksesori perhiasan berasaskan kaca yang dikenali dengan jenama KACHA.

Menurut Shareena, KACHA merupakan seni barang perhiasan yang menggunakan gelas spektrum yang diimport dari Amerika Syarikat.

Katanya lagi, gelas spektrum yang digunakan adalah spektrum 96 yang mempunyai pelbagai jenis dan warna untuk menghasilkan barangan perhiasan yang menawan.

Bercerita lebih lanjut, wanita yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, dia mula serius dalam menghasilkan barangan perhiasan berasaskan kaca pada tahun 2012.

“Ketika itu, suami saya yang juga dipanggil Raja kaca oleh orang ramai terlebih dahulu menghasilkan seni arca daripada kaca.

“Daripada cebisan kaca untuk dibuat arca itu, saya terfikir dan cuba-cuba untuk membuat sesuatu yang berharga daripada dibuang begitu sahaja,” ujar Shareena.

Lama-kelamaan, daripada hanya sekadar suka-suka, Shareena akhirnya jatuh cinta untuk menghasilkan beberapa bentuk barangan perhiasan berasaskan kaca.

Atas dorongan dan tunjuk ajar daripada suami yang lebih berpengalaman, Shareena secara perlahan-lahan mempelajari teknik-teknik seperti memotong dan menghaluskan bahagian sisi kaca.

Suka-suka

Untuk satu jenis perhiasan misalnya, sebanyak tiga hingga empat lapisan kaca akan digunakan dan setiap lapisan perlu dipotong mengikut bentuk serta saiz yang diinginkan.

“Bagi mendapatkan hasil yang lebih cantik, setiap perhiasan akan ditambah dengan perincian kaca-kaca kecil seperti dichroic, confetti, stringer dan fritz sebelum dibakar,” kata wanita berasal dari Kuala Lumpur itu.

Ceritanya, kerja untuk membakar barangan perhiasan itu merupakan peringkat yang paling mencabar kerana adakalanya kaca yang dibakar menjadi tidak begitu sempurna apabila cair dan tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Shareena mengakui bahawa aksesori kaca adalah amat renyah. Ketika proses membakarnya di dalam pembakar khas, suhu yang digunakan adalah 745 darjah Celsius selama satu jam untuk mencairkan lapisan kaca sehingga melekat.

Bagaimanapun, aksesori yang telah siap dibakar itu hanya boleh dikeluarkan daripada pembakar selepas 24 jam iaitu setelah ia sejuk sepenuhnya.

Ia penting bagi mengelakkan kaca itu pecah atau merekah apabila terkena suhu bilik.

Walaupun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal dalam bidang seni, Shareena yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Tenaga Nasional, Kajang, Selangor itu belajar sendiri perlahan-lahan untuk memantapkan kemahirannya.

Selain itu, Shareena bersama suaminya juga turut menghadiri Australian Glass Convention yang diadakan pada setiap dua tahun di Canberra, Australia untuk menimba ilmu dalam bidang seni kaca.

Bercerita tentang risiko keselamatan, Shareena memberitahu, pada awalnya dia mengakui sangat takut untuk bermain dengan kaca kerana bimbang jika berlaku kecederaan.

Namun, lama-kelamaan dia mula terbiasa untuk ‘berkawan’ dengan kaca dan menjadi perkara normal jika jari mengalami luka-luka kecil.

Suaminya, Raja Azhar memberitahu, apa yang dilakukan oleh isterinya berbeza dengan seni kaca yang dia hasilkan.

Menurut lelaki berumur 66 tahun itu, dia memilih untuk berkarya dengan menghasilkan arca kaca bersaiz lebih besar kerana menganggap ia lebih mudah untuk dikendalikan.

Ditanya pendapat tentang seni kaca, Raja Azhar memberitahu, kaca merupakan satu bahan yang ditakuti oleh kebanyakan orang termasuk untuk dipegang kerana ia bersifat tajam.

“Kita perlu menjadikan kaca itu seperti kawan dan mesti tahu untuk mengendalikannya dengan berhati-hati,” katanya yang juga merupakan seorang pelukis kanvas.

Inspirasi

Mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam bidang seni, Raja Azhar yang pernah belajar dan menetap di Melbourne, Australia selama 17 tahun melihat seni kaca sebagai sesuatu yang unik dan tidak banyak dilakukan di Malaysia.

Bagi Shareena pula, dia merasakan bahawa kaca itu sifatnya diibaratkan sama seperti wanita.

Apabila kaca yang keras itu dibakar, ia akan menjadi lembut dan boleh dilentur mengikut bentuk yang diingini seperti bulat atau bersegi.

“Ia boleh diumpamakan seperti hati dan perasaan seorang wanita, kerana sekeras mana pun mereka, ia tetap memiliki sifat sensitif serta penyayang,” ceritanya.

Untuk menghasilkan aksesori perhiasan wanita, Shareena mengambil inspirasi daripada internet untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan reka bentuk terkini selain menggunakan rekaan mengikut imaginasi sendiri.

Menyasarkan pelanggan tanpa mengikut usia tertentu, aksesori yang dihasilkan seperti rantai leher, gelang tangan, subang telinga, kerongsang dan cincin yang dihasilkan itu tampak eksklusif dan mahal, namun sebenarnya harga yang ditawarkan mampu dimiliki sesiapa sahaja.

“Aksesori yang dihasilkan 100 peratus adalah buatan tangan, namun harganya tidak semahal seperti yang disangka,” kata Shareena yang menggunakan slogan Uniquely You bagi menggambarkan kerja tangan yang dihasilkannya.

Mempunyai perancangan untuk mempelbagaikan aksesori kaca, Shareena turut menghasilkan perhiasan untuk lelaki seperti butang baju Melayu, gelang tangan, kafling dan cincin.

Namun, perancangan tersebut tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana Shareena juga perlu bijak membahagikan masanya yang juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua orang anaknya.