BUIH champagne menari-nari di dalam gelas-gelas mewah. Lilin berbentuk angka 104 dinyalakan di atas kek keju ketika meraikan kehidupan David Goodall yang sudah lebih satu abad.

Lelaki warga emas itu mendengar dengan teliti suara ahli keluarganya yang mula menyanyi.

Beliau kemudian menarik nafas dan berniat sesuatu sebelum meniup lilin tersebut.

Bagaimanapun, Goodall tidak sepenuh hati meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-104 tahun di Perth, Australia pada April lalu.

Pakar botani dan ekologi yang dianggap sebagai saintis tertua di negara itu mengatakan bahawa beliau telah hidup terlalu lama dan sudah bersedia untuk mati.

“Saya berasa amat menyesal kerana mencapai peringkat umur ini. Saya memilih untuk menjadi 20 atau 30 tahun lebih muda.

“Tidak. Saya tidak berasa gembira. Saya mahu mati. Ia bukan sesuatu yang menyedihkan tetapi apa yang menyedihkan adalah apabila perbuatan itu dihalang.

“Pada hemat saya, orang tua seperti saya sepatutnya diberikan hak penuh sebagai warganegara termasuk hak dibantu untuk bunuh diri sendiri,” katanya kepada Badan Penyiaran Australia, ABC ketika ditanya sama ada beliau gembira meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya.

Lelaki itu dijangka melakukan perjalanan sejauh lebih 12,900 kilometer ke Switzerland pada awal bulan ini untuk dimatikan secara terhormat menerusi kaedah eutanasia.

Temu janji

Proses eutanasia secara umumnya bermaksud perbuatan mematikan seseorang yang menanggung penyakit yang tidak dapat disembuhkan atas dasar keperikemanusiaan supaya individu terbabit tidak menanggung kesengsaraan berpanjangan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu telah berjaya memperoleh satu temu janji segera bersama sebuah agensi bagi melaksanakan kaedah eutanasia di bandar Basel, barat laut Switzerland.

“Saya sepatutnya gembira kerana saya menaiki kapal terbang, setakat ini semuanya berjalan lancar.

“Saya lebih suka jika dapat melakukannya di negara ini. Australia adalah rumah saya. Saya minta maaf kerana terpaksa pergi jauh untuk menamatkan riwayat saya,” katanya kepada 9 News Australia ketika ditemui di salah sebuah lapangan terbang di Australia.

Selama dua dekad lalu, Goodall telah menjadi ahli pertubuhan Exit International, sebuah organisasi tidak berkepentingan yang berpusat di Australia.

Salah satu perjuangan organisasi itu ialah mendapatkan kelulusan undang-undang eutanasia, demikian menurut laman web kumpulan tersebut.

Badan yang membantu membawa Goodall ke Switzerland mengatakan, adalah tidak adil bagi seorang rakyat paling tua dan penting di Australia dipaksa mengembara jauh semata-mata bagi menunaikan hasrat mati dalam keadaan bermaruah.

Exit International telah menubuhkan satu kempen kutipan dana GoFundMe untuk membiayai tiket penerbangan Goodall.

Setakat ini, jumlah kutipan yang diterima sudah mencapai A$17,000 (RM50,360).

Pengasas Exit International, Philip Nitschke berkata dalam laman GoFundMe untuk Goodall bahawa penyelaras bagi kumpulan Australia Barat yang juga rakan Goodall akan menemani lelaki itu ke Basel.

“Apabila seseorang melewati tahap kehidupan pertengahan usia, dia telah membayar balik hutang kepada masyarakat.

“Seseorang individu sepatutnya bebas menghabiskan sisa hidupnya sebagai seorang yang berhak memilih.

“Jika seseorang memilih untuk membunuh diri sendiri, maka itu cukup adil. Saya tidak fikir orang lain harus campur tangan,” kata Goodall yang pernah terlibat menghasilkan 130 kertas kerja kajian saintifik selain membuat penilaian dan suntingan sejumlah jurnal ekologi.

Rang undang-undang

Di kebanyakan negara, eutanasia dan bantuan membunuh diri adalah haram, namun beberapa negara termasuk Belgium, Luxembourg dan Belanda telah meluluskan satu atau kedua-dua perbuatan tersebut, demikian menurut laman web kumpulan bukan berkepentingan, ProCon.org.

Selama beberapa tahun, Australia melarang amalan tersebut, namun pada November lalu, Victoria menjadi negeri pertama meluluskan Rang Undang-Undang Eutanasia yang membenarkan pesakit tenat mengakhiri hidup mereka menjelang musim panas 2019.

Switzerland sama seperti negara-negara lain yang belum meluluskan undang-undang membantu seseorang membunuh diri tetapi dalam beberapa keadaan, undang-undang tidak melarangnya.

Di Amerika Syarikat, hanya enam negeri iaitu California, Colorado, Hawaii, Oregon, Vermont and Washington mempunyai undang-undang kematian bermaruah untuk pesakit yang tiada harapan sembuh.

Goodall tidak mempunyai penyakit yang boleh membawa maut dan memberitahu 9 News Australia beliau menjalani kehidupan dengan baik.

“Tahun lalu kurang memuaskan untuk saya kerana saya tidak dapat melakukan beberapa perkara,” katanya.

Pada usia 90 tahun, beliau masih boleh bermain tenis selain melakukan persembahan pentas sehingga penglihatannya mula merosot.

Goodall bagaimanapun terus bekerja sebagai pembantu penyelidikan kehormat di Universiti Edith Cowan di Perth walaupun pusat pengajian itu mendakwa beliau tidak sesuai untuk ke kampus pada tahun 2016.

Tertekan

Badan penyiar Australia juga melaporkan selepas hampir dua dekad di kampus, Goodall diarahkan supaya bersara kerana bimbang dengan keadaannya.

Kejadian itu mendapat perhatian media antarabangsa selepas Goodall yang pada ketika itu berusia 102 menganggap ia diskriminasi usia di tempat kerja.

“Ia menyebabkan saya rasa tertekan. Ia menunjukkan kesan umur. Persoalan itu tidak akan timbul jika saya bukan orang tua,” katanya kepada organisasi berita.

Pegawai universiti kemudian menarik balik keputusan mereka tetapi Goodall berkata, kesihatannya semakin merosot.

Menurut Goodall, beberapa bulan lalu beliau telah terjatuh di apartmennya di Perth dan terbaring di lantai selama dua hari sehingga ditemui pembantu rumahnya.

“Saya menjerit tetapi tiada siapa yang mendengarnya,” ujarnya.

Goodall berkata, dia percaya sudah tiba masanya untuk dia mati tetapi undang-undang negara itu tidak berguna untuknya kerana ia hanya terpakai kepada mereka yang sakit tenat.

Sebelum berlepas ke Switzerland, beliau memberitahu 9 News Australia bahawa ahli keluarga termasuk anak perempuannya dan tiga cucu turut serta menemani beliau dalam perjalanan itu.

“Sangat bagus mereka akan berada di sini melihat saya. Saya mempunyai ramai keluarga di tempat lain.

“Sebahagian daripada mereka tinggal di Eropah dan ada yang bakal saya temui di Bordeaux, Perancis.

Di Switzerland, saya juga akan bertemu seorang atau dua orang ahli keluarga saya, sebelum mengucapkan selamat tinggal.

Bagi dirinya, mati adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Kenapakah ia membuat saya sedih? Saya tidak menganggapnya suatu yang mengerikan, saya kecewa kematian itu berlaku semula jadi dan bukannya pilihan,” keluh Goodall.