Tiada seorang pun mengambil peduli perihal akar kayu tersebut.

Sehinggalah seorang jurugambar dari Jepun, Hiroshi Sugimoto, 70, mengabadikan akar kayu kuno itu yang pernah menjadi sistem sokongan terhadap ekosistem negara berkenaan suatu masa dahulu ke dalam medium baharu.

Ia digunakan sebagai agen transformasi tingkat bawah muzium moden dan kontemporari Washington iaitu Hirshhorn Museum and Sculpture Garden.

Ruang di muzium berkenaan kini diubah lebih luas dan terang berbanding sebelumnya yang agak kelam.

Seni

Akar kayu yang dipercayai mencecah usia 700 tahun itu dijadikan tapak meja separa bulat dengan kemasan gelas pada bahagian atas.

Rekaan semula itu menghiasi lobi bangunan brutalis berbentuk donut yang diterjemahkan oleh arkitek Amerika, Gordon Bunshaft.

“Sekiranya terdapat individu yang menyuruh saya melakukannya lagi, rasanya mustahil.

“Sebelum ini terdapat individu yang memotong pokok tersebut dan membiarkan akar berkenaan sebelum saya mengeluarkannya dari tanah secara berhati-hati.

“Ia merupakan satu-satunya seni alam semula jadi yang unik,” jelasnya.

Sugimoto membelah akar kayu itu kepada dua bahagian bagi memberikan kesan dramatik.

Katanya, hasil daripada belahan itu menunjukkan bahagian dalam yang masih segar dan kemudian dijadikan perlambangan terhadap kuasa kehidupan dan cahaya.

Meskipun begitu, lantai terazo, dinding dan siling asli muzium tersebut masih dikekalkan.

Ia merupakan reka bentuk semula yang pertama sejak muzium berkenaan dibuka secara rasmi pada tahun 1974.

Sugimoto tidak sedikit pun ralat sekiranya terdapat kanak-kanak atau pengunjung yang menumpahkan air minuman ke atas meja tersebut.

Beliau juga tidak mengambil pusing jika meja besar yang diperbuat dari akar pokok itu dilanggar malah, Sugimoto lebih mengalu-alukan untuk melakukan sedemikian.

“Saya lebih gemar melihat corak penuaan pada meja ini,” ujarnya.

Mengubah ruang sudah pun menjadi kebiasaan buat Sugimoto termasuk menggunakan pelbagai medium untuk kerja seninya seperti arca, bangunan serta seni bina.

Saban tahun, Sugimoto telah memberi fokus terhadap rekaan, seni bina, ubah suai dan pembangunan restoran, kediaman peribadi termasuk Yayasan Seni Odawara miliknya.

Komisen

Ia merupakan kompleks seni dan kebudayaan yang dibuka sekitar Oktober lalu. Terletak di kawasan gunung berapi Hakone, ia bersempadan dengan Teluk Sagami kira-kira sejam perjalanan dari pusat bandar Tokyo.

Selain itu, Sugimoto juga pernah menghasilkan kebun bunga berbumbung dua tingkat sempena ulang tahun ke-110 masyarakat Jepun di New York tahun lalu.

Ia merupakan projek rekaan seni bina pertama di Amerika Syarikat yang dilengkapi kolam, pokok bonsai, pulau batu, objek tiga dimensi dan air terjun berpusar.

Menariknya, Sugimoto hanya mengambil komisen daripada hasil kerja rekaan ruang itu sebagai seorang artis dan bukannya arkitek.

“Sekiranya saya mengambil tugasan ini sebagai seorang arkitek, terdapat pelbagai peraturan yang perlu saya patuhi.

“Saya lebih selesa menjadi seorang artis tanpa terikat dengan mana-mana peraturan,” kongsinya yang turut mempamerkan fotografinya di muzium berkenaan. – AFP