Al-Quran merupakan wahyu yang diturunkan kepada nabi terakhir, Nabi Muhammad SAW serta pemberi syafaat pada hari akhirat kelak atas izin Allah.

Tanpa kemahiran, mengajar ilmu itu kepada anak kecil mungkin satu cabaran. Justeru, tidak hairanlah terdapat segelintir individu yang tergamak mengajar al-Quran dengan kekerasan terhadap ahli keluarga sendiri.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan, suami kepada penyanyi dan pelakon terkenal Ziana Zain didakwa merotan anak lelaki mereka sehingga luka dan le­bam kerana dikatakan tidak pandai mengaji al-Quran serta bersolat.

Tertuduh, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, didakwa di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor dan mengaku, tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Tindakannya itu dilakukan dengan tujuan mahu mengajar anaknya yang dikatakan tidak faham mengaji al-Quran dan solat.

Fobia

Menurut Pensyarah al-Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Mohd. Rahim Jusoh, pengajian al-Quran berbentuk kekerasan terkenal di kebanyakan negara Asia Barat.

“Hal ini kerana sikap masyarakat negara itu sememangnya keras kepala dan degil.

“Segelintir guru terpaksa memukul menggunakan tongkat dan kasut demi mendisiplinkan diri pelajar.

“Namun, corak pengajian sedemikian tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana orang kita bersifat lemah lembut,” tegasnya.

Sementara itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman berpendapat, ibu bapa tidak seharusnya mengajar al-Quran dalam bentuk kekerasan kepada anak-anak kerana ia tidak semestinya berjaya.

Sebaliknya, mendidik anak-anak mengenai ilmu al-Quran perlu dilaksanakan dengan kehalusan dan kelembutan.

“Kalau mengajar ilmu al-Quran dengan kekerasan lebih-lebih lagi seperti memukul hingga mendatangkan kecederaan, kita takut anak-anak akan fobia.

“Ia dikhuatiri akan membunuh rasa cinta atau minat yang sedang dibina terhadap ilmu agama ini.

“Jadi, kalau kita tahu anak itu lemah, jangan putus asa sebaliknya kita cari alternatif lain sebab ada banyak di luar sana kaedah-kaedah mempelajari al-Quran yang boleh diguna pakai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Muhamad Aizuddin, mengajarkan al-Quran kepada anak-anak merupakan kewajipan bagi ibu dan bapa.

Namun, kalau ibu bapa itu tidak mampu melakukan sedemikian, maka wajib hantar si anak kepada orang yang boleh mengajar ilmu tersebut.

Tambah Muhamad Aizuddin, individu yang ingin berkahwin perlu mempelajari terlebih dahulu ilmu agama paling asas seperti al-Quran dan solat.

Ilmu asas itu setidak-tidaknya dapat menjadi benteng daripada pegangan atau mana-mana ajaran yang terseleweng daripada agama Islam hakiki.

Sementara itu, Pendakwah dan Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahazan Mohamed berkata, ibu bapa wajar menanam rasa cinta kepada al-Quran dalam diri anak-anak bagi memudahkan proses pembelajaran mushaf tersebut.

“Memupuk minat mempelajari al-Quran tidak sukar kerana ia sememangnya menjadi bahan bacaan dalam ibadah seharian umat Islam.

“Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeronokkan seperti dengan menyampaikan kisah-kisah dalam al-Quran ke dalam bentuk penceritaan.

“Manfaatkan masa sebaik-baiknya. Misalnya, dalam perjalanan menaiki kereta ibu bapa boleh memainkan tayangan visual bagi memudahkan anak-anak memahami isi kandungan al-Quran,” jelasnya.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendekatkan anak-anak dengan institusi ibadah seperti masjid sejak usia kecil.

Daripada situ, anak-anak boleh didedahkan dengan aktiviti kerohanian, sekali gus membentuk jati diri membudayakan mushaf.

Zahazan menambah, antara perkara yang boleh diamalkan bagi memupuk minat itu ialah seperti sistem ganjaran dalam pembelajaran al-Quran.

“Sekiranya anak-anak dapat mengenal huruf, membaca surah atau menghafaz surah-surah lazim, beri mereka ganjaran seperti membelikan basikal atau bawa mereka bersiar-siar,” kongsinya.