Kepantasan serta kelincahan Akhyar yang baru berusia 19 tahun pada aksi kejohanan itu membuktikan kemampuannya untuk melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kemampuan anak muda yang digelar sebagai ‘Neymar Kedah’ itu kini dilihat sebaris barisan pemain senior negara.

Sejak berusia 10 tahun lagi, Akhyar telah menjalani latihan bola sepak secara tersusun menerusi program latihan asuhan bakat, Kenari Kid daerah Kubang Pasu yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pada waktu itu, Kenari Kid Kubang Pasu dikendalikan abang Akhyar sendiri iaitu legenda skuad Kedah, Mohd. Rafdi Abdul Rashid yang juga bekas penyerang skuad kebangsaan sekitar tahun 2000.

Selain itu, Akhyar mengakui bakatnya mula diasah Rafdi dengan mengikuti latihan bola sepak pada setiap hari dan menyertai perlawanan bola sepak di sekitar negeri Kedah.

Pada masa sama, Akhyar berkata, dia juga mewakili pasukan bola sepak peringkat sekolah rendah sejak belajar di Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Muda, Kubang Pasu.

“Walaupun saya baru berusia 10 tahun, namun saya telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam sukan bola sepak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Matang Kong, Alor Setar baru-baru ini.

Menurut Rafdi, dia kemudiannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar yang merupakan sekolah sukan daerah sebelum belajar di SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra, iaitu sekolah sukan negeri.

“Semasa belajar di Tingkatan Tiga, saya mula dipilih mewakili pasukan Piala Belia Kedah dan selepas itu Piala Presiden Kedah. Ketika belajar di Tingkatan Empat dan Lima, saya telah mewakili Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia di China dan Korea,” katanya yang meminati sensasi Brazil, Neymar.

Dalam pada itu, Akhyar berkata, dia menanam azam untuk menyarung jersi skuad senior negara yang sememangnya dicita-citakan sejak berada di bangku sekolah lagi.

Menurutnya, walaupun peluang untuk mewakili skuad Harimau Malaya masih jauh, namun dia bertekad untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bagi memikat jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Pada masa sama, saya juga mahu mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan mewakili kelab bola sepak di Jepun atau Korea Selatan suatu hari nanti,

“Saya mungkin mendapat lebih banyak pengalaman dan pendedahan apabila menyertai kelab bola sepak dari luar negara bagi meningkatkan prestasi saya selepas ini,” katanya penuh semangat.

Sejurus tamat tugasannya bersama skuad B-23 negara di China, kelibat Akhyar berjaya menarik perhatian beberapa kelab rantau Asia apabila namanya dikaitkan dengan kelab ternama Thailand, Buriram United.

Rafdi sendiri turut mengesahkan terdapat wakil atau ejen yang menunjukkan minat untuk berunding dengan Akhyar mengenai tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.

Akhyar turut memberitahu, dia tidak akan mempersia-siakan peluang ketika beraksi bersama skuad Helang Merah untuk mempamerkan persembahan yang mantap dengan sentuhan gol yang terbaik.

“Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang memberi kepercayaan kepada saya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama Kedah musim ini.

“Saya berharap kehadiran saya dapat memberi sumbangan berkesan kepada pasukan untuk mempertahankan Piala FA dan memburu kejuaraan Liga Super serta Piala Malaysia,” katanya.

Akhyar menyertai skuad Piala Belia Kedah pada 2014 hingga 2015. Dia kemudiannya bersama skuad Piala Presiden Kedah pada 2016 sebelum diserapkan menyertai skuad utama Helang Merah mulai musim lalu.