Namun begitu, salah satu perkara yang tidak digemari ketika menikmati keenakan aiskrim ialah, ia mudah cair sehingga perlu dimakan dengan cepat bagi menggelakkan tangan dan mulut menjadi kotor.

Bagaimanapun, saintis kini telah menemui jalan penyelesaian bagi menghalang aiskrim menjadi cair sebelum ia sempat dihabiskan dan jalan penyelesaian itu datang daripada sumber yang tidak disangka iaitu kulit pisang.

Singkir lemak

Kulit pisang sebenarnya mengandungi serat yang kecil dikenali sebagai selulosa dan bahan itu yang dicampur di dalam aiskrim bukan sahaja menjadikan ia lebih berkrim, malah membuatkannya tahan lebih lama.

Serat semula jadi yang 1,000 kali lebih kecil daripada lebar sehelai rambut manusia itu juga menjadikan produk akhir aiskrim lebih lazat, selain turut menyingkirkan lemak yang tidak diingini.

Penemuan itu diumumkan dalam National Meeting and Exposition of the American Chemical Society (ACS) ke-255 di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat pada bulan lalu.

Sepasukan penyelidik daripada Universiti Guelph di Kanada mendapati, menambah serat kulit pisang turut memanjangkan jangka hayat aiskrim.

“Penemuan kami mendapati serat selulosa yang diekstrak daripada kulit pisang boleh meningkatkan mutu aiskrim dalam pelbagai cara,” kata Dr. Robin Zuluaga Gallego.

Secara khusus, jelasnya, serat berkenaan boleh menjadikan ais krim yang dihasilkan lebih likat sekali gus melambatkan proses pencairan.

“Hasilnya, ia membolehkan seseorang itu menikmati aiskrim dengan lebih relaks terutamanya dalam cuaca panas,” katanya.

Penemuan itu hanya memerlukan perubahan kecil dalam proses pembuatan aiskrim iaitu dengan memasukkan serat selulosa.

Dalam menilai sejauh mana serat selulosa dapat memelihara tempoh ketahanan aiskrim, jumlah ekstrak kulit pisang dicampurkan dalam makanan dalam kepekatan yang berbeza-beza.

Polifenol

Proses ujian itu dilakukan dengan membandingkan aiskrim yang tidak dicampurkan dengan serat itu dengan yang dicampurkan dengan bahan itu antara 0.1 hingga 0.3 gram per 100 gram semasa pembuatannya.

Sebagai perancangan masa depan, penyelidik juga merancang untuk menilai sejauh mana jenis lemak lain seperti minyak kelapa dan susu bertindak balas dengan serat selulosa dalam makanan sejuk yang lain.

Pada tahun lepas, saintis dari Jepun telah membangunkan aiskrim yang tahan cair menggunakan polifenol yang terdapat dalam strawberi.

Aiskrim yang dicampur dengan polifenol ini boleh bertahan selama berjam-jam meskipun dalam keadaan cuaca panas.

Saintis Kanada cipta resipi aiskrim boleh tahan lama guna serat daripada kulit pisang selain mampu singkir lemak tidak diperlukan.