Biarpun pada masa itu hanya bekerja sementara sebagai barista di sebuah rangkaian kedai kopi, pembayaran itu dilakukannya atas dasar rasa tanggungjawab sebagai peminjam, sekali gus membolehkannya membuat perancangan untuk masa hadapan.

“Jumlah pinjaman pembiayaan pendidikan yang harus saya bayar pada ketika itu adalah sekitar RM21,000. Bayaran bulanan yang sepatutnya dibayar adalah RM178 tetapi saya membayar sebanyak RM200 sebulan manakala bakinya telah diselesaikan melalui potongan akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Alhamdulillah, dalam tempoh lima tahun saya berjaya menyelesaikan keseluruhan jumlah pinjaman tersebut. Selesainya pembayaran pinjaman tersebut memberi satu kelegaan buat saya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya yang kini bekerja sebagai pramugari, pembayaran PTPTN itu dapat dilunaskan hasil sikap disiplinnya.

Tegasnya, setiap bulan dia akan menyenaraikan komitmen yang harus diselesaikan dan bayaran PTPTN dalam senarai keutamaan.

“Tidak dinafikan perasaan untuk melancong atau membeli gajet terkini memang ada dalam diri semasa awal bekerja dahulu. Tapi kehendak itu diketepikan dan saya mendahulukan bayaran bulanan PTPTN,” kata wanita dari Petaling Jaya, Selangor itu.

Berlengah

Namun, lain pula keadaannya dengan seorang peminjam yang hanya mahu dikenali sebagai Amira.

Ceritanya kepada penulis, walaupun sudah lebih 17 tahun menamatkan pengajian, dia masih dibelenggu dengan hutang PTPTN akibat berlengah sebelum ini.

Tegasnya yang kini berumur 39 tahun, dia bukan tidak mahu menyelesaikan hutang tersebut tetapi komitmen bulanan yang tinggi pada masa ini telah menyukarkannya untuk berbuat demikian.

“Silap saya sendiri, selepas tamat pengajian langsung tidak membayar hutang tersebut. Jika saya membuat bayaran lebih awal pasti hutang ini sudah selesai dibayar.

“Tetapi setelah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata komitmen bulanan semakin bertambah dan membuatkan saya rasa jumlah pendapatan bulanan tidak mencukupi,” sesalnya yang enggan mendedahkan identiti diri sepenuhnya.

Dua situasi ini menunjukkan kepelbagaian ragam peminjam PTPTN dalam melunaskan hutang pinjaman pendidikan itu.

Mengenai PTPTN, ia telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997.

Fungsi utama penubuhannya adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan serta pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

Bertitik tolak daripada itu, PTPTN juga bertanggungjawab memungut kembali bayaran balik daripada para peminjam.

Namun masalah timbul apabila terdapat segelintir peminjam yang culas membayar kembali pinjaman walaupun berkemampuan sehingga dikatakan PTPTN dikatakan kekurangan dana.

Pernah media pada 2014 melaporkan hanya 45.62 peratus daripada jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN diterima dan dua tahun berikutnya pula dilaporkan sebanyak 753,058 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman.

Jika disorot, isu berkenaan PTPTN antara yang hangat di negara ini sehingga ia dibangkitkan dalam kempen-kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu. Manifesto Pakatan Harapan (PH) misalnya menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Namun, pada November lalu, kerajaan PH yang telah mengambil alih negara mengumumkan janji itu tidak dapat direalisasikan berikutan kedudukan fiskal negara.

Potongan gaji

Polemik mengenai PTPTN berterusan pada 5 Disember lalu apabila Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan telah mengumumkan langkah badan itu untuk melaksanakan skim bayaran balik pinjaman secara progresif atau potongan gaji berjadual (PGB) mulai Januari 2019.

Jelasnya, pemotongan tersebut akan dibuat berdasarkan kepada gaji yang diterima peminjam PTPTN apabila mereka berpendapatan RM2,000 sebulan.

Tetapi, beberapa hari selepas itu, kerajaan memutuskan untuk menggantung pelaksanaannya setelah menerima beberapa desakan.

PTPTN memerlukan tempoh enam hingga 12 bulan bagi mengkaji semula pelaksanaan kaedah baharu bayaran balik pinjaman pendidikan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd. Khalid berkata kepada Bernama, tempoh itu diperlukan bagi mendapatkan formula baharu kaedah pembayaran pinjaman melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan serta mengambil kira maklum balas yang diterima daripada semua pihak.

“PTPTN menerima keputusan yang dibuat oleh Kabinet untuk menangguhkan dasar baharu yang diumumkan sebelum ini. Kerajaan sememangnya berhasrat untuk membantu rakyat terutamanya peminjam daripada golongan B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) agar tidak terbeban,” katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan akan dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan sebelum pelaksanaan mekanisme baharu.

Biar apapun, langkah proaktif perlu dilakukan bagi menyedarkan peminjam yang berkemampuan untuk membayar balik pembiayaan yang mereka peroleh.

Peminjam perlu disedarkan bahawa pembayaran balik dapat membantu memulih atau meningkatkan dana PTPTN untuk diagihkan kepada para pelajar baharu.

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, isu berkaitan PTPTN ini berhubung akauntabiliti antara pemberi dan penerima. Kedua-dua pihak harus mempunyai rasa tanggungjawab antara satu sama lain.

Persetujuan

Tegasnya, sebagai penerima, apabila berhutang mereka harus bertanggungjawab untuk menjelaskannya.

“Bagaimanapun konteks perkara ini berbeza dengan hutang daripada institusi lain. Hal ini perlu diperincikan lagi terutamanya dalam aspek pemotongan gaji untuk pembayaran,” ujarnya.

Katanya, mereka yang berkemampuan untuk membayar hutang PTPTN haruslah meletakkannya sebagai keutamaan paling tinggi.

Berhubung kemelut isu pembayaran balik PTPTN, Zaid berpendapat, pihak PTPTN harus mengenal pasti punca seseorang itu tidak menjelaskan bayaran balik sebelum membuat sebarang peraturan.

“Tak semua peminjam culas untuk membayar. Ada yang tidak bayar kerana memang tidak mampu. Oleh itu, perkara sebegini harus dikenal pasti oleh PTPTN sebelum membuat sesuatu peraturan,” ujarnya.

Sementara itu pakar sosiologi dan juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, berbalik kepada asas prinsip, setiap hutang itu haruslah dibayar.

Tegasnya, dalam hal ini cara pembayaran pinjaman PTPTN haruslah mendapat persetujuan bersama antara kedua belah pihak.

“Pihak kerajaan perlu mencari satu kaedah terbaik untuk merealisasikan agenda pemotongan ini dan satu cara yang boleh dilaksanakan adalah dengan mendapatkan pandangan atau persetujuan mereka yang terlibat.

“Usaha PTPTN untuk turun padang bertemu dan berbincang dengan pihak berkepentingan adalah sesuatu yang baik dalam mendapatkan keputusan situasi ‘menang-menang’,” katanya.

Tambahnya, mungkin dengan perbincangan sebegitu akan menemukan penyelesaian masalah ini sekali gus mampu memberi kelangsungan pinjaman kepada generasi peminjam seterusnya.

Biarpun terdapat pelbagai ragam graduan dalam membayar balik pinjaman PTPTN, mereka harus sedar pinjaman secara prinsipnya ialah hutang yang patut diutamakan.

Pihak PTPTN dan peminjam perlu duduk semeja dan berbincang tentang kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berkaitan pembayaran balik pinjaman pendidikan.