Ibu kepada bayi itu, Sartaj memberitahu, anaknya bergerak sangat perlahan.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh sakit.

“Setiap kali memberikannya susu botol, saya akan membancuh dengan air yang dimasak,” katanya.

Sartaj dan keluarganya mendapat sumber bekalan air dari sungai Islamabad.

Sungai tersebut merupakan salah satu sumber air yang mengalir melalui ibu negara Pakistan iaitu Islamabad telah dihimpit dengan masalah pencemaran.

Walaupun air tersebut dimasak tetapi ia bukanlah solusi terbaik kerana sumber itu sudah tercemar.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih daripada dua pertiga isi rumah mendapat bekalan air yang tercemar dengan bakteria.

Setiap tahun, 53,000 kanak-kanak Pakistan meninggal akibat cirit-cirit selepas minum air tersebut.

Pencemaran sumber air itu menyebabkan kes demam kepialu, kolera dan hepatitis berleluasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa Pakistan turut melaporkan kira-kira 30 peratus penyakit serta kematian disebabkan oleh kualiti air yang buruk.

Bersihkan

Pada tahun 2012, Bank Dunia telah menganggarkan kos sebanyak AS$5.7 juta (RM22.82 juta) untuk membersihkan sumber air yang tercemar itu.

Jumlah tersebut hampir menyamai empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Pakistan.

Sementara itu, Naib Canselor Institut Perubatan Pakistan di Islamabad, Prof. Javed Akram berkata, air merupakan masalah nombor satu negara tersebut.

Di Lahore yang merupakan bandar kedua terbesar Pakistan berada dalam keadaan lebih buruk berbanding Islamabad.

Turut mengupas isu ini, Pegawai Projek Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Sohail Ali Naqvi berkata, penduduk makan ikan di sungai yang tercemar dengan bahan logam berat.

“Sungai Ravi yang membekalkan air kepada 11 juta penduduk dan beratus-ratus kilang turut tercemar.

“Sumber air dari sungai Ravi juga digunakan untuk mengairi tanaman yang mengandungi racun perosak telah memberi kesan buruk kepada alam sekitar,” terangnya.

Seorang penyelidik di Institut Pembangunan Dasar, Imran Khalid memberi amaran bahawa kekurangan infrastruktur air ini sangat membimbangkan.

“Di sebuah negara yang tidak menjadikan persekitaran sebagai agenda politik sangat menyedihkan.

“Isu-isu berkaitan tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar sering diabaikan.

“Mereka yang berkemampuan boleh membeli air bersih dalam botol tetapi sungguh menyedihkan nasib mereka yang miskin kerana tiada pilihan lain selain menggunakan sumber air tersebut,” ujarnya.

Di Karachi yang mempunyai penduduk 20 juta orang semakin dihimpit oleh krisis ini apabila kumpulan-kumpulan mafia mengambil kesempatan dengan menjual air bersih pada harga sangat mahal.

Dalam menghadapi kemarahan meluas rakyat negara itu, wilayah Sind dan Punjab telah mengumumkan langkah untuk menyelesaikan masalah air.

Pakistan bukan hanya mempunyai masalah air tercemar tetapi pada masa yang sama kekurangan sumber tersebut.

Pakistan yang mempunyai penduduk seramai 207 juta dijangka mengalami kekurangan air yang memuncak pada tahun 2025.

Dalam pada itu, Majlis Penyelidik Pertanian Pakistan, Bashir Ahmad memberitahu, Pakistan merupakan negara yang mempunyai glasier Himalaya, hujan monsun dan banjir.

“Negara ini mempunyai tiga empangan utama yang menyimpan air berbanding lebih 1,000 di Afrika atau Kanada.

Merosot

“Walaupun statistik rasmi menunjukkan 90 peratus air di negara itu digunakan untuk pertanian tetapi rangkaian pengairan besar-besaran yang dibina oleh penjajah Inggeris sejak beberapa dekad yang lalu telah merosot,” jelasnya.

Tambah Bashir, pihaknya mengabaikan kawasan utara yang mempunyai banyak hujan sebaliknya memberi fokus kepada kawasan pengairan seperti Sindh atau Punjabi.

Di negara itu mempunyai kawasan yang mempunyai suhu 50 darjah Celsius.

Pakistan menjalankan tanaman yang memerlukan banyak air seperti padi dan tebu.

Pengerusi Majlis Penyelidikan Pakistan Dalam Sumber Air, Muhammad Ashraf memberi amaran, paras air yang semakin berkurangan akan menyebabkan penduduk terdedah dengan arsenik.

Kajian antarabangsa mendedahkan pada Ogos tahun lalu kira-kira 50 hingga 60 juta rakyat Pakistan diracuni arsenik apabila air yang mereka minum tercemar dengan bahan kimia itu. – AFP