Segalanya bermula selepas anaknya Abdul Hadi Ahamad, 27, menikmati kuih bakul yang dihidangkan ketika mengunjungi rumah rakannya Louis Yuen Shen, 27, sempena sambutan Tahun Baru Cina lapan tahun lalu.

Itulah pertama kali Abdul Hadi menjamah kuih bakul dan mendapati kuih manis yang agak kenyal itu sangat enak.

Bagaimanapun, dia sedikit kecewa apabila mengetahui bahawa kuih itu bermusim dan hanya boleh didapati ketika perayaan itu.

Oleh kerana terlalu inginkan kuih bakul dan tahu bahawa ibunya memang gemar memasak makanan tradisional, Abdul Hadi mencadangkan agar ibunya ‘berguru’ dengan nenek Louis.

“Dua tahun lalu, kami berdua ke rumah Louis untuk mempelajari cara-cara memasak kuih bakul.

“Tidak sangka resipinya sangat mudah, kami membuat keputusan untuk mencubanya di rumah menggunakan resipi yang diberikan oleh neneknya, selain sedikit sebanyak merujuk video di YouTube,” kata Fuziah kepada Bernama baru-baru ini.

Ketika itu, Fuziah tidak sedikit pun meragui status halal kuih itu walaupun dihasilkan oleh kaum Cina kerana yakin manisan itu dihasilkan tanpa sebarang bahan syubhah (meragukan).

Untuk permulaan, Fuziah hanya cuba membuat dua biji kuih bakul dan ternyata hasilnya memuaskan hati Abdul Hadi.

Percubaan memasak kuih bakul itu pada awalnya sekadar memenuhi keinginan anak ketiganya itu. Namun, apabila anaknya memberikan kuih bakul itu kepada rakan-rakan, sambutan yang diterimanya cukup memberangsangkan sekali gus mencadangkan supaya membuka tempahan untuk dikomersialkan.

Tempahan

Fuziah menghasilkan dua saiz kuih bakul iaitu seberat 350 gram (g) yang dijual dengan harga RM11 setiap satu dan saiz 800g pula berharga RM22.

Bahan-bahan utama bagi kuih bakul ialah tepung pulut, gula kasar, gula merah dan air.

Kesemua bahan itu dicampur dan digaul menjadi adunan selama kira-kira 30 minit atau sehingga gula itu larut, sebelum dibiarkan selama 30 minit lagi untuk adunan itu sejuk dan sebati.

Langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan adunan itu berbuih dan tidak rata selepas dikukus. Adunan itu perlu diletakkan ke dalam bekas sebelum dikukus selama 10 hingga 12 jam untuk mendapatkan rasa kuih bakul yang enak.

“Tempoh mengukus yang lama penting bagi mengelakkan adunan itu terlalu melekit,“ kata anak jati Kapar, Selangor itu.

Menurut Fuziah, semakin hari kuih bakul yang dimasaknya mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota keluarga dan rakan-rakan mereka.

Kejayaan menghasilkan kuih bakul itu kemudian dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular. Bermula dengan hanya satu tempahan pengguna Facebook, lama-kelamaan semakin banyak tempahan kuih bakul yang Fuziah terima melalui media sosial.

“Saya membuat kuih ini berdasarkan permintaan, tempahan minimum sekurang-kurangnya dua biji dan kami pernah menghasilkan kira-kira 100 biji kuih bakul dalam tempoh empat hari bagi memenuhi tempahan sebuah badan bukan kerajaan pada tahun lalu.

“Pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada pelbagai kaum, ada juga membuat permintaan khas untuk kuih bakul dalam balutan daun pisang kerana lebih wangi,” katanya.

Tanpa disangka kuih bakul yang dibuat sekadar untuk hidangan keluarga akhirnya menjadi sumber rezeki Fuziah.

Lebih 1,000 kuih bakul terjual ke seluruh negara setiap tahun termasuk pada musim perayaan Aidilfitri.

“Kebiasaannya pada Tahun Baru Cina, tidak ramai pelanggan berketurunan Cina yang membelinya, kebanyakannya orang Melayu.

“Tetapi di luar musim Tahun Baru Cina, ramai dalam kalangan masyarakat Cina yang membeli serta membuat tempahan,” ujarnya.

Tempahan yang diterima semakin meluas termasuk dari Sabah dan Sarawak selepas video kuih bakulnya dimuat naik ke Facebook dan Instagram, FA Kuih Bakul.

Ternyata, kuih bakul yang selama ini menjadi sajian tradisi Cina itu mempunyai nilai majmuknya. Kalau dahulu ia hanya diusahakan oleh kaum Cina dan digemari kaum tersebut, ia kini semakin menjadi kegemaran masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Sebelum ini juga, kisah kegigihan seorang gadis Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Kemaman, Terengganu, Haziqah Nurul Huda Harun, 23, yang menempa nama sebagai pengusaha kuih bakul berjaya pernah dilaporkan media.

Semangat

Selain mereka, Datuk B. Balamurali, 50, turut memanfaatkan kunjungan Tahun Baru Cina yang tiba setiap tahun dengan mengusahakan perniagaan kuih bakul sejak 20 tahun lalu.

Walaupun berketurunan India, Balamurali mampu menguasai seni menghasilkan kuih bakul secara tradisional berbekalkan usaha keras dan semangat kental.

Pemilik NYCC Enterprise itu berkata, dia menimba pengalaman menghasilkan kuih bakul ketika bekerja di sebuah kilang kek milik seorang lelaki Tionghua selama lebih 10 tahun.

Bermodalkan RM10,000, Balamurali kemudian memberanikan diri membuka perusahaan sendiri dengan bantuan rakan pada tahun 1999.

Beliau sanggup mengetepikan semua urusan kerjanya sebagai ejen hartanah selama sebulan semata-mata bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk menghasilkan kuih bakul.

“Setiap hari, lebih 2,000 kuih bakul dihasilkan secara tradisional di kilang khas yang terletak di Taman Johor Jaya, Johor.

“Kira-kira 50 peratus produk ini saya eksport ke Singapura menerusi bantuan rakan.

“Bakinya dijual di kilang dan gerai jualan bazar Tahun Baru Cina di taman sama,” kongsi bapa kepada empat orang anak itu kepada K2 baru-baru ini.

Seramai 60 individu bekerja secara sambilan di kilang berkenaan secara bergilir-gilir pada setiap hari.

Jelas Balamurali, kuih bakul daun pisang seberat 400 gram dijual dengan harga RM10 manakala 900 gram dijual RM18.

Ironinya, kuih bakul yang popular dalam masyarakat Tionghua itu kini tidak lagi menjadi pilihan perniagaan bagi generasi muda kaum Cina.

“Kebanyakan generasi muda Tionghua tidak lagi gemar mewarisi perusahaan kuih bakul kerana ia agak rumit. Sekiranya ia tidak dipelihara, lama kelamaan dikhuatiri warisan tradisi ini akan pupus.

“Selagi keadaan kesihatan mengizinkan, saya akan meneruskan perusahaan ini demi memelihara warisan unik ini,” ujarnya menutup bicara.

Kuih bakul atau nian gao suatu masa dahulu terkenal dalam kalangan masyarakat Cina namun kini kaum lain turut sama mempopularkan hidangan tradisi itu.