Menurut pensyarah kolej sebuah kolej swasta di Pulau Pinang itu, rutin tersebut diteruskan setiap kali dia pulang ke desa halaman tercinta.

“Rasanya yang manis semula jadi terasa sejuk dan menyegarkan apabila melalui kerongkong apatah ketika diminum semasa cuaca panas. Ia juga menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka puasa pada bulan Ramadan.

“Dahulu harganya cuma seringgit sebungkus. Sekarang, ia dijual sekitar RM2 ke RM2.50,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Pemilik Ladang Nira Nipah Napiah, Hanapiah Yahya, 48, berkata, perusahaan tersebut amat menguntungkan dan tidak sesukar mengusahakan sawah.

Ini kerana pengeluaran air nira di ladangnya yang terletak di Kampung Sungai Pial, Merbok, Kedah tidak mengira musim dan boleh dilakukan sepanjang tahun.

Pihak Jabatan Pertanian memberitahunya bahawa pendapatan pengusaha tanaman nipah yang memiliki serelung (0.3 hektar) boleh mengatasi pendapatan pesawah yang mengusahakan lima relung sawah.

Air nira nipah jualannya adalah asli tanpa campuran gula atau ais dan dijual pada harga RM3 serta RM5 sebungkus mengikut saiz plastik.

Detik awal

Mengimbau detik awal penglibatannya dalam bidang tersebut Hanapiah bercerita, kira-kira 10 tahun dia mewarisi 0.6 hektar tanah pusaka arwah orang tuanya selepas lama hidup merantau dan melakukan pelbagai pekerjaan di luar Kedah.

“Tanah tersebut merupakan bekas tanah bendang, namun ia telah menjadi hutan kerana terbiar puluhan tahun lamanya.

“Selain itu terdapat juga beberapa kesan tanah dikorek kerana dijadikan kolam peliharaan ikan keli selain bekas tanaman pokok pisang. Keadaan tanah sebegitu sudah tidak sesuai untuk mengerjakan sawah,” ujarnya.

Bapa kepada 10 cahaya mata itu ketika ditemui pada program Ekspresi Media Lembah Bujang 2019 anjuran Tourism Malaysia itu berkata, dari situ terdetik di fikirannya untuk menanam pokok nipah.

Ini kerana dia teringat ada beberapa perdu pokok nipah telah beranak di tanah tersebut sejak zaman kanak-kanaknya namun masih mengeluarkan air nira sehingga ke hari ini.

Pada masa tersebut, dia mengumpulkan anak benih pokok nipah yang dikutip dari hutan sekitar atau diminta sahaja daripada orang kampung yang sudi memberi.

Pokok nipah mengambil masa lima tahun untuk mencapai tempoh matang sebelum hasilnya boleh dituai. Uniknya, ia tidak diletak baja atau racun serangga. Ancamannya cuma kumbang yang gemar memakan bahagian umbut nipah yang masih muda.

Jika dahulu, dia terpaksa meranduk selut untuk mengambil air nira daripada pokok nipah namun hasil bantuan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang menghulur peruntukan membuat jalan batu proses tersebut menjadi lebih mudah.

“Dahulu saya tidak tahu jenis pokok nipah yang ditanam. Apabila ia sudah besar, saya mendapati jenis pokok yang menghasilkan buah nipah yang lebih besar ialah nipah sawa manakala buah nipah yang kecil dipanggil nipah ekor tikus.

“Begitupun, nipah sawa lebih sukar menghasilkan air nira berbanding ekor tikus, tetapi jika ia mengeluarkan air kuantitinya lebih banyak. Begitupun, kualiti dan tahap kemanisan nira yang dihasilkan adalah sama,” tuturnya.

Dalam pada itu, Mohd. Solihin Hanapiah, 23, yang membantu bapanya sepenuh masa sejak tamat persekolahan berkata, tugas mengambil air nira dilakukan empat kali sehari.

Tugas itu dilakukan setiap enam jam sekali bermula pada waktu pagi sekitar pukul 7 hingga 8 pagi, tengah hari, petang dan malam antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Proses pengambilan mengambil masa 45 minit hingga sejam. Jika terlewat, air nira yang berwarna jernih kekuningan akan bertukar menjadi putih dan masam.

Dipukul

Katanya, air nira yang masam akan diperam selama tiga hingga empat bulan untuk dijadikan cuka dan dijual pada harga RM4 bagi setiap 600 mililiter. Kelebihan cuka nira ialah ia tidak dicampur bahan pengawet. Ada pelanggan yang membeli cuka nira untuk dijadikan ramuan ubat tradisional.

“Cara pengambilannya ialah batang mayang buah nipah yang matang akan dipukul dengan tandan lama dua kali sehari pada waktu pagi dan petang selama sebulan secara berterusan.

“Ia supaya mayang tersebut dapat mengeluarkan air nira. Selepas itu ia akan dipotong sedikit di bahagian hujungnya menggunakan sabit. Air yang menitis akan ditadah dengan plastik.

“Apabila airnya tidak lagi menitis, hujung batang sekali lagi dipotong dan proses itu diulang sehingga ia habis. Air nira yang ditadah akan dimasukkan ke dalam plastik baharu sebelum terus disimpan di dalam peti sejuk,” katanya.

Katanya, bagi pokok nipah yang ditanam untuk mendapatkan nira, daunnya tidak boleh dipotong sama ada untuk dijadikan rokok daun atau digunakan untuk dibuat atap.

Jika tidak, ia sukar membiak dan buahnya susah keluar. Buahnya juga perlu dinaungi dan diteduhi daun-daunnya yang merimbun kerana ia tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari secara terus.

Tambahnya, selain perlu berdisiplin proses mengutip nira perlu dilakukan berhati-hati kerana ladang nipah menjadi tumpuan haiwan berbisa seperti tebuan dan penyengat.

“Setiap hari kami mampu mengumpul 100 hingga 300 bungkus air nira. Kami bekerja setiap hari. Jika ada kenduri-kendara tidak boleh pergi serentak. Selalu kena bahagi kepada dua syif untuk kutip nira.

“Jika tidak air akan kering begitu sahaja. Selain membazir kami juga akan rugi jika ia dibiar berlarutan,” katanya.